Skip to content Skip to sidebar Skip to footer

KISAH CLARA GANTT : Penantian Selama 63 Tahun

     Pada tahun 1950, Clara Mae Gantt telah berkahwin dengan seorang lelaki bernama Sersan Pertama Joseph E. Gantt, seorang anggota tentera Amerika Syarikat yang ketika itu sedang berkhidmat di bawah pasukan perubatan. Kehidupan rumah tangga mereka hanya sempat dinikmati pada waktu yang singkat kerana tidak lama selepas perkahwinan, Joseph diarahkan untuk berkhidmat dalam Perang Korea yang tercetus pada Jun 1950. Walaupun Clara berat hati melepaskannya, dia tetap menghormati tugas suaminya sebagai anggota tentera.

     Kejadian sebenar berlaku apabila Joseph terlibat dalam pertempuran pada Disember 1950 di kawasan berhampiran Korea Utara. Dia dilaporkan hilang selepas pasukannya diserang hebat oleh tentera musuh. Pada waktu itu, pihak tentera Amerika Syarikat hanya dapat mengesahkan bahawa Joseph ditawan sebagai tahanan perang oleh Korea Utara. Sejak berita itu diterima, Clara tidak pernah mendengar sebarang maklumat lanjut tentang keadaan suaminya. Tiada surat, tiada berita rasmi dan tiada kepastian tentang sama ada Joseph masih hidup atau sudah meninggal dunia.

     Bagi kebanyakan isteri tentera lain, keadaan seperti ini amat menyakitkan kerana mereka hidup dalam ketidakpastian. Ramai yang akhirnya meneruskan kehidupan dengan membina keluarga baru tetapi Clara memilih jalan yang berbeza. Dia berpegang teguh pada keyakinan bahawa Joseph akan pulang dan Clara menunggu suaminya selama lebih enam dekad dengan penuh kesetiaan. Clara tidak pernah berkahwin lagi dan terus merujuk kepada dirinya sebagai isteri kepada Joseph. 

     Penantian panjang itu akhirnya mendapat jawapan selepas 63 tahun. Pada tahun 2013, kerajaan Amerika Syarikat melalui usaha penggalian dan penyelidikan forensik di Korea Utara berjaya mengenal pasti sisa mayat Joseph Gantt yang ditemui di medan perang. Pihak tentera kemudian menghubungi Clara yang pada ketika itu sudah berusia 94 tahun. Berita itu menimbulkan perasaan bercampur baur dalam dirinya di mana dia rasa gembira kerana akhirnya mendapat kepastian tetapi juga sedih susulan penantian itu berakhir dengan kepulangan jasad, bukan seorang suami yang hidup.

     Pada Disember 2013, jasad Joseph dibawa pulang ke Los Angeles, Amerika Syarikat dengan penghormatan penuh ketenteraan. Clara hadir di lapangan terbang bersama ahli keluarga dan ketika keranda yang dibalut dengan bendera Amerika Syarikat dibawa turun dari pesawat, Clara tidak dapat menahan sebak. Clara menangis sambil berkata bahawa dia akhirnya dapat menerima suaminya pulang walaupun hanya jasad. Kata-katanya yang paling menyentuh hati adalah, “Saya sudah menunggunya sepanjang hidup saya. Saya sentiasa mencintainya dan sekarang dia akhirnya pulang.” 

     Selepas kepulangan suaminya, Clara menjalani kehidupan dengan lebih tenang. Clara Gantt akhirnya meninggal dunia pada tahun 2021 yakni ketika berusia 102 tahun. Kisahnya sering diceritakan semula sebagai salah satu contoh cinta sejati paling tulen yang mengingatkan dunia bahawa walaupun peperangan memisahkan manusia, ikatan kasih sayang dan kesetiaan mampu bertahan melebihi seumur hidup.

Catat Ulasan for "KISAH CLARA GANTT : Penantian Selama 63 Tahun"