KISAH EL POZOLERO: Si Tukang Cair Mayat Kartel yang Hapuskan Lebih 300 Mangsa

Dalam sejarah keganasan yang dicetuskan oleh kartel dadah di Mexico, terdapat banyak nama yang menjadi sinonim dengan kekejaman. Namun nama Santiago Meza Lopez atau lebih dikenali sebagai El Pozolero (Si Pembuat Sup) mengundang rasa ngeri yang berbeza. Dia bukan seorang pembunuh bersiri tipikal atau ketua kartel berdarah dingin yang mengetuai operasi penyeludupan dadah. Meza sebaliknya ialah seorang individu yang diberi peranan yang begitu gelap dan kejam dalam sistem jenayah terancang iaitu melupuskan mayat manusia dengan melarutkannya dalam bahan kimia. Tugasan itu dilakukannya berulang kali selama bertahun-tahun sehingga dipercayai telah menghancurkan lebih 300 jasad manusia tanpa meninggalkan sebarang kesan.
Dilahirkan di negeri Sinaloa yang terkenal sebagai kubu utama kartel dadah, Santiago Meza pada asalnya hanyalah seorang buruh binaan biasa. Namun kehidupannya pada awalnya tidak banyak bezanya daripada rakyat Mexico kelas bawahan yang lain. Dia bekerja sebagai buruh binaan, hidup dalam kemiskinan dan bergelut untuk menyara diri serta keluarganya. Keadaan ekonomi yang mendesak ditambah dengan peluang yang terbuka luas dalam dunia gelap kartel dadah akhirnya menjerumuskannya ke dalam kancah jenayah.
Pada sekitar pertengahan tahun 1990-an, Meza direkrut oleh Kartel Tijuana yang ketika itu berada di bawah pimpinan keluarga Arellano Felix yakni antara kartel paling ganas dan dominan di wilayah barat laut Mexico. Dalam struktur organisasi kartel ini, Meza tidak diberikan peranan sebagai pembunuh atau pengedar dadah. Dia sebaliknya diupah untuk melakukan satu tugas yang terselindung tetapi sangat penting iaitu melupuskan mayat individu yang dibunuh oleh kartel. Tugasan ini dilakukan secara senyap serta dirancang dengan teliti untuk memastikan tiada sebarang bukti fizikal dapat mengaitkan kartel dengan pembunuhan-pembunuhan tersebut.

Kaedah yang digunakan oleh Meza dalam menjalankan tugas kejam ini amat mengerikan. Dia diberi akses kepada bahan kimia industri seperti sodium hidroksida yang biasanya digunakan dalam proses pelarutan logam dan pembersihan industri berat. Bahan kimia ini dicampurkan ke dalam tong besi besar lalu dia akan meletakkan mayat manusia atau mangsa yang kadang kala masih hidup ke dalam tong tersebut untuk dihancurkan secara kimia. Proses ini mengambil masa antara 6 hingga 12 jam bergantung kepada saiz dan keadaan mayat.
Tempat dia menjalankan operasi ini dikenali sebagai La Gallera, sebuah ladang ayam terbengkalai di pinggir bandar Tijuana yang berhampiran sempadan Mexico–Amerika Syarikat. Di sinilah ratusan mayat yang menjadi mangsa pembunuhan kartel dipercayai dihancurkan sehingga tiada sisa yang tinggal melainkan serpihan tulang dan gigi yang terlalu kecil untuk dikenalpasti. Ada kala selepas proses pelarutan, Meza akan membuang sisa yang tinggal ke dalam lubang besar yang digali khas lalu menutupnya dengan tanah, pasir atau sampah untuk menghilangkan bau dan kesan visual.
Menurut pengakuan Meza sendiri kepada pihak berkuasa selepas penangkapannya, dia menjalankan kerja ini hampir setiap hari dan mampu melupuskan dua hingga tiga mayat dalam satu hari. Dia mengaku telah menghancurkan lebih 300 mayat sepanjang kerjayanya, walaupun angka sebenar mungkin jauh lebih tinggi.

Pada 23 Januari 2009 di mana selepas bertahun-tahun menjadi buruan, Meza akhirnya ditangkap oleh angkatan tentera Mexico dalam satu operasi khas di bandar Ensenada, Baja California. Penahanannya mengejutkan banyak pihak kerana dia tidak melawan selain mengaku secara terbuka kepada media bahawa dia memang melaksanakan tugas tersebut untuk kartel Tijuana selama bertahun-tahun. Meza turut mendedahkan lokasi-lokasi proses pelupusan mayat dilakukan dan memberi maklumat penting kepada pihak berkuasa mengenai modus operandi kartel.
Pasukan forensik yang menjalankan siasatan di ladang La Gallera menemui ratusan serpihan tulang, cebisan gigi dan kesan kimia yang mengesahkan pengakuan Meza. Cuma kerja mereka tidak mudah kerana majoriti bahan bukti telah hancur sepenuhnya sekali gus menjadikan proses pengenalpastian mangsa melalui ujian DNA hampir mustahil. Hingga kini, hanya sebilangan kecil sahaja mangsa yang berjaya dikenal pasti.

Pada tahun 2012, Meza dijatuhkan hukuman penjara selama 10 tahun atas kesalahan berkaitan penglibatan dalam jenayah terancang dan penghapusan mayat secara haram. Proses undang-undang tidak terhenti di situ. Selepas bertahun-tahun siasatan lanjut dan pengumpulan bukti, pihak pendakwa berjaya mengenakan pertuduhan tambahan terhadap Meza. Pada Mac 2024, Mahkamah Persekutuan Pertama di Toluca, menjatuhkan hukuman tambahan ke atas Meza iaitu 30 tahun 8 bulan penjara atas kesalahan penculikan dan penglibatan dalam organisasi jenayah. Ini menjadikan jumlah keseluruhan hukuman penjara terhadap El Pozolero lebih daripada 40 tahun. Meza kini menjalani hukumannya di Centro Penitenciario Federal No. 18 (CPS-Coahuila), sebuah penjara tahap keselamatan tinggi di Ramos Arizpe, Coahuila. Dia tidak akan layak mendapat pembebasan awal pada masa terdekat dan dijangka akan menghabiskan baki hidupnya di dalam penjara.
Catat Ulasan for "KISAH EL POZOLERO: Si Tukang Cair Mayat Kartel yang Hapuskan Lebih 300 Mangsa"