Skip to content Skip to sidebar Skip to footer

Pembunuhan Kejam Tiga Gadis Muda Gegar Argentina

     ARGENTINA - Argentina dikejutkan dengan satu kes jenayah yang amat kejam apabila tiga wanita muda ditemui mati dibunuh secara sadis di kawasan Florencio Varela. Mangsa dikenal pasti sebagai Brenda del Castillo, 20 tahun, Morena Verdi, 21 tahun dan Lara Morena Gutierrez, 15 tahun. Ketiga-tiga mereka dilaporkan hilang sejak 20 September 2025 sebelum mayat mereka ditemui dalam satu kubur di halaman sebuah rumah di Villa Vatteone, sebuah kawasan perumahan di pinggir Buenos Aires.

     Siasatan awal mendapati pada malam kejadian, mereka dilihat menaiki sebuah kenderaan utiliti berwarna putih jenis Chevrolet Tracker di sebuah bulatan jalan di La Tablada, La Matanza. Rakaman kamera keselamatan menjadi bukti terakhir pergerakan mereka sebelum semua telefon bimbit mangsa terputus isyarat. Usaha mencari mereka dilakukan secara giat dan beberapa hari kemudian, pasukan penyiasat menemui lokasi pengebumian tergesa-gesa yang menempatkan mayat ketiga-tiga mangsa dalam keadaan yang amat menyayat hati.

     Bedah siasat mendedahkan penderaan kejam yang dialami mangsa. Lara yang masih remaja berusia 15 tahun, mengalami kecederaan mengerikan di mana jari-jemarinya dipotong, sebahagian telinganya dikerat dan lehernya ditikam sehingga arteri utama putus selain terdapat kesan terbakar pada tubuh. Brenda pula ditemui dengan tengkorak retak, wajah hancur akibat hentakan kuat serta luka tikaman pada leher manakala perutnya turut disayat selepas kematian. Morena tidak terkecuali menerima penderaan apabila wajahnya lebam teruk dan lehernya terkehel akibat hentakan kasar. Forensik menganggarkan ketiga-tiga mereka dibunuh antara jam tiga hingga lima pagi pada Sabtu yakni hanya beberapa jam selepas dilaporkan hilang.

     Motif pembunuhan ini sedang giat disiasat. Antara hipotesis utama ialah pembalasan dendam berkait dengan kegiatan narkotik. Terdapat dakwaan salah seorang mangsa dikaitkan dengan penghantaran dadah yang didakwa dirampas daripada kumpulan tertentu, sekali gus mencetuskan tindak balas ganas. Ada juga keterangan yang menyebut bahawa ketiga-tiga mereka dipujuk untuk menyertai satu kerja dengan janji bayaran sekitar USD300 seorang dipercayai berkait dengan eksploitasi seks. Bukti tambahan turut menunjukkan bahawa sebahagian daripada penyeksaan itu disiarkan secara langsung melalui media sosial kepada sekumpulan kecil penonton yang dipercayai sebagai amaran kepada pihak lain serta bagi menonjolkan kekuasaan kumpulan yang terlibat.

     Hingga setakat ini, polis telah menahan empat orang suspek berusia antara 18 hingga 28 tahun termasuk dua lelaki dan dua wanita. Kesemua mereka disiasat atas tuduhan pembunuhan berganda dengan unsur kekejaman melampau. Tumpuan penyiasatan turut diberikan kepada seorang individu dengan gelaran narco Peruano yang dipercayai ketua sindiket yang memberi arahan atau mengatur pembunuhan tersebut.

Catat Ulasan for "Pembunuhan Kejam Tiga Gadis Muda Gegar Argentina"