Wanita Lombok Ditemui Mati Disimen Dalam Tangki Septik, Teman Lelaki Ditahan

INDONESIA - Satu kes pembunuhan berlaku di Lombok Barat yang meragut nyawa seorang wanita muda berusia 27 tahun bernama Nurminah yang bekerja di sebuah warung sate terkenal di daerah tersebut. Dia dilaporkan hilang sejak 10 Ogos 2025 apabila tidak pulang selepas keluar untuk bekerja pada waktu pagi. Keluarganya yang bimbang akan kehilangan itu kemudiannya membuat laporan polis pada 12 Ogos 2025 memohon bantuan pihak berkuasa untuk mengesan keberadaan Nurminah.
Selepas hampir dua minggu pencarian, polis akhirnya menemui petunjuk penting hasil siasatan mendalam. Pada 22 Ogos 2025, pihak berkuasa berjaya menahan seorang lelaki yang dikenali sebagai IH atau nama penuhnya Imam Hidayat (ada juga dilaporkan menggunakan nama I Nyoman Bude) yang merupakan teman lelaki kepada mangsa. Penangkapan dibuat di rumah orang tuanya selepas polis mendapat maklumat yang mengaitkan IH dengan kehilangan Nurminah.
Sehari kemudian iaitu pada 23 Ogos 2025, pasukan polis bersama anggota penyelamat bergerak ke sebuah rumah di Perumahan Perembun Asri, Desa Perampuan, Kecamatan Labuapi, Lombok Barat. Di lokasi itulah mereka menemui sesuatu yang mengejutkan. Mayat seorang wanita dipercayai Nurminah dijumpai di dalam sebuah tangki septik atau perigi yang telah ditutup dengan lapisan pasir, batu dan simen. Proses evakuasi jasad mangsa amat sukar dan memakan masa hampir enam jam yaknj bermula sekitar jam 9.00 pagi dan berakhir pada jam 3.00 petang.

Menurut Ketua Desa Perampuan, Zubaidi, jasad Nurminah ditemui dalam keadaan masih utuh tetapi tanpa seurat benang di tubuhnya. Posisi mayat dilaporkan dengan kepala menghadap ke bawah di dalam lubang tersebut. Pihak berkuasa menganggarkan bahawa mayat tersebut sudah disimen selama empat hingga lima hari sebelum ditemui. Hasil siasatan awal, suspek IH mengaku telah memukul Nurminah sehingga tidak sedarkan diri ketika berlaku perselisihan antara mereka. Mangsa yang terkulai kemudian diseret ke dalam tangki di rumah tersebut. Bagi menutup perbuatannya, suspek menimbus jasad Nurminah dengan pasir dan batu sebelum menuang simen di atasnya kononnya bagi menghapus bukti serta mengelakkan dikesan oleh orang lain.
Jenazah Nurminah telah dibawa ke Hospital Bhayangkara Mataram untuk menjalani proses bedah siasat bagi mengenal pasti punca kematian sebenar sama ada akibat pukulan atau lemas ketika berada di dalam tangki. Pihak polis dalam kenyataan rasmi mengesahkan bahawa siasatan akan terus dijalankan bagi merungkai motif di sebalik pembunuhan ini. Antara aspek yang sedang diteliti ialah hubungan peribadi antara mangsa dan suspek serta kemungkinan terdapat faktor lain.
Hingga setakat ini, suspek IH masih ditahan oleh pihak polis dan berdepan dengan tuduhan pembunuhan sengaja serta berpotensi dikenakan hukuman berat di bawah undang-undang jenayah Indonesia.
Catat Ulasan for "Wanita Lombok Ditemui Mati Disimen Dalam Tangki Septik, Teman Lelaki Ditahan"