Bekas Guru Dijatuhi Hukuman 25 Tahun Penjara Atas Eksploitasi Seksual Pelajar

AMERIKA SYARIKAT – Seorang bekas guru sekolah di Yonkers, New York dijatuhi hukuman berat selepas didapati bersalah kerana mengeksploitasi seorang pelajar bawah umur untuk tujuan seksual. Tertuduh iaitu Sandy Carazas-Pinez, 35 tahun dijatuhkan hukuman 25 tahun penjara persekutuan oleh Hakim John P. Cronan di Mahkamah Daerah A.S. bagi Daerah Selatan New York.
Menurut keterangan pihak pendakwa, perbuatan jenayah itu berlaku dalam tempoh antara November 2022 hingga Februari 2023 ketika Carazas-Pinez masih bertugas sebagai guru. Dia yang juga merupakan ibu kepada tiga orang anak dilaporkan telah menyalahgunakan kedudukannya untuk mendekati seorang pelajar lelaki berusia 16 tahun sebelum mengheret pelajar itu ke dalam hubungan yang bersifat eksploitasi.
Pihak berkuasa mendedahkan bahawa Carazas-Pinez menggunakan telefon bimbit peribadinya bagi menghubungi pelajar terbabit. Hubungan itu melibatkan pertukaran mesej teks, panggilan suara serta panggilan video. Dalam beberapa panggilan video, guru tersebut dilaporkan mengarahkan mangsa melakukan aksi seksual secara langsung. Bukti yang diperoleh menunjukkan tingkah laku tersebut bukan sahaja berulang selain dilakukan secara terancang.
Lebih membimbangkan, Carazas-Pinez turut memanipulasi sistem sekolah dengan mengarahkan mangsa mendapatkan pas harian iaitu pas khas yang membolehkan pelajar meninggalkan kawasan sekolah. Maka dengan helah itu, dia kemudian bertemu pelajar berkenaan di luar sekolah untuk melakukan hubungan seksual. Pendakwa raya menegaskan bahawa tindakan ini jelas menunjukkan penyalahgunaan kuasa dan kepercayaan yang diberikan kepada seorang guru.

Kes ini mendapat perhatian meluas kerana Carazas-Pinez juga dikaitkan dengan penghasilan bahan pornografi kanak-kanak berkait dengan perbuatannya. Walaupun pertuduhan itu digugurkan selepas dia membuat pengakuan bersalah, pihak pendakwaan menekankan bahawa jenayah yang dilakukan meninggalkan kesan trauma mendalam terhadap mangsa.
Pada Disember 2024, Carazas-Pinez mengaku bersalah terhadap pertuduhan memujuk seorang bawah umur untuk terlibat dalam aktiviti seksual menyalahi undang-undang. Hasil pengakuan itu, mahkamah pada akhirnya menjatuhkan hukuman 25 tahun penjara serta tambahan 5 tahun pengawasan selepas pembebasan.
Dalam kenyataan rasmi, Pejabat Peguam Negara A.S. bagi Daerah Selatan New York menyifatkan tindakan Carazas-Pinez sebagai penipuan, manipulasi dan penyalahgunaan kuasa yang tidak dapat diterima. Mereka menegaskan bahawa sekolah sepatutnya menjadi ruang selamat bagi pelajar, bukan tempat mereka terdedah kepada eksploitasi oleh individu yang diamanahkan untuk mendidik. Mangsa dalam kes ini yang identitinya tidak didedahkan kerana masih di bawah umur kini dilaporkan sedang menerima rawatan serta sokongan psikologi.
Catat Ulasan for "Bekas Guru Dijatuhi Hukuman 25 Tahun Penjara Atas Eksploitasi Seksual Pelajar"