Skip to content Skip to sidebar Skip to footer

KISAH PEMBUNUHAN KEJAM SRI PUJIYANTI

     Pada awal Februari 2025, satu kes pembunuhan kejam telah berlaku di Cibarusah, Kabupaten Bekasi, Jawa Barat. Mangsa iaitu Sri Pujiyanti merupakan seorang wanita muda berusia 22 tahun yang bekerja sebagai pegawai bahagian pinjaman mikro lapangan. Dia mewakili institusi kewangan mikro yang menawarkan pinjaman kecil kepada golongan berpendapatan rendah khususnya di kawasan luar bandar. Tugasan hariannya termasuklah menziarahi pelanggan dari rumah ke rumah untuk memberikan pinjaman serta mengutip bayaran ansuran yang tertunggak.

     Pada 3 Februari 2025, Sri menjalankan tugas seperti biasa dan mengunjungi rumah salah seorang pelanggannya yang dikenali sebagai Sunardi bin Reban, seorang lelaki berusia 44 tahun yang tinggal di Desa Sindangmulya, Cibarusah. Sunardi mempunyai tunggakan pinjaman sekitar Rp3 juta (sekitar RM950) yang sepatutnya dijelaskan secara ansuran. Sri hadir ke rumah lelaki itu dengan tujuan untuk menagih bayaran tertunggak tersebut seperti rutin biasa yang dilakukannya terhadap pelanggan lain.

     Namun kunjungan itu berakhir dengan tragedi. Menurut pengakuan suspek kepada pihak polis, dia berasa sangat tertekan dan bingung kerana tidak mampu melunaskan bayaran pinjaman yang dituntut oleh Sri. Dalam keadaan emosi tidak stabil dan penuh desakan kewangan, Sunardi bertindak di luar kawalan dengan mencekik Sri dari belakang menggunakan kain tudung. Dia kemudian menambah lilitan dengan kain putih untuk memastikan mangsa benar-benar tidak bernyawa. Perbuatan kejam itu dilakukannya tanpa sebarang pergelutan besar menandakan mangsa diserang secara tiba-tiba dan tidak sempat melawan.

     Mayat Sri kemudian disorokkan oleh Sunardi di dalam biliknya. Bagi mengaburi mata orang ramai, dia meletakkan mayat mangsa dalam keadaan tertiarap dengan tangan terikat lalu menutupnya dengan tilam spring. Bagi memastikan keberadaan Sri tidak dapat dikesan, Sunardi turut menyembunyikan motosikal mangsa di kawasan parkir sebuah hospital swasta berhampiran. Dia kemudian menjalani hari-harinya seperti biasa seolah-olah tiada apa-apa yang berlaku.

     Apabila Sri tidak pulang ke rumah seperti kebiasaannya, keluarganya mula merasa bimbang. Laporan orang hilang dibuat pada awal pagi 4 Februari 2025. Bersama ketua kejiranan dan penduduk setempat, keluarga memulakan pencarian dan menjejaki pelanggan terakhir yang diketahui dikunjungi Sri tidak lain tidak bukan, Sunardi. Setelah ditekan, Sunardi akhirnya membuka bilik yang berkunci dan di situlah mayat Sri ditemui dalam keadaan menyayat hati. Pihak polis segera dimaklumkan dan suspek ditahan serta-merta.

     Kejutan sebenar bagaimanapun belum berakhir. Dalam siasatan lanjut di rumah Sunardi, pihak forensik menemui satu lagi penemuan menggemparkan di mana rangka manusia ditemui di dalam tangki septik di bahagian belakang rumah. Hasil siasatan dan ujian forensik mendapati rangka tersebut adalah milik isteri kedua Sunardi yang dikenal pasti Almaidah yakni seorang wanita berusia 51 tahun yang telah dilaporkan hilang sejak November 2022. Sunardi mengaku telah membunuh isterinya dan menyembunyikan mayatnya di dalam tangki septik itu selama lebih daripada dua tahun. Menurut pengakuannya, dia bertindak sedemikian kerana mendakwa isterinya berlaku curang walaupun tiada bukti kukuh berkaitan tuduhan tersebut.

     Berikutan dua pembunuhan yang dilakukan dalam tempoh yang berbeza dan dalam lokasi yang sama, pihak polis menjalankan siasatan secara menyeluruh termasuk pemeriksaan psikiatri ke atas suspek. Hasil pemeriksaan mendapati Sunardi berada dalam keadaan mental yang stabil dan sihat dari segi fizikal. Ini bermakna dia layak untuk dibicarakan dan tidak mengalami gangguan mental yang boleh menggugurkan pertanggungjawaban jenayah.

     Pada masa yang sama, tujuh orang saksi dipanggil bagi membantu siasatan termasuk jiran tetangga, keluarga mangsa dan kenalan dari institusi kewangan tempat Sri bekerja. Siasatan turut mengesahkan bahawa Sunardi mempunyai rekod tabiat buruk yang serius. Dia dikenali sebagai seorang yang panas baran, suka memukul isteri selain terlibat dalam kegiatan perjudian dan penyalahgunaan bahan terlarang. Hingga kini, difahamkan Sunardi masih ditahan di Rumah Tahanan Polres Metro Bekasi. Walaupun telah dikenal pasti sebagai suspek sah bagi dua kes pembunuhan, pihak pendakwa belum memfailkan pertuduhan rasmi di mahkamah. Ini kerana proses siasatan dan pengumpulan bukti termasuk laporan forensik yang masih belum lengkap sepenuhnya. 

Catat Ulasan for "KISAH PEMBUNUHAN KEJAM SRI PUJIYANTI"