APA SEBENARNYA YANG BERLAKU KEPADA BRUCE WILLIS?

Bruce Willis, pelakon legenda Hollywood yang terkenal dengan francais Die Hard sebelum ini mengejutkan peminatnya apabila kehidupan peribadinya berubah secara drastik akibat penyakit degeneratif otak. Dia disahkan menghidap frontotemporal dementia (FTD) yakni sejenis demensia yang jarang berlaku tetapi memberi kesan besar kepada bahasa, tingkah laku dan personaliti.
Demensia merujuk kepada sekumpulan gejala yang melibatkan kemerosotan fungsi otak termasuk ingatan, bahasa, pemikiran dan tingkah laku. Dalam kes Bruce, beliau menghidap FTD yang memberi kesan lebih kepada tingkah laku, personaliti dan kemampuan berkomunikasi berbanding ingatan semata-mata. Simptom utama termasuk kesukaran mencari perkataan, perubahan personaliti, hilang empati dan kesukaran berinteraksi dengan orang sekeliling. FTD bersifat progresif dan tiada penawar khusus sekali gus menjadikan sokongan keluarga dan penjagaan rapi sangat penting. Penyakit ini biasanya menyerang individu berusia 40 hingga 65 tahun dan gejalanya boleh muncul secara perlahan sebelum menjadi lebih jelas seperti yang dialami Bruce Willis.
Menurut isteri Bruce, Emma Heming Willis, perubahan pada Bruce mula kelihatan beberapa tahun sebelum diagnosis rasmi. Bruce yang dahulunya ceria, peramah dan mesra dengan keluarga tiba-tiba menjadi lebih pendiam dan kurang aktif dalam perbualan. Keadaan ini menimbulkan kebimbangan kerana ia jelas berbeza daripada personaliti asalnya. Selain itu, stutter atau gagap yang pernah dialami Bruce semasa kecil muncul kembali hingga menambahkan rasa risau Emma terhadap kesihatan suaminya. Perubahan ini memberi isyarat awal bahawa terdapat sesuatu yang serius sedang berlaku dan ia membuatkan Emma mula memerhatikan setiap perubahan tingkah laku suaminya dengan lebih teliti.

Pada tahun 2022, keluarga Willis mengumumkan bahawa Bruce menghidap afasia, gangguan bahasa yang menjejaskan keupayaan bertutur, memahami percakapan, membaca dan menulis. Disebabkan itu, Bruce tidak lagi mampu menghafal skrip atau menyampaikan dialog dengan baik hingga menyebabkan beliau terpaksa bersara daripada dunia lakonan. Keputusan ini amat berat bagi Bruce dan keluarganya kerana lakonan adalah sebahagian besar identiti dan kehidupannya. Emma menceritakan bahawa fasa ini penuh dengan cabaran emosi di mana mereka perlu menerima realiti bahawa penyakit ini akan mengubah cara Bruce berinteraksi dan menjalani kehidupan harian.
Pada Februari 2023, diagnosis rasmi frontotemporal dementia diumumkan. Emma menyifatkan detik itu sebagai bercampur baur. Di satu sisi, dia lega kerana akhirnya mengetahui punca perubahan Bruce namun pada masa sama sedih kerana penyakit ini bersifat progresif dan tiada penawar. Emma menekankan bahawa FTD bukan sahaja memberi kesan kepada Bruce tetapi juga seluruh keluarga kerana setiap ahli perlu menyesuaikan diri dengan cabaran emosi, komunikasi dan penjagaan harian. Dia uga menyebut bahawa penyakit ini merupakan ujian besar yang memerlukan ketabahan, kesabaran dan sokongan berterusan daripada pasangan dan anak-anak.
Selepas diagnosis, kehidupan harian keluarga Willis banyak berubah. Bruce masih sihat secara fizikal tetapi menghadapi kesukaran berkomunikasi. Bagi menyesuaikan diri, keluarga mula menggunakan bahasa tubuh, mimik muka dan sentuhan sebagai medium komunikasi. Emma berkongsi bahawa mereka perlu kreatif dalam mencari cara untuk memahami Bruce termasuk memberi masa lebih panjang untuk dia mengekspresikan dirinya.

Pada tahun 2025, Bruce kini menerima penjagaan 24 jam di rumah berasingan, langkah yang dibuat demi memastikannya mendapat perhatian profesional. Anak-anak mereka, Mabel dan Evelyn masih dapat membesar dalam persekitaran stabil sementara keluarga tetap mengekalkan interaksi rapat melalui waktu makan, aktiviti harian serta kunjungan. Emma menegaskan bahawa walaupun terpaksa membuat penyesuaian dalam kehidupan seharian, kasih sayang dan sokongan keluarga tetap menjadi teras utama bagi kesejahteraan Bruce.
Selain itu, Emma turut mengumumkan penerbitan memoir peribadinya bertajuk The Unexpected Journey: Finding Strength, Hope and Yourself on the Caregiving Path yang bakal diterbitkan pada September 2025. Buku ini menceritakan pengalamannya sebagai pasangan dan penjaga Bruce, cabaran menghadapi FTD serta pengajaran yang diperoleh sepanjang perjalanan ini. Emma berharap kisah mereka dapat memberi inspirasi kepada keluarga lain yang menghadapi situasi serupa, serta meningkatkan kesedaran masyarakat tentang demensia.
Catat Ulasan for "APA SEBENARNYA YANG BERLAKU KEPADA BRUCE WILLIS? "