KISAH PEMBUNUHAN KEJAM DI UNIVERSITI TSINGHUA, TAIWAN

Pada akhir tahun 1990-an, Taiwan digemparkan dengan satu kes jenayah ngeri yang berlaku di sebuah universiti berprestij, Universiti Tsinghua. Kejadian ini melibatkan tiga pelajar pascasiswazah yang mempunyai masa depan cerah bernama Zeng Huantai, seorang pelajar doktor falsafah serta dua pelajar sarjana iaitu Hong Xiaohui dan Xu Jiazhen. Kisah hidup mereka bagaimanapun bertukar menjadi satu episod gelap apabila cinta, cemburu dan dendam bercampur sehingga meragut nyawa.
Pada tahun 1996, Zeng Huantai diterima masuk ke program doktor falsafah di Institut Biologi Radiasi, Universiti Tsinghua. Pada tahun yang sama, dua pelajar sarjana iaitu Hong Xiaohui dan Xu Jiazhen turut mendaftar di fakulti berkenaan. Ketiga-tiganya sering berinteraksi dalam persekitaran akademik yang sama. Hubungan Hong dan Xu pada mulanya sangat akrab. Mereka berdua bahjan digelar sebagai sahabat baik yang saling membantu dalam pelajaran dan kehidupan kampus.

Walau bagaimanapun, situasi mula berubah apabila kedua-duanya mula menyimpan perasaan terhadap Zeng. Zeng sendiri pada awalnya menolak untuk dikaitkan dengan mana-mana pihak di mana menyatakan kepada rakan-rakannya bahawa dirinya hanya menganggap Hong dan Xu sebagai adik atau teman rapat. Namun realiti di sebalik kata-katanya sangat berbeza kerana Zeng sebenarnya telah menjalin hubungan intim dengan kedua-dua mahasiswi itu secara berasingan. Kebenaran ini menimbulkan rasa curiga, kekecewaan dan akhirnya cemburu yang semakin mendalam dalam diri Hong dan Xu. Persahabatan mereka mula renggang, berganti dengan persaingan yang semakin ketara.
Ketegangan antara Hong dan Xu akhirnya sampai ke kemuncaknya pada 7 Mac 1998. Malam itu, kedua-duanya bertemu di auditorium universiti. Perbincangan yang pada awalnya bertujuan menyelesaikan masalah bertukar menjadi pertengkaran hebat. Hong mendesak Xu supaya melepaskan Zeng dan tidak lagi mendekatinya tetapi Xu menolak dengan tegas. Perbalahan yang mulanya sekadar kata-kata bertukar menjadi keganasan fizikal.
Hong yang dikuasai emosi menyerang Xu dengan menumbuk dan mencekiknya. Dalam pergelutan tersebut, kepala Xu terhantuk dengan kuat ke lantai hingga menyebabkan kecederaan parah serta pendarahan. Xu rebah tidak sedarkan diri. Pada ketika itulah,Hong mengambil keputusan yang jauh lebih drastik. Dia mengambil kloroform dari makmal universiti dan menuangkannya pada kepala Xu yang cedera. Bahan kimia itu menutup saluran pernafasan Xu dan tidak lama kemudian, Xu pun mati.


Selepas menyedari perbuatannya, Hong panik. Dia segera mengheret mayat Xu dan menyembunyikannya berdekatan unit pendingin hawa di auditorium. Hong juga cuba membersihkan kesan darah bagi menghapuskan bukti pergaduhan. Namun selepas hampir 16 jam, dia kembali semula ke tempat kejadian dan mendapati Xu benar-benar telah meninggal dunia.
Dalam keadaan cemas dan terdesak, Hong merancang untuk melupuskan mayat agar identiti Xu tidak dapat dikenali. Dia mencampurkan asid nitrik dan asid hidroklorik yang menghasilkan sejenis larutan kimia sangat berkuasa dikenali sebagai aqua regia. Larutan ini biasanya digunakan untuk melarutkan logam mulia seperti emas tetapi kali ini digunakan untuk melupuskan wajah manusia. Hong menuangkan larutan tersebut ke muka Xu sehingga wajah mangsa rosak teruk dan tidak lagi boleh dikenali.
Bagi mengaburi pihak berkuasa, Hong turut meninggalkan kondom yang pernah digunakannya bersama Zeng berhampiran mayat Xu. Helah ini bertujuan mengarahkan siasatan polis kepada Zeng seolah-olah kes itu berpunca daripada hubungan seksual yang songsang.

