Skip to content Skip to sidebar Skip to footer

KISAH HAKYUNG LEE : Dari Kematian Suami Ke Pembunuhan Dua Anak

     Hakyung Lee, seorang wanita Korea Selatan yang asalnya dikenali sebagai Ji Eun Lee menetap bersama keluarganya di Auckland, New Zealand. Dia berkahwin dengan seorang lelaki bernama Ian Jo. Hasil perkahwinan itu, mereka dikurniakan dua orang anak iaitu seorang anak perempuan bernama Yuna Jo yang lahir pada 2010 dan seorang anak lelaki bernama Minu Jo yang lahir pada 2012. Keluarga ini pada mulanya kelihatan normal dan stabil. Anak-anak mereka bersekolah seperti biasa manakala kehidupan rumah tangga berjalan dengan baik.

     Walau bagaimanapun, musibah melanda pada tahun 2017 apabila Ian Jo disahkan menghidap kanser. Penyakit itu meragut nyawanya pada tahun yang sama dan peristiwa ini memberi kesan besar kepada keluarga kecil itu terutama sekali kepada Lee. Kehilangan suami bukan sahaja meruntuhkan sokongan emosi malah menjejaskan kestabilan kewangan keluarga.

     Selepas kematian suaminya, Hakyung Lee mula menunjukkan perubahan yang ketara. Dari segi kewangan, rekod menunjukkan perbelanjaannya meningkat secara mendadak. Sebelum ini, penggunaan kad kreditnya berada pada paras sederhana sekitar NZ$800 (sekitar RM2200) sebulan. Namun dalam tempoh lapan bulan selepas suaminya meninggal, perbelanjaan Hakyung Lee melonjak kepada purata lebih NZ$11 000 (sekitar RM30 000) sebulan. Dia dilaporkan berbelanja untuk rawatan kecantikan, membeli barangan mewah dan melancong. Hubungan dengan ahli keluarga lain juga semakin renggang dan anak-anaknya dikatakan jarang kelihatan di sekolah selepas pertengahan tahun 2018. 

     Pada bulan Jun 2018, satu kejadian besar berlaku dalam keluarga ini. Hakyung Lee didakwa membunuh kedua-dua anaknya, Minu Jo (6 tahun) dan Yuna Jo (8 tahun) di rumah mereka. Menurut siasatan, Lee memberi anak-anaknya ubat antidepresan jenis nortriptyline dalam dos yang besar. Ubat itu sebenarnya ditetapkan untuk rawatan kemurungan namun dalam dos yang tinggi ia boleh membawa maut.

     Di mahkamah, pihak pembela berhujah bahawa Hakyung Lee tidak berada dalam keadaan waras ketika kejadian. Dia dikatakan mengalami tekanan mental yang teruk selepas kematian suami, mendengar halusinasi suara dan percaya bahawa membunuh anak-anaknya adalah satu bentuk pilihan moral yang dianggap wajar pada waktu itu. Pihak pendakwa bagaimanapun menegaskan bahawa walaupun dia mengalami tekanan emosi, tindakannya jelas menunjukkan kesedaran dan perancangan.

    Selepas kematian anak-anaknya, Hakyung Lee membungkus mayat mereka dengan plastik, mengikat dengan pita dan meletakkan mereka ke dalam dua buah beg pakaian bersaiz besar. Beg-beg tersebut kemudiannya disimpan di sebuah unit stor milik syarikat SafeStore di Papatoetoe, Auckland.

     Selepas menyembunyikan mayat anak-anaknya, Hakyung Lee berusaha memadamkan jejak kehidupannya di New Zealand. Dia menukar namanya lalu kembali ke Korea Selatan dan dilaporkan menaiki penerbangan kelas perniagaan. Hakyung Lee terus menjalani kehidupan baharu di negara asal seolah-olah cuba meninggalkan kisah silamnya. Dalam tempoh itu, dia tidak lagi membayar sewaan unit stor di Auckland hingga menyebabkan pihak syarikat melelong kandungan stor tersebut pada tahun 2022.


     Pada Ogos 2022, keluarga yang membeli barangan lelong dari unit stor itu membuat penemuan mengejutkan. Ketika membuka dua buah beg pakaian yang dibeli, mereka mendapati mayat manusia yang sudah reput teruk di dalamnya. Polis dipanggil segera dan siasatan mendapati mayat tersebut ialah kanak-kanak iaitu Yuna dan Minu Jo lalu mengaitkannya dengan Hakyung Lee yang ketika itu dipercayai sudah kembali ke Korea Selatan.

     Selepas siasatan antarabangsa dijalankan dengan kerjasama pihak berkuasa Korea Selatan, Hakyung Lee ditangkap pada bulan September 2022 di bandar Ulsan, Korea. Dia kemudiannya melalui proses ekstradisi dan dihantar semula ke New Zealand pada November 2022 untuk menghadapi perbicaraan atas tuduhan membunuh dua anaknya.

     Kes ini dibicarakan di Mahkamah Tinggi Auckland pada tahun 2025. Pihak pendakwa menuduh Hakyung Lee melakukan pembunuhan yang disengajakan dengan bukti menunjukkan bahawa selepas kematian anak-anak, dia mengambil langkah terancang untuk menyembunyikan jenayah tersebut. Tindakan menyimpan mayat dalam beg, menyewa stor, menukar identiti dan kembali ke Korea dianggap bukti jelas bahawa dia sedar tindakannya salah di sisi undang-undang.

     Pihak pembela sebalikunya cuba meyakinkan juri bahawa Hakyung Lee mengalami gangguan mental serius, mendengar halusinasi dan tidak mampu membezakan antara betul atau salah pada waktu kejadian. Seorang pakar psikiatri juga memberi keterangan bahawa Hakyung Lee mengalami “penurunan ke arah kegilaan” selepas kematian suami.bNamun pakar forensik pendakwa menolak hujah ini. Menurut mereka yakni walaupun Hakyung Lee mengalami tekanan mental, bukti tingkah lakunya selepas pembunuhan membuktikan dia masih sedar dan tahu bahawa tindakannya adalah salah.

     Pada 23 September 2025, juri Mahkamah Tinggi Auckland membuat keputusan sebulat suara bahawa Hakyung Lee bersalah atas dua pertuduhan pembunuhan. Pembelaannya menggunakan alasan ketidakwarasan ditolak. Suasana di mahkamah dikatakan penuh emosi. Malah beberapa ahli juri dilaporkan menitiskan air mata ketika mendengar kisah kehidupan anak-anak yang menjadi mangsa. Selepas keputusan bersalah diumumkan, Hakyung Lee terus ditahan reman sementara menunggu tarikh hukuman. Penentuan hukuman dijadualkan pada 26 November 2025. Mengikut undang-undang New Zealand, sabitan pembunuhan membawa hukuman penjara seumur hidup dengan hakim perlu menetapkan tempoh minimum sebelum tertuduh boleh memohon parol sekurang-kurangnya selama 10 tahun.

Catat Ulasan for "KISAH HAKYUNG LEE : Dari Kematian Suami Ke Pembunuhan Dua Anak "