Suami Dibunuh Guna Renjatan Elektrik Demi Hubungan Sulit

INDIA - Seorang wanita dan kekasih gelapnya telah ditahan pihak polis selepas siasatan mendedahkan pembunuhan kejam ke atas suaminya yang sebelum ini disangka sebagai kemalangan akibat renjatan elektrik. Kejadian yang berlaku di New Delhi ini membabitkan pembunuhan terancang terhadap seorang peniaga emas dikenali sebagai Karan Dev, 36 tahun yang maut pada 13 Julai lalu. Pelaku utama disyaki adalah isterinya sendiri iaitu Sushmita Dev, 35 tahun yang bertindak bersama seorang lelaki bernama Rahul Dev yakni sepupu kepada mangsa.
Kejadian ini pada awalnya disifatkan sebagai insiden kemalangan apabila Sushmita mendakwa suaminya terkena renjatan elektrik dalam bilik mandi di kediaman mereka. Karan kemudian dibawa dalam keadaan tidak sedarkan diri ke hospital namun disahkan meninggal dunia tidak lama kemudian. Apa yang mencetuskan kecurigaan adalah apabila keluarga mangsa cuba menolak cadangan pihak hospital dan polis untuk menjalankan bedah siasat. Polis bagaimanapun tetap meneruskan proses tersebut kerana meragui punca sebenar kematian seorang lelaki yang masih muda, sihat dan tiada sebarang rekod penyakit kronik.
Segalanya terbongkar beberapa hari kemudian apabila adik lelaki mangsa, Kunal Dev memeriksa telefon bimbit milik abangnya, Karan Dev. Dalam peranti itu, dia menemui akses kepada akaun Instagram serta WhatsApp milik Sushmita dan Rahul yang dipercayai digunakan melalui telefon suaminya sendiri. Hasil semakan mendalam, Kunal menemui perbualan mencurigakan antara pasangan terlarang itu yang mendedahkan rancangan pembunuhan terhadap Karan. Antaranya termasuk cubaan awal pada 12 Julai apabila Sushmita dikatakan mencampurkan 15 biji pil tidur ke dalam makanan suaminya. Walau bagaimanapun, cubaan itu gagal apabila Karan tidak menunjukkan sebarang kesan seperti yang diharapkan.

Dalam mesej yang dikesan oleh pihak polis, Rahul dilihat mengarahkan Sushmita supaya memberikan renjatan elektrik kepada Karan sekiranya pil yang diberi tidak memberikan kesan. Malah terdapat arahan khusus agar Sushmita menggunakan pita pelekat untuk mengikat tangan Karab terlebih dahulu bagi mengelakkan suaminya itu melawan. Hasil bedah siasat dan analisis forensik turut menemui kesan lecur pada jari tangan Karan Dev yang konsisten dengan punca arus elektrik sekali gus mengesahkan bahawa kematiannya bukan disebabkan kemalangan semula jadi tetapi merupakan perbuatan jenayah yang dirancang.
Siasatan lanjut turut membongkar bahawa Sushmita dan Rahul telah menjalinkan hubungan sulit selama hampir dua tahun. Pihak berkuasa percaya motif utama pembunuhan ini adalah kerana pasangan itu mahu bebas daripada Karan agar mereka boleh hidup bersama. Tidak cukup dengan itu, mereka turut didakwa merancang untuk menguasai harta dan perniagaan milik Karan Dev. Menurut sumber polis, strategi pembunuhan ini direka untuk kelihatan seperti insiden rumah biasa seolah-olah mangsa tergelincir dan terkena renjatan elektrik sewaktu mandi.
Kedua-dua suspek kini telah ditahan reman oleh pihak polis Delhi dan sedang berdepan siasatan lanjut di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan India yang membawa hukuman mati atau penjara seumur hidup jika disabitkan bersalah. Jurucakap polis Delhi menyatakan bahawa siasatan masih diteruskan termasuk meneliti motif kewangan, penglibatan pihak ketiga dan sama ada pembunuhan ini dirancang lebih awal daripada yang dijangka.
Catat Ulasan for "Suami Dibunuh Guna Renjatan Elektrik Demi Hubungan Sulit"