Pengorbanan Terakhir Seorang Ibu Sebelum Maut dalam Kemalangan Ngeri Eskelator

Pada 27 Julai 2015, satu kejadian ngeri telah berlaku di negara China apabila seorang wanita muda iaitu Xiang Liujuan maut dalam satu kemalangan ngeri melibatkan sebuah eskalator di sebuah pusat beli-belah di Jingzhou, wilayah Hubei.
Xiang Liujuan yang berusia 30 tahun pada ketika itu sedang membeli-belah bersama anak lelakinya yang masih kecil di pusat beli-belah Anliang. Mereka menggunakan eskalator untuk menuju ke tingkat atas. Namun sebaik sahaja hampir tiba ke hujung eskalator, satu kejadian mengejutkan berlaku. Panel lantai di hujung eskalator yang dikenali sebagai landing panel tiba-tiba tercabut dan terbuka hingga menyebabkan Xiang serta anaknya terjerlus ke dalam ruang mekanisme eskalator yang sedang bergerak.
Dalam detik cemas tersebut, Xiang bertindak pantas. Menggunakan kekuatan dan naluri keibuan yang luar biasa, dia sempat menolak anak lelakinya ke arah dua orang pekerja pusat beli-belah yang kebetulan berada berhampiran. Anak tersebut berjaya diselamatkan tanpa sebarang kecederaan serius. Xiang sendiri bagaimanapun tidak sempat untuk menarik dirinya keluar. Dia telah tertarik sepenuhnya ke dalam bahagian bawah eskalator yang pada waktu itu masih berjalan. Tubuhnya dihancurkan oleh sistem mekanikal yang besar dan berat di bawah lantai eskalator tersebut. Mayatnya hanya berjaya dikeluarkan selepas pasukan penyelamat mengambil masa selama lebih lima jam.

Apa yang lebih menyedihkan dan mengejutkan ialah laporan selepas kejadian menunjukkan bahawa pekerja pusat beli-belah sebenarnya sudah menyedari bahawa panel tersebut tidak dipasang dengan betul. Mereka didakwa telah menerima maklumat tentang masalah itu kira-kira lima minit sebelum kejadian berlaku. Malah rakaman CCTV menunjukkan seorang pekerja wanita berdiri di atas panel berkenaan sambil memberi isyarat kepada Xiang dan anaknya untuk berhati-hati. Walau bagaimanapun, tiada tindakan diambil untuk menghentikan operasi eskalator atau menghalang orang awam daripada menggunakannya. Malah tiada sebarang langkah kecemasan seperti menutup laluan atau menghidupkan suis henti kecemasan dilakukan.
Siasatan lanjut mendedahkan bahawa eskalator tersebut merupakan produk keluaran syarikat Suzhou Shenlong Elevator Company yaknj sebuah syarikat yang kemudiannya disoal siasat kerana didapati menghasilkan peralatan dengan kualiti yang diragui. Pemeriksaan ke atas eskalator tersebut menunjukkan kegagalan struktur serta kekurangan sistem amaran keselamatan termasuk tiadanya sistem pemberhentian automatik sekiranya berlaku kecemasan seperti panel tercabut. Susulan kejadian ini, pihak berkuasa wilayah Hubei telah mengarahkan semua produk eskalator yang dihasilkan oleh syarikat Shenlong dihentikan serta-merta dan pemeriksaan keselamatan secara menyeluruh dilakukan terhadap semua eskalator di wilayah itu.

Kejadian ini mendapat liputan meluas di seluruh China dan luar negara. Rakaman CCTV kejadian tersebar dengan pantas di media sosial dan televisyen hingga mencetuskan kemarahan orang ramai terhadap pengurusan pusat beli-belah tersebut serta pengeluar eskalator yang gagal memastikan keselamatan peralatan. Pada masa yang sama, orang ramai turut terharu dengan keberanian dan naluri keibuan Xiang Liujuan yang sanggup mengorbankan nyawanya demi anak. Ramai yang menganggap dia sebagai wira sebenar di mana kisah pengorbanannya dijadikan contoh cinta dan kasih ibu yang tiada tandingan. Video kejadian boleh ditonton di sini : https://youtu.be/XWWahRMcdaI?si=L-T_mSDJ0fbWvCvF
Catat Ulasan for "Pengorbanan Terakhir Seorang Ibu Sebelum Maut dalam Kemalangan Ngeri Eskelator"