KISAH PEMBUNUHAN KEJAM RACHEL BARBER

Pada awal bulan Mac 1999, seorang gadis remaja berusia 15 tahun bernama Rachel Elizabeth Barber dilaporkan hilang selepas tidak pulang ke rumahnya di Melbourne, Australia. Dia merupakan seorang pelajar seni tarian yang berbakat, berdedikasi dan disayangi oleh keluarga serta rakan-rakannya. Rachel bersekolah di Victorian College of the Arts di mana dia dikenali sebagai seorang gadis yang periang dan sangat berdisiplin.
Rachel dilaporkan hilang pada malam 1 Mac 1999. Pada hari tersebut, dia mengikuti kelas tarian seperti biasa dan dijadualkan pulang dengan menaiki pengangkutan awam. Rachel bagaimanapun tidak pulang ke rumah dan usaha awal untuk menghubunginya gagal. Ibu bapanyan iaitu Elizabeth dan Michael Barber segera membuat laporan polis. Pihak polis pada peringkat awal menyifatkan kehilangannya sebagai kemungkinan kes lari dari rumah atas faktor usia remaja Rachel. Sikap sambil lewa awal ini menyebabkan keluarga Rachel mengambil inisiatif sendiri dengan mencetak risalah dan menyebarkan maklumat kepada umum bagi mengesan anak mereka.

Siasatan awal kemudian membawa kepada penemuan fakta bahawa Rachel telah membuat temujanji untuk bertemu seorang wanita bernama Caroline Reed Robertson pada petang tersebut. Caroline yang ketika itu berusia 20 tahun merupakan bekas pengasuh Rachel. Rachel dikatakan telah menerima pelawaan Caroline untuk datang ke apartmen wanita itu atas alasan untuk menyertai satu kajian psikologi yang kononnya akan dibayar.
Caroline merupakan seorang individu yang hidup terasing dan mengalami masalah psikologi yang tidak didiagnosis dengan tepat pada masa itu. Dia mengalami kemurungan, gangguan identiti diri dan cenderung untuk menyendiri. Caroline sering berasa dirinya tidak menarik, tidak disayangi dan tidak berjaya. Dalam diam, dia membandingkan dirinya dengan Rachel yang disifatkannya cukup sempurna dalam segala hal seperti cantik, berbakat, ceria dan disukai ramai. Caroline menulis dalam diarinya bahawa dia berhasrat untuk menjadi seperti Rachel dan percaya bahawa membunuh Rachel boleh membolehkannya mengambil alih kehidupan gadis itu. Dalam catatan hariannya, Caroline menyatakan keinginannya untuk dilahirkan semula dan menggantikan Rachel sepenuhnya. Selepas pembunuhan, dia dilaporkan menyimpan pakaian dan barang-barang peribadi Rachel, mencukur rambutnya sendiri selain menunjukkan tingkah laku yang konsisten dengan niat untuk meniru identiti mangsa.
Caroline telah merancang pembunuhan tersebut selama beberapa minggu. Dia mencatatkan perancangan dalam diarinya termasuk bagaimana untuk membuat Rachel tidak sedarkan diri, cara untuk membunuhnya dan kaedah menyembunyikan mayat. Pada hari kejadian yakni setelah Rachel tiba di apartmen Caroline, dia diberi minuman yang telah dicampur dengan dos tinggi ubat penenang jenis antihistamin (promethazine) yang dibeli dari farmasi. Setelah Rachel tidak sedarkan diri, Caroline menggunakan kabel telefon untuk menjerut leher mangsa sehingga mati.

Selepas membunuh Rachel, Caroline menyimpan mayat tersebut di dalam almari pakaian selama lebih daripada 24 jam. Dalam tempoh itu, dia keluar seperti biasa dan kembali seolah-olah tiada apa berlaku. Pada 3 Mac 1999, dia menyewa sebuah teksi untuk membawa satu peti kayu besar yang mengandungi mayat Rachel ke kawasan Sunbury, sebuah kawasan pinggir bandar yang lebih terpencil. Caroline telah menggali lubang cetek di kawasan itu sebelum menanam mayat Rachel. Dia kemudian menyambung hidup seperti biasa kononnya seperti tiada apa yang berlaku.
Walau bagaimanapun, tingkah laku Caroline selepas kejadian mula mencetuskan kecurigaan. Beberapa individu mendapati dia berkelakuan pelik, murung dan seolah-olah menyembunyikan sesuatu. Pads masa yang sama, siasatan polis yang semakin serius mula mengesyaki Caroline apatah lagi dengan kenyataan beberapa orang saksi yang melihat Rachel bersama Caroline pada hari terakhir dia dilihat hidup. Caroline akhirnya dipanggil untuk disoal siasat.
Semasa disoal, Caroline pada mulanya memberikan keterangan yang bercelaru dan tidak konsisten. Namun siasatan forensik di apartmennya serta tekanan berterusan daripada pihak polis akhirnya membawa kepada pengakuan. Caroline mengakui membunuh Rachel dan menunjukkan lokasi mayat ditanam di Sunbury.

Autopsi yang dijalankan ke atas mayat Rachel mengesahkan bahawa punca kematian adalah jerutan. Beberapa bahan ubat penenang turut dikesan dalam tubuh mangsa. Barang-barang peribadi Rachel ditemui bersama Caroline termasuk pakaian dan barang kemas.
Caroline telah didakwa atas tuduhan membunuh dan dibicarakan di Mahkamah Agung Victoria. Dia mengaku bersalah dan dijatuhi hukuman penjara selama 20 tahun dengan kelayakan parol selepas 14 tahun dan 6 bulan. Sepanjang perbicaraan, peguam bela Caroline membentangkan laporan psikiatri yang menunjukkan dia mengalami kemurungan klinikal dan gangguan delusi. Namun mahkamah menolak sebarang alasan kewarasan penuh kerana Caroline didapati mempunyai kesedaran terhadap perbuatannya dan telah membuat perancangan teliti.

Caroline dibebaskan bersyarat pada tahun 2015 selepas menjalani hukuman selama lebih 15 tahun di penjara wanita di Victoria. Sepanjang tempoh pemenjaraannya, dia dikatakan telah menunjukkan perubahan sikap dan mengikuti rawatan psikologi. Isu berkaitan pembebasan awalnya tetap menimbulkan reaksi bercampur oleh ramai pihak. Kes pembunuhan Rachel Barber ini kemudian menjadi subjek dokumentari dan karya media termasuk filem In Her Skin (2009) yang diadaptasi daripada kisah sebenar.
Catat Ulasan for "KISAH PEMBUNUHAN KEJAM RACHEL BARBER"