KISAH MARY LOUISE DAY : Kehilangan dan Kemunculan Semula yang Misteri

Tahun demi tahun berlalu tanpa sebarang tindakan. Seorang daripada adik Mary, Sherrie yang ketika itu masih kecil tetapi membesar dengan banyak persoalan akhirnya tampil membuat laporan polis pada tahun 1994 yakni kira-kira 13 tahun selepas kehilangan Mary. Sherrie memberitahu bahawa ibunya pernah melarang mereka daripada bermain di satu kawasan tertentu di halaman belakang rumah lama mereka. Kenangan itu menghantuinya kerana ia berlaku serentak dengan kehilangannya Mary. Berdasarkan laporan tersebut, pihak berkuasa akhirnya membuka siasatan semula kes kehilangan Mary Day.


Dalam siasatan itu, polis membawa anjing pengesan mayat ke rumah lama keluarga tersebut di Seaside. Hasilnya cukup mengejutkan di mana anjing tersebut mengesan bau mayat manusia di kawasan halaman belakang rumah. Pemeriksaan lanjut menemui sepasang kasut kanak-kanak yang sebahagiannya tertanam dalam tanah di kawasan tersebut. Keadaan ini menimbulkan syak wasangka serius terhadap kemungkinan bahawa Mary telah mati lalu dikuburkan secara rahsia di situ lebih-lebih lagi apabila diketahui bahawa dia tidak pernah dilaporkan hilang dan telah terputus hubungan sepenuhnya sejak tahun 1981.
Berdasarkan penemuan ini, pihak polis menggali kawasan yang dikenal pasti dengan harapan menemui sisa mayat atau bukti jenayah. Walau bagaimanapun, hasil penggalian itu tidak menemui sebarang rangka atau cebisan mayat manusia. Tiada bukti forensik yang kukuh berjaya dikumpulkan dan kes itu kembali tergantung tanpa sebarang penyelesaian konkrit. Walaupun terdapat pengakuan oleh bapa tiri Mary, William Houle bahawa dia pernah memukul Mary pada malam terakhir sebelum kehilangannya, tiada pendakwaan dapat dilakukan kerana kekurangan bukti.


Selama hampir dua dekad berikutnya, kes Mary Day terus menjadi misteri yang tidak terjawab. Hinggalah pada 25 November 2003, seorang wanita ditahan oleh pihak imigresen di Phoenix, Arizona. Wanita itu tidak dapat menunjukkan dokumen sah tetapi mendakwa bahawa namanya ialah Mary Louise Day, lengkap dengan tarikh lahir dan maklumat peribadi yang sepadan dengan rekod orang hilang dari tahun 1981. Pada mulanya, pihak berkuasa meragui dakwaan wanita tersebut kerana tingkah lakunya yang kelihatan ganjil, cara pertuturan dan ketidakupayaannya menjawab soalan-soalan tertentu tentang masa silam.
Namun apabila ujian DNA dijalankan, hasilnya mengesahkan bahawa wanita itu adalah anak kandung kepada Charlotte Houle iaitu ibu Mary. Ujian cap jari, analisis tulisan tangan dan pengesahan melalui gambar-gambar lama juga menguatkan lagi fakta bahawa wanita tersebut sememangnya Mary Day. Wanita itu mengaku tidak ingat banyak perkara tentang masa silamnya dan memberikan alasan bahawa dia mengalami trauma atau kehilangan ingatan berkaitan zaman kanak-kanaknya. Ada juga penjelasan bahawa dia mungkin sengaja menghilangkan diri untuk melarikan diri daripada suasana rumah yang tidak stabil.

Kemunculan Mary Day selepas lebih 20 tahun menghilang menimbulkan persoalan besar. Jika Mary benar-benar hidup selama ini, mengapa dia tidak menghubungi sesiapa? Mengapa kawasan rumah lama dikesan oleh anjing pengesan bau mayat? Apakah benar Mary Day pernah mati atau adakah seseorang cuba mencipta ilusi tentang kematiannya untuk menutup sesuatu? Malah ada teori yang mencadangkan kemungkinan orang lain ditanam di halaman rumah itu atau bahawa Mary sebenar telah mati dan wanita ini hanyalah individu yang menggunakan identitinya secara palsu meskipun teori ini ditolak selepas keputusan DNA diperoleh.
Walaupun identitinya akhirnya disahkan melalui ujian DNA, misteri tentang apa yang sebenarnya berlaku pada Mary Day sepanjang tempoh 1981 hingga 2003 tidak pernah terjawab sepenuhnya. Dia tidak pernah memberikan keterangan terperinci kepada pihak berkuasa. Lebih membingungkan, tingkah lakunya selepas kemunculan semula menimbulkan rasa tidak selesa dalam kalangan ahli keluarganya sendiri. Adik-beradik Mary terutamanya Kathy dan Sherrie menyuarakan keraguan bahawa wanita itu benar-benar Mary yang mereka kenal. Mereka menyatakan bahawa wanita tersebut berkelakuan pelik, tidak menunjukkan sebarang keterikatan emosi selain tidak mengingati butiran penting zaman kanak-kanaknya termasuk nama rakan sekolah, lokasi tertentu dalam rumah atau hubungan peribadi yang sepatutnya rapat. Bahkan, Kathy menyifatkan kehadiran wanita itu sebagai menakutkan dan menyatakan bahawa dia tidak merasakan apa-apa ikatan darah dengannya. Biarpun ujian saintifik mengesahkan bahawa dia adalah Mary, keluarga tetap berpecah antara kepercayaan dan persoalan yang tidak terjawab. Mary hidup secara sederhana selepas kemunculannya semula dan enggan terlibat dalam sebarang publisiti yang meluas. Dia akhirnya meninggal dunia pada tahun 2017 akibat kanser.

Kisah Mary Day menjadi tajuk utama di Amerika Syarikat dan telah difilemkan dalam dokumentari seperti 48 Hours dan ID's Curious Case of Mary Day: The Girl Who Died Twice. Ia sering dibincangkan di forum Reddit (r/UnresolvedMysteries) dan YouTube kerana keunikan jalan ceritanya. Kehilangannya yang misteri, kemunculan semula yang mengejutkan dan teori-teori ganjil yang mengelilinginya menjadikan kes ini sebagai antara kes kehilangan orang yang paling luar biasa dan membingungkan.
Catat Ulasan for "KISAH MARY LOUISE DAY : Kehilangan dan Kemunculan Semula yang Misteri"