Influencer TikTok, Suami dan Dua Anak Ditemui Mati Dibunuh di Guadalajara

MEXICO - Seorang pempengaruh TikTok, Esmeralda Ferrer Garibay telah ditemui mati bersama suaminya, Roberto Carlos Gil Licea dan dua anak mereka iaitu Gael Santiago berusia 13 tahun serta Regina, 7 tahun. Keempat-empat mangsa dilaporkan hilang beberapa hari sebelum ditemui tidak bernyawa dalam sebuah kenderaan jenis Ford Ranger berwarna kelabu yang ditinggalkan di kawasan San Andres, Guadalajara pada 22 Ogos 2025. Penemuan ini sekali gus menamatkan misteri kehilangan keluarga tersebut sebelum ini. Pihak berkuasa Jalisco mengesahkan identiti keempat-empat mangsa pada 28 Ogos 2025 selepas proses forensik dijalankan. Mayat kemudiannya diserahkan kepada keluarga pada 25 Ogos untuk urusan pengebumian.
Menurut laporan pihak berkuasa Jalisco, siasatan forensik mendapati pembunuhan itu dipercayai berlaku di sebuah bengkel kenderaan bernama La Arana yang terletak di Avenida Ejido sebelum mayat dipindahkan ke dalam kenderaan dan ditinggalkan di lokasi penemuan. Pihak penyiasat menemui kesan darah yang banyak, bekas tembakan serta bukti balistik yang mengukuhkan teori bahawa bengkel tersebut menjadi lokasi utama kejadian.
Walaupun punca sebenar masih dalam siasatan, penyiasat memberi tumpuan kepada latar belakang suami mangsa, Roberto Carlos yang dilaporkan terlibat dalam perniagaan jual beli kenderaan dan pengeluaran tomato di Michoacan. Aktiviti perniagaan tersebut dipercayai berpotensi menimbulkan konflik dengan kumpulan jenayah terancang memandangkan Michoacan merupakan antara negeri di Mexico yang sering dikaitkan dengan dominasi kartel dadah dan aktiviti jenayah terancang.

Esmeralda atau lebih dikenali dengan nama pengguna Esmeralda FG di TikTok mempunyai pengikut yang ramai dan sering berkongsi kehidupan glamor dengan mempamerkan gaya hidup mewah, muzik narco-corrido serta aktiviti harian bersama keluarganya. Walaupun ada pihak yang mengaitkan gaya kandungan tersebut dengan dunia jenayah, pihak berkuasa menegaskan bahawa profil media sosial Esmeralda bukan faktor utama kepada kejadian ini. Siasatan awal sebaliknya mendapati bahawa perniagaan Roberto lebih berpotensi menjadi sasaran pihak tertentu yang mempunyai kepentingan atau permusuhan.
Pihak polis pada awalnya menahan dua orang pekerja bengkel yang dikenal pasti sebagai Hector Manuel Valdivia Martinez dan seorang lagi dikenali sebagai El Chino. Kedua-duanya ditahan untuk membantu siasatan kerana dipercayai berada di bengkel ketika kejadian berlaku. Namun selepas beberapa hari, mereka dibebaskan kerana kekurangan bukti kukuh untuk menuduh mereka.
Tidak lama selepas pembebasan, Hector bersama dua ahli keluarganya diculik oleh sekumpulan lelaki bersenjata. El Chino sempat melarikan diri daripada insiden penculikan itu tetapi sehingga kini tiga orang yang hilang tersebut masih belum ditemui. Perkembangan ini menambah misteri dan kerumitan kes pembunuhan kejam keluarga Esmeralda.
Catat Ulasan for "Influencer TikTok, Suami dan Dua Anak Ditemui Mati Dibunuh di Guadalajara"