KISAH RYAN JOMBANG : Pembunuhan Bersiri yang Menggemparkan Indonesia

Pada tahun 2008, satu kes pembunuhan bersiri paling ngeri di Indonesia telah terbongkar. Seorang lelaki bernama Very Idham Henyansyah atau lebih dikenali sebagai Ryan Jombang mengaku telah membunuh sekurang-kurangnya sebelas orang termasuk seorang kanak-kanak dalam tempoh hanya dua tahun. Lebih mengejutkan dalam kes ini ialah sembilan daripada mayat itu ditanam di halaman rumah ibu bapanya sendiri di Jombang tanpa disedari oleh sesiapa pun termasuk keluarganya. Ryan digelar media sebagai The Singing Serial Killer kerana sikapnya yang pelik dan suka menyanyi sewaktu berada dalam tahanan.
Ryan dilahirkan pada 1 Februari 1978 di sebuah kampung kecil bernama Jatiwates, di Jombang, Jawa Timur. Dia dibesarkan dalam sebuah keluarga yang sederhana. Sejak kecil, Ryan menunjukkan minat dalam pembelajaran agama dan pernah menuntut di sekolah pondok selain bercita-cita menjadi guru mengaji. Cuma apabila Ryan meningkat dewasa dan berhijrah ke Jakarta, jalan hidupnya berubah sama sekali. Dia mula bekerja sebagai model sambilan, jurulatih kecergasan dan penari kelab malam. Ryan juga mula bergaul dengan kelompok sosial tertentu dan dikaitkan dengan hubungan seksual sejenis.

Kejahatan Ryan terbongkar secara tidak sengaja pada 12 Julai 2008 apabila beberapa bahagian tubuh manusia ditemui dalam beberapa beg plastik di kawasan Ragunan, Jakarta Selatan. Polis mengenal pasti mayat itu sebagai Heri Santoso, seorang lelaki yang dipercayai mempunyai hubungan rapat dengan Ryan. Siasatan membawa polis ke rumah sewa Ryan di Jakarta dan tidak lama kemudian Ryan ditahan. Semasa disoal siasat, Ryan bukan sahaja mengaku membunuh Heri malah mengejutkan pihak polis apabila dia mengaku membunuh sepuluh orang lain termasuk seorang kanak-kanak lelaki berumur 3 tahun yang merupakan anak kepada salah seorang mangsa.
Ryan kemudian membawa pihak berkuasa ke kampung halamannya di Jombang yakni ke rumah ibu bapanya. Di sana, pihak forensik menggali kawasan halaman rumah dan menemui sembilan mayat yang ditanam secara bertindih di beberapa tempat. Semua mayat berada dalam keadaan telah reput dan ada yang sudah menjadi rangka. Antaranya termasuk mangsa yang dibunuh dengan cara dipukul menggunakan batang besi, dicekik dan ditikam bertubi-tubi. Dalam beberapa kes, Ryan turut memotong-motong tubuh mangsa sebelum menyembunyikannya.
Difahamkan ibu bapa Ryan langsung tidak tahu bahawa selama ini mayat-mayat manusia tertanam di halaman rumah mereka sendiri. Ibu Ryan dalam satu wawancara media menyatakan bahawa dia benar-benar tidak menyangka anaknya sanggup melakukan perkara itu. Dia hanya tahu Ryan sesekali pulang ke kampung dengan alasan ingin berehat dan membantu di rumah. Malah Ryan dilihat menunaikan solat serta bersikap sopan ketika berada di rumah.
Menurut Ryan, dia melakukan kerja menggali lubang dan menanam mayat pada waktu malam atau ketika ibu bapanya tiada di rumah. Kawasan yang digunakan untuk menanam mayat ialah di belakang rumah dan berhampiran kawasan semak yang tidak mudah diperiksa oleh orang lain. Setelah selesai, Ryan akan menutup lubang dengan daun-daun dan rumput sekali gus menjadikan kawasan itu kelihatan seperti biasa. Pihak polis mengesahkan bahawa tiada bukti yang menunjukkan keluarga Ryan terlibat atau mengetahui tentang jenayah tersebut. Disebabkan itu, mereka tidak didakwa atau disiasat sebagai suspek.

Kebanyakan mangsa Ryan terdiri daripada lelaki muda termasuk beberapa orang kenalan yang dikenalinya melalui tempat kerja sebagai jurulatih kecergasan. Beberapa pembunuhan berlaku selepas konflik kecil seperti ada yang memeras ugutnya, ada yang menolak ajakan seksual dan ada yang mengejek gaya hidupnya. Dalam satu kes yang paling menyayat hati, seorang kanak-kanak lelaki dibunuh hanya kerana dianggap sebagai saksi tidak sengaja yang boleh membocorkan jenayahnya.
Setelah ditangkap, Ryan menjalani proses perbicaraan yang mendapat liputan meluas media. Tingkah lakunya sangat luar biasa di mana dia sering tersenyum, menyanyindan memberi kerjasama penuh ketika sesi rakaman dan soal siasat. Ryan yang tidak menunjukkan rasa takut atau bersalah turut menulis sebuah buku autobiografi dari dalam penjara berjudul The Untold Story of Ryan yang menceritakan kisah hidupnya dari kecil sehingga menjadi pembunuh. Sikapnya itu menyebabkan masyarakat mempersoalkan keadaan mental dan emosi Ryan. Namun berdasarkan penilaian pakar forensik, Ryan tidak mengalami sebarang masalah mental serius yang membatalkannya daripada dikenakan hukuman. Dia didapati waras, sedar dan bertanggungjawab penuh terhadap segala jenayah yang dilakukan.
Mahkamah menjatuhkan hukuman mati terhadap Ryan pada tahun 2009. Hingga kini, dia masih menjalani hukuman di Penjara Kesambi, Cirebon dan belum diketahui bila hukuman mati itu akan dilaksanakan. Proses hukuman mati di Indonesia mengambil masa yang panjang kerana tertakluk kepada proses semakan, rayuan dan pengampunan presiden.
Pada tahun 2025, kisah Ryan kembali menjadi perhatian media selepas Buni Yani iaitu seorang bekas banduan yang pernah satu sel dengan Ryan mendedahkan pengalamannya. Menurut Buni Yani, tiada banduan lain yang sanggup berkongsi sel dengan Ryan kerana latar belakang pembunuhannya yang sangat mengerikan. Ryan juga menunjukkan kecenderungan seksual terhadap lelaki dan pernah cuba mendekatinya. “Saya satu sel dengan dia. Saya diumpan oleh pihak penjara kerana banduan lain semua takut dan menolak,” kata Buni Yani dalam satu wawancara.
Catat Ulasan for "KISAH RYAN JOMBANG : Pembunuhan Bersiri yang Menggemparkan Indonesia"