CUBA TAGIH HUTANG, GADIS INI DIBUNUH DENGAN KEJAM

Hijrah, seorang gadis berusia 19 tahun yang bekerja di PT Permodalan Nasional Madani (PNM), sebuah syarikat kewangan di Indonesia. Dia dikenali sebagai seorang pekerja yang tekun, peramah dan sentiasa berdedikasi terhadap tugasnya walaupun tinggal bersama neneknya yang sudah tua serta uzur selepas ibu bapanya berpisah. Hijrah sentiasa memastikan neneknya dijaga dengan baik dan pulang setiap hujung minggu untuk menemaninya. Namun kehidupan Hijrah yang penuh dedikasi itu terhenti akibat kejadian pembunuhan ya g berlaku pada September 2025.
Pada malam 18 September 2025 yakni sekitar pukul 10 malam, Hijrah menghubungi rakannya iaitu Wizrah melalui WhatsApp. Dalam mesej itu, Hijrah menyatakan berasa takut kerana dibonceng oleh seorang lelaki yang merupakan suami salah seorang peminjam PNM. Lelaki tersebut dikatakan mengajaknya mengambil wang tetapi jalan yang dilalui menuju ke kebun sekali gus menimbulkan rasa cemas pada Hijrah. Selepas itu, komunikasi terputus dan telefon bimbitnya tidak lagi dapat dihubungi. Wizrah berusaha menghubungi Hijrah beberapa kali tetapi gagal mendapat jawapan.

Sebelum mesej terakhir itu, pada pukul 4.00 petang, Hijrah memulakan tugas rutin menagih pinjaman di rumah peminjam yang bernama Nurlina. Walau bagaimanapun, peminjam tersebut tiada di rumah. Hijrah berinteraksi dengan suami Nurlina yang dikenali sebagai Risman yang juga peminjam PNM. Risman mengaku tidak memiliki wang untuk membayar hutang. Hijrah mencadangkan supaya Risman meminjam wang daripada jiran tetapi usaha itu tidak berhasil. Sekitar pukul 9.00 malam, Hijrah kembali ke rumah Risman untuk menagih pembayaran. Dalam perjalanan itu, berlaku pertengkaran disebabkan kata-kata Hijrah telah menyinggung Risman yang tidak mampu membayar hutang. Pertengkaran ini memicu emosi Risman dan menjadi titik awal kejadian pembunuhan yang berlaku selepas itu.
Keesokan harinya, keluarga dan rakan sekerja menyedari kehilangan Hijrah lalu segera melaporkan perkara itu kepada pihak polis. Motosikal milik Hijrah kemudian ditemui terparkir di kawasan kebun dengan topi keledar masih tergantung tetapi keberadaan Hijrah tetap tidak diketahui. Polis Pasangkayu segera melancarkan operasi pencarian untuk mencari gadis muda ini.

Pada pagi 20 September 2025, mayat Hijrah ditemui di bawah pokok kelapa di kebun milik penduduk di Dusun Tanga-Tanga, Desa Sarjo, Pasangkayu. Keadaan mayat sangat menyedihkan di mana Hijrah hanya memakai pakaian dalam dengan pakaian kerja berlogo PNM yang melilit lehernya. Beberapa luka pada badan menunjukkan dia mengalami kekerasan fizikal sebelum meninggal dunia. Polis mendapati bahawa cara pembunuhan adalah dicekik oleh suspek. Jadi kematian Hijrah diklasifikasikan sebagai pembunuhan, bukan kemalangan atau bunuh diri.
Polis Pasangkayu menjalankan siasatan secara menyeluruh. Berdasarkan bukti dan keterangan saksi, polis mengenal pasti Risman, suami peminjam PNM sebagai suspek utama. Risman ditahan pada 22 September 2025. Polis menjelaskan bahawa kata-kata Hijrah mengenai ketidakmampuan Risman membayar hutang memicu kemarahan suspek sehingga dia melakukan kekerasan yang berakhir dengan kematian Hijrah. Barang bukti serta keterangan saksi menguatkan keterlibatan Risman dalam kejadian ini. Polis berjanji akan menjalankan proses perbicaraan secara telus dan adil bagi memastikan keadilan untuk keluarga Hijrah.

Menurut satu sumber, Risman didakwa di bawah Pasal 340 KUHP (pembunuhan dengan niat/terancang) bersama-sama dengan Pasal 338 KUHP (pembunuhan biasa) atas perbuatannya membunuh Hijrah. Jika disabitkan kesalahan, Risman bakal berdepan dengan hukuman penjara seumur hidup atau mati.
Catat Ulasan for "CUBA TAGIH HUTANG, GADIS INI DIBUNUH DENGAN KEJAM"