Skip to content Skip to sidebar Skip to footer

Kisah Yusuke Taniguchi: Juruwang Dengan Ingatan Luar Biasa yang Menjadi Penjenayah Siber

     Pada tahun 2019 bertempat di negara Jepun, seorang lelaki berusia 34 tahun bernama Yusuke Taniguchi ditahan kerana disyaki mencuri maklumat kad kredit pelanggan. Apa yang menjadikan kes ini luar biasa ialah kerana modus operandinya yang sangat jarang berlakum Dia didakwa menghafal butiran kad kredit ratusan pelanggan dengan hanya menggunakan daya ingatan semata-mata.

     Taniguchi ketika itu bekerja sebagai juruwang sambilan di sebuah pusat beli-belah di daerah Koto, Tokyo. Sebagai seorang pekerja kaunter, dia berinteraksi secara langsung dengan pelanggan yang membuat pembayaran menggunakan kad kredit. Mengambil kesempatan daripada kedudukan ini, Taniguchi dipercayai telah menggunakan kemampuannya untuk menghafal butiran sensitif seperti nombor kad kredit, nama pemilik kad, tarikh luput serta kod keselamatan (CVV) yang biasanya tertera di belakang kad. Menurut laporan polis dan media, dia akan menghafal maklumat-maklumat ini dalam masa yang sangat singkat ketika kad berada di tangannya sebelum menyalin semula ke dalam buku nota peribadi selepas pelanggan beredar.


     Pihak berkuasa Jepun mendapati bahawa Taniguchi telah menyimpan maklumat lebih daripada 1300 pelanggan sepanjang tempoh dia bekerja di pusat beli-belah tersebut. Maklumat yang dihimpun kemudian digunakan untuk melakukan pembelian secara dalam talian. Salah satu kes yang membawa kepada penangkapannya melibatkan pembelian barangan mewah seperti beg tangan berjenama bernilai hampir ¥270 000 yen Jepun (kira-kira RM8775). Barangan tersebut dipesan atas namanya sendiri dan dihantar ke alamat tempat tinggalnya. Walau bagaimanapun, taktik Taniguchi akhirnya terbongkar apabila polis menyamar sebagai penghantar dan berjaya memintas penghantaran tersebut sebelum ia sampai ke tangan Taniguchi.

     Siasatan lanjut mendapati bahawa tujuan utama Taniguchi melakukan jenayah ini adalah untuk menjual semula barangan mewah yang dibelinya kepada kedai pajak gadai bagi mendapatkan wang tunai. Wang itu dipercayai digunakan untuk menampung kehidupan hariannya seperti membayar sewa rumah, membeli makanan dan keperluan asas lain. 

     Media Jepun menyifatkan Taniguchi sebagai individu yang memiliki memori fotografik iaitu keupayaan untuk mengingat dengan sangat tepat apa yang dilihat dalam masa singkat. Namun beberapa pakar psikologi dan neurologi kemudian tampil menjelaskan bahawa istilah memori fotografik tidak benar-benar terbukti secara saintifik wujud dalam kalangan orang dewasa. Mereka menjelaskan bahawa keupayaan tersebut lebih mirip kepada memori eidetik yakni kebolehan mengingati imej dengan sangat jelas selama beberapa minit dan biasanya hanya ditemui dalam kalangan kanak-kanak. Dalam kes Taniguchi, walaupun kemampuannya mengingat lebih 1000 maklumat kad kredit amat mengagumkan, ramai meragui sama ada ia benar-benar dilakukan secara manual atau dibantu dengan teknik lain yang belum dikenal pasti sepenuhnya.

     Pihak polis tidak menemui sebarang alat elektronik atau sistem tertentu yang digunakan oleh Taniguchi. Justeru siasatan mengesahkan bahawa dia tidak menggunakan peranti tambahan untuk mencuri maklumat. Perkara ini sekaligus memperkuat dakwaan bahawa Taniguchi sememangnya mengandalkan daya ingatan otaknya sendiri. Yusuke Taniguchi akhirnya didakwa dan berdepan dengan pertuduhan jenayah berkaitan kecurian maklumat peribadi dan penipuan kad kredit.

Catat Ulasan for "Kisah Yusuke Taniguchi: Juruwang Dengan Ingatan Luar Biasa yang Menjadi Penjenayah Siber"