Wanita Ambil Tindakan Undang-Undang Selepas Video Enggan Tukar Tempat Duduk Jadi Tular

Insiden tersebut berlaku dalam penerbangan GOL Airlines dari Salvador ke Belo Horizonte pada Disember 2024. Menurut Jennifer, dia telah menempah tempat duduk di bahagian tingkap sejak awal dan membayar lebih bagi tempat duduk tersebut. Namun apabila tiba di dalam pesawat, Jennifer mendapati tempat duduknya telah diduduki oleh seorang kanak-kanak yang duduk bersama ibunya. Krew kabin pada awalnya meminta Jennifer menukar tempat duduk tetapi dia menolak secara baik dan menyatakan dirinya telah membayar untuk tempat itu.


Ketika Jennifer mempertahankan haknya untuk duduk di tempat yang telah ditempah, situasi menjadi tidak selesa. Seorang penumpang lain yang menyaksikan peristiwa itu telah merakam kejadian tersebut secara senyap menggunakan telefon bimbit tanpa pengetahuan mahupun kebenaran Jennifer. Video yang memaparkan Jennifer dalam situasi tersebut kemudiannya dimuat naik ke media sosial dan dalam masa yang singkat lalu menjadi tular di pelbagai platform media sosial.
Netizen membanjiri ruang komen berunsur kritikan keras terhadap Jennifer dengan menuduhnya sebagai tidak berperikemanusiaan dan mementingkan diri. Ramai yang menyifatkan tindakannya sebagai kejam kerana tidak memberi tempat duduk kepada seorang kanak-kanak meskipun tidak mengetahui latar belakang sebenar kejadian. Tanpa mempertimbangkan konteks dan fakta bahawa Jennifer telah membayar lebih untuk tempat duduk tersebut, dia terus dihukum oleh penghakiman netizen yang membuta tuli.
Akibat daripada tekanan awam yang melampau, Jennifer melaporkan bahawa dia mengalami tekanan emosi yang teruk dan kerisauan melampau sehingga terpaksa berhenti kerja. Dia tidak hanya berdepan kemurungan, malah turut menerima mesej ancaman serta gangguan peribadi daripada individu tidak dikenali. Kehidupannya berubah sepenuhnya dalam tempoh beberapa hari selepas video itu dimuat naik.

Bertindak balas terhadap situasi tersebut, Jennifer telah melantik peguam dan memfailkan saman terhadap GOL Airlines serta individu yang bertanggungjawab merakam serta menyebarkan video itu. Menurut pasukan perundangannya, saman tersebut difailkan atas beberapa asas termasuk pencerobohan privasi, penyebaran kandungan tanpa izin dan menyebabkan tekanan emosi yang serius. Mahkamah kini sedang menilai tuntutan itu di bawah kerahsiaan kehakiman dan jumlah tuntutan pampasan yang dituntut tidak didedahkan kepada umum.
Dalam satu kenyataan awam, Jennifer menyatakan bahawa tujuannya bukan hanya untuk mendapatkan pampasan tetapi untuk menyedarkan masyarakat tentang bahaya budaya tular dan penyebaran video tanpa izin. Dia menegaskan bahawa seseorang tidak sepatutnya dihukum hanya kerana mempertahankan hak mereka terutama dalam situasi yang tidak memerlukan pengorbanan yang tidak adil.
Catat Ulasan for "Wanita Ambil Tindakan Undang-Undang Selepas Video Enggan Tukar Tempat Duduk Jadi Tular"