Skip to content Skip to sidebar Skip to footer

KISAH HUSHPUPPI: Kejatuhan Scammer Terkaya Instagram

     Raymond Abbas atau lebih dikenali sebagai Hushpuppi merupakan bekas pempengaruh Instagram dari Nigeria yang pernah tinggal di Dubai. Dia sering memuat foto-foto bergaya mewah seperti memandu kereta jenama Rolls-Royce, memakai jam tangan bernilai ratusan ribu dolar, memegang beg Hermes serta Louis Vuitton dan menginap di hotel-hotel lima hingga tujuh bintang seluruh dunia. Gaya hidupnya yang luar biasa membuatkan ramai kagum dan tertanya-tanya, apakah sumber kekayaannya? Kepada pengikutnya, dia sering menggambarkan dirinya sebagai usahawan berjaya yang menjadi inspirasi kepada pemuda Afrika. 

     Namun segala-galanya mula terbongkar apabila beberapa individu serta syarikat berprofil tinggi dari Amerika Syarikat, Eropah dan Timur Tengah membuat laporan polis berhubung kerugian besar dalam urus niaga perniagaan. Mereka mendakwa telah diperdaya melalui e-mel rasmi yang kelihatan sah dan profesional yang meminta bayaran transaksi atau pemindahan dana. Setelah pembayaran dilakukan, wang tersebut bagaimanapun hilang dan tidak sampai ke pihak sebenar. Salah satu laporan yang menarik perhatian pihak FBI ialah aduan daripada seorang pelabur dari Qatar yang ditipu lebih USD 1 juta dalam urusan pembelian hotel dan sekolah. Penipuan itu melibatkan penyamaran sebagai penasihat kewangan dan peguam di mana FBI mendapati wujudnya rangkaian penjenayah antarabangsa di sebalik transaksi itu.

     FBI pun memulakan siasatan secara menyeluruh dengan menggunakan kepakaran dalam jenayah siber dan jenayah kewangan. Antara teknik utama ialah menganalisis alamat IP, kepala e-mel, metadata fail dan transaksi rentas negara. Pada masa yang sama, mereka turut memeriksa laluan wang yang hilang yakni satu teknik forensik kewangan yang membolehkan mereka menjejaki wang dari satu akaun ke akaun lain di pelbagai negara. Apa yang mengejutkan mereka ialah sebahagian besar transaksi itu akhirnya berakhir ke akaun yang dimiliki atau dikaitkan dengan seorang individu yang aktif di Instagram dengan nama Hushpuppi.

     Ironinya Hushpuppi sendiri tanpa sedar menjadi alat kepada penyiasatan FBI. Gambar-gambarnya di media sosial mempamerkan resit pembelian, lokasi penginapan dan barang mewah yang sepadan dengan masa serta jumlah dalam rekod pemindahan wang haram yang sedang disiasat. Contohnya, FBI dapat memadankan waktu dan lokasi gambar yang dimuat naik Hushpuppi dengan masa urus niaga wang penipuan berlaku sekali gus menjadi bukti fizikal dan digital bahawa wang itu digunakan oleh individu tersebut. Malah dalam satu kes, FBI menyemak satu kotak Louis Vuitton yang ditunjukkan oleh Hushpuppi di Instagram dan mendapati nombor siri kotak itu sama dengan barangan yang dibeli melalui kad kredit hasil penipuan.


     Setelah identiti sebenar Hushpuppi sebagai Raymond Abbas dikenal pasti, FBI bekerjasama dengan pihak berkuasa Emiriah Arab Bersatu (UAE) untuk melaksanakan satu operasi khas yang dikenali sebagai Fox Hunt 2. Pada 10 Jun 2020, pasukan polis Dubai menyerbu apartmen mewah Hushpuppi di Burj Khalifa dan menahannya bersama beberapa rakan sindiket. Rampasan yang dibuat dalam serbuan itu amat besar iaitu wang tunai lebih USD 40 juta, 13 kereta mewah, 47 telefon bimbit, komputer riba, pelbagai dokumen dan peranti teknologi tinggi. Turut ditemui ialah data e-mel yang mengandungi berjuta-juta alamat dan maklumat peribadi mangsa dari seluruh dunia. Pihak berkuasa juga menemui perisian canggih untuk memalsukan laman web syarikat, alat penyamaran dan senarai nama mangsa sasaran.

     Secara keseluruhan berdasarkan dokumen rasmi FBI dan kenyataan polis Dubai, jumlah keseluruhan penipuan yang berkait secara langsung dengan Hushpuppi dan sindiketnya dianggarkan melebihi USD 430 juta (lebih RM2 bilion). Jumlah ini merangkumi hasil penipuan transaksi bank, pemalsuan identiti, penipuan e-mel perniagaan (BEC), pembelian barangan mewah menggunakan kad kredit curi dan skim pelaburan palsu. Operasi ini merupakan salah satu rampasan dan pendedahan terbesar dalam sejarah jenayah siber antarabangsa dan menjadi titik tolak kepada penahanan beberapa individu lain yang terlibat dalam rangkaian global jenayah siber yang diketuai oleh Hushpuppi.

     Hushpuppi kemudian diekstradisi ke Amerika Syarikat dan ditahan di Mahkamah Persekutuan California. Di hadapan mahkamah, dia menghadapi pelbagai pertuduhan termasuk penipuan telekomunikasi, pengubahan wang haram dan konspirasi jenayah siber. Menyedari bukti terhadapnya sangat kukuh termasuk rakaman komunikasi, transaksi bank dan dokumen digital, Hushpuppi akhirnya mengaku bersalah pada 28 Julai 2021. Dalam pengakuannya, dia turut mendedahkan rangkaian jenayah yang lebih besar dan menyebut nama beberapa individu termasuk pegawai kerajaan Nigeria yang membantu melindungi sindiket tersebut.

     Antara mangsa yang dikaitkan dalam dokumen mahkamah termasuk seorang bekas pemain bola sepak profesional iaitu Sebastian Frey, bekas penjaga gol dari Perancis. Nama Frey digunakan secara licik oleh sindiket sebagai pelabur bersama untuk meyakinkan pelabur Qatar bahawa urus niaga mereka sah dan eksklusif. Tidak diketahui sama ada Sebastian Frey benar-benar terlibat atau menjadi mangsa penyalahgunaan identiti tetapi FBI mengambil serius penggunaan nama individu terkenal sebagai sebahagian daripada taktik manipulasi sindiket.

     Pada November 2022, Mahkamah Persekutuan akhirnya menjatuhkan hukuman penjara selama 11 tahun terhadap Hushpuppi mengambil kira faktor pengakuan bersalah, kerjasama serta kerugian besar yang dialami mangsa. Dia juga diarahkan membayar ganti rugi serta kehilangan semua harta rampasan.

Catat Ulasan for "KISAH HUSHPUPPI: Kejatuhan Scammer Terkaya Instagram "