Mayat Xu ditemui dalam keadaan mengerikan tetapi siasatan pihak berkuasa Taiwan sangat teliti. Polis menjalankan analisis forensik dan menemui bukti penting melalui sisa kuku mangsa, rekod penggunaan kad kredit serta e-mel. Semua bukti tersebut membawa kepada penglibatan Hong sebagai pelaku utama. Walaupun Zeng tidak terbabit dalam pembunuhan, dia turut disoal siasat kerana namanya jelas menjadi punca kepada konflik. Universiti Tsinghua mengambil tindakan tegas di mana Hong dan Zeng disingkirkan serta-merta daripada institusi tersebut.
Pada 13 Oktober 1998, Mahkamah Daerah Taichung membicarakan kes ini. Hong dijatuhi hukuman 15 tahun penjara kerana membunuh dan tambahan 3 tahun kerana merosakkan mayat. Keseluruhan hukuman yang dikenakan ialah 18 tahun penjara. Selain itu, dia juga diarahkan membayar pampasan sebanyak 24.17 juta dolar Taiwan kepada keluarga Xu. Hong menerima keputusan mahkamah tanpa membuat sebarang rayuan.

Hong mula menjalani hukuman pada Januari 1999. Sepanjang berada di penjara, dia beberapa kali memohon pembebasan bersyarat. Pada peringkat awal, permohonan itu ditolak kerana dianggap belum menunjukkan perubahan. Cuma setelah hampir sedekad dipenjara, pihak berkuasa akhirnya meluluskan permohonan tersebut pada November 2008. Hong Xiaohui dibebaskan dengan syarat pada 3 Disember 2008. Sementara itu, nama Zeng pula terus disebut-sebut walaupun dia tidak bersalah dalam pembunuhan tersebut. Zeng kekal dilihat sebagai punca konflik kerana keterlibatannya dalam hubungan dengan kedua-dua mahasiswi.
Setelah menjalani hukuman selama kira-kira 10 tahun 8 bulan, Hong Xiaohui akhirnya menerima pembebasan bersyarat pada 3 Disember 2008 .
Selepas keluar dari penjara, Hong memilih untuk menetap di kediaman keluarganya di bahagian Qianzhen, Kaohsiung . Sia kemudian mendapatkan peluang sebagai penterjemah buku melalui sebuah syarikat penerbitan yang menghubunginya sendiri untuk menawarkan pekerjaan tersebut . Hong mula menggunakan samara. dalam dunia terjemahan. Karya pertamanya, Watermind diterbitkan sekitar Jun 2009 diikuti oleh terjemahan kedua, Darwin’s Radio yang terbit pada Oktober 2009 . Pada awal tahun 2010, Hong turut menyertai organisasi bukan keuntungan yang aktif dalam pendidikan terbuka sebagai penterjemah. Namun sejak meninggalkan organisasi tersebut sekitar tahun 2015, dia dilaporkan menghilangkan diri dan tidak lagi diketahui keberadaannya secara awam. Menurut seorang kaunselor rehabilitasi penjara, Hong terus menerus menyokong diri dengan kerja terjemahan dan hidup secara sederhana serta rendah hati setelah keluar dari penjara.

Reputasi Zeng pula walaupun tidak tertuduh melakukan jenayah turut terjejas kerana keterlibatannya dalam hubungan cinta yang mencetuskan tragedi tersebut. Dia segera ditamatkan pengajian di Universiti Tsinghua lalu mengambil keputusan untuk melanjutkan pelajaran di luar negara. Setelah menamatkan pelajaran PhD, Zeng kembali ke Taiwan dan bekerja sebagai jurutera komputer di Taipei. Pada tahun 2008, dia masih berstatus bujang dan belum berkahwin selain dilaporkan mendiamkan diri dari aspek sosial dan keluarga.
Catat Ulasan for "KISAH PEMBUNUHAN KEJAM DI UNIVERSITI TSINGHUA, TAIWAN"