Skip to content Skip to sidebar Skip to footer

Kisah Rebecca Joynes: Guru Pemangsa di Manchester yang Menjerat Muridnya

     Pada tahun 2024 bertempat di United Kingdom khususnya di Greater Manchester telah dikejutkan dengan pendedahan kes melibatkan seorang bekas guru sekolah menengah bernama Rebecca Joynes. Guru wanita berusia 30 tahun itu disabitkan dengan kesalahan serius kerana melakukan jenayah seksual terhadap dua orang murid lelaki yang ketika itu masing-masing berusia hanya 15 tahun. 

     Hasil siasatan mendapati Joynes memulakan tindak-tanduknya dengan cara yang licik dan terancang. Salah seorang mangsa yang dikenali dalam mahkamah sebagai Boy A diberikan nombor telefon guru itu secara rahsia melalui permainan teka-teki matematik di dalam kelas. Joynes memberi murid itu hampir keseluruhan nombornya tetapi meninggalkan satu digit untuk diteka seolah-olah sebagai satu latihan matematik. Bermula dari situ, hubungan antara guru dan murid tersebut mula berkembang ke arah yang tidak sihat. Tidak lama selepas itu, Joynes menggunakan aplikasi media sosial seperti Snapchat untuk berhubung dengan mangsanya di mana dia sering kali dengan nada menggoda, rayuan emosi dan pujukan yang bersifat memanipulasi.


     Joynes bukan sahaja menjalinkan hubungan terlarang dengan Boy A malah dia turut mengulangi corak sama terhadap seorang lagi murid lelaki. Kedua-dua remaja tersebut menjadi mangsa antun seksual iaitu proses manipulasi dan pengaruh berterusan oleh orang dewasa terhadap kanak-kanak dengan tujuan mengeksploitasi mereka secara seksual. Dalam kes ini, Joynes menggunakan pujukan, perhatian istimewa serta hadiah untuk memastikan mangsa-mangsa terus terikat dengannya. Antara hadiah yang dibeli termasuklah tali pinggang berjenama Gucci bernilai sekitar £345 (sekitar RM2035) yang diberikan kepada salah seorang mangsanya semasa mereka keluar bersama di Trafford Centre, sebuah pusat beli-belah terkenal di Manchester. 

     Selain pemberian hadiah, Joynes juga menggunakan unsur ugutan emosi dan kawalan mental untuk mengekalkan dominasi terhadap remaja-remaja terbabit. Dia sering memberi mesej yang bersifat manipulatif seolah-olah cuba meyakinkan mangsa bahawa mereka mempunyai hubungan yang istimewa dan rahsia tersebut tidak boleh didedahkan kepada sesiapa. Cara halus inilah yang menjadikan mangsa berada dalam keadaan tertekan, keliru dan takut untuk melaporkan apa yang berlaku meskipun mereka sendiri menyedari situasi itu tidak betul.

     Kesalahan Joynes akhirnya terbongkar selepas pihak sekolah dan pihak berkuasa menerima aduan serta menjalankan siasatan. Perbicaraan di mahkamah mendedahkan butiran mengejutkan tentang tingkah laku Joynes serta mesej-mesej yang dikirim kepada mangsanya. Mahkamah mendapati Joynes bersalah atas enam pertuduhan aktiviti seksual dengan kanak-kanak termasuk dua pertuduhan kerana melakukan hubungan tidak wajar semasa masih memegang jawatan kepercayaan sebagai guru.

     Hakim kemudiannya menjatuhkan hukuman yang berat terhadap Joynes. Dia dijatuhi hukuman penjara selama enam tahun setengah sebagai hukuman atas perbuatannya. Selain itu, mahkamah turut mengarahkan agar Joynes didaftarkan sebagai pesalah seks seumur hidup sekali gus menjadikannya seseorang yang akan sentiasa berada di bawah pengawasan pihak berkuasa bagi melindungi masyarakat daripada sebarang risiko berulangnya jenayah. Tambahan pula, satu Perintah Pencegahan Kemudaratan Seksual selama 10 tahun dikenakan yang menghadkan pergerakan, aktiviti dan interaksi sosial Joynes dalam tempoh tersebut. Mahkamah juga mengeluarkan perintah larangan yang melarang Joynes daripada berhubung dengan kedua-dua mangsa seumur hidup mereka.

     Pihak pendakwa raya menekankan bahawa Joynes telah menyalahgunakan kepercayaan yang diberikan kepadanya sebagai seorang pendidik dan jenayah ini telah meninggalkan kesan trauma yang mendalam terhadap mangsa. Lebih mengejutkan yakni semasa dalam proses rayuan hukuman, Joynes dilaporkan menangis dan menunjukkan penyesalan namun hakim menegaskan bahawa kesalahannya adalah serius, dirancang dan berulang. Maka hukuman berat wajar dikenakan sebagai pengajaran. 

Catat Ulasan for "Kisah Rebecca Joynes: Guru Pemangsa di Manchester yang Menjerat Muridnya"