KISAH KEMATIAN KELL YEOMANS YANG BENAR-BENAR MENYEDIHKAN

Pada tahun 1997 bertempat di sebuah kawasan perumahan di Derby, England, seorang remaja perempuan berusia 13 tahun bernama Kelly Yeomans ditemui meninggal dunia akibat tindakan membunuh diri. Kelly merupakan seorang pelajar biasa yang menjalani kehidupan seperti remaja lain pada usianya. Namun tekanan berpanjangan akibat gangguan dan buli berterusan daripada sebahagian komuniti sekeliling dipercayai menjadi faktor utama yang mendorongnya untuk mengambil tindakan sedemikian.
Kelly Yeomans tinggal bersama keluarganya di kawasan perumahan sosial di Alvaston, Derby. Sejak kecil, dia dikenali sebagai seorang gadis yang baik, penyayang dan amat rapat dengan ibunya. Walau bagaimanapun, Kelly mempunyai satu kekurangan yang sering dijadikan bahan ejekan iaitu berat badannya. Sejak beberapa tahun sebelum kematiannya, Kelly menjadi sasaran ejekan rakan sebaya kerana fizikalnya yang gemuk. Buli yang dialaminya bukan sekadar berlaku di sekolah tetapi ia turut berlaku di hadapan rumahnya sendiri. Jiran-jiran terutamanya sekumpulan kanak-kanak dan remaja lelaki menjadikan Kelly sebagai sasaran serangan harian mereka.
Keluarganya menceritakan bagaimana setiap kali Kelly keluar dari rumah sama ada untuk ke kedai mahupun membuang sampah dia akan diejek, dilempar makanan basi, disimbah air dan dibaling batu. Rumah mereka pula tidak pernah sunyi daripada gangguan. Pagar rumah dirosakkan, pintu diketuk kuat pada waktu malam dan mereka menerima pelbagai bentuk gangguan fizikal serta verbal. Semua ini dilaporkan oleh ibunya, Susie Yeomans kepada pihak berkuasa sebanyak lebih 20 kali. Walau bagaimanapun, aduan-aduan tersebut dipandang ringan. Pihak berkuasa tempatan menyifatkannya sebagai pergaduhan budak-budak yang tidak serius dan tidak mengambil sebarang tindakan konkrit untuk menghentikannya.
Di sekolah pula, Kelly semakin menunjukkan tanda-tanda kemurungan. Walaupun dia masih hadir ke kelas dan cuba untuk menyesuaikan diri, rakan-rakan rapatnya menyedari dia semakin pendiam dan kerap murung. Salah seorang gurunya pernah menyatakan bahawa Kelly pernah memberitahu dia tidak mahu balik ke rumah kerana takut diganggu setiap kali melangkah keluar. Namun tiada sesi kaunseling atau tindakan pencegahan diambil oleh pihak sekolah bagi membantu pelajarnya itu.

Kejadian tragis itu berlaku pada 28 September 1997. Pada hari itu, Kelly dilihat agak murung seperti biasa. Dia bagaimanapun tidak menunjukkan sebarang tanda akan melakukan tindakan ekstrem. Pada waktu petang, Kelly meminta izin kepada ibunya untuk tidak makan malam dan terus naik ke bilik. Beberapa jam kemudian, ibu bapanya menemui Kelly dalam keadaan tidak sedarkan diri. Mereka segera menghubungi ambulans dan membawanya ke hospital namun segala usaha gagal menyelamatkan nyawanya. Kelly telah mengambil dos berlebihan ubat tidur milik bapanya. Ubat tersebut sebelum ini disimpan untuk rawatan kemurungan bapanya sendiri.
BApa yang lebih menyayat hati, Kelly sempat meninggalkan sekeping nota kepada keluarganya. Nota itu ringkas tetapi cukup menyentuh perasaan dan menggambarkan penderitaan mendalam yang ditanggungnya, “Saya minta maaf. Saya tak tahan lagi.”
Kata-kata itu menjadi tajuk utama di dada-dada akhbar dan siaran berita pada keesokan harinya. Kematian Kelly segera menjadi perhatian nasional dan mengundang kemarahan orang ramai di Britain. Ramai yang tertanya-tanya bagaimana seorang gadis semuda itu boleh ditekan hingga ke tahap memilih kematian? Bagaimana sebuah komuniti yang sepatutnya melindungi anak-anak mereka bertukar menjadi sumber penderitaan utama? Lebih menyedihkan, remaja yang dikenal pasti sebagai pembuli Kelly adalah jiran-jirannya sendiri yakni anak-anak kecil berumur sekitar 10 hingga 14 tahun yang membesar di perumahan yang sama.
Walaupun siasatan dilakukan dan pihak media membongkar pelbagai bukti gangguan yang berterusan terhadap Kelly dan keluarganya, tiada satu pun individu yang didakwa secara rasmi berhubung kematiannya. Beberapa keluarga yang anak-anak mereka dikenal pasti sebagai pembuli utama telah dipindahkan dari kawasan tersebut atas faktor keselamatan selepas mereka pula menjadi sasaran kemarahan masyarakat dan ugutan umum. Cuma dari sudut perundangan, tiada keadilan yang benar-benar ditegakkan.
Catat Ulasan for "KISAH KEMATIAN KELL YEOMANS YANG BENAR-BENAR MENYEDIHKAN"