Kisah Elena Gouliakova: Dari Kilauan Luncur Ais ke Jalanan Mexico

Selepas meninggalkan kerjaya pertunjukan, Elena berpindah ke Mexico bersama suaminya yang bernama Nikolay Suetov. Tujuan utama mereka adalah memperkenalkan budaya luncur ais di negara yang ketika itu masih belum mempunyai tradisi kukuh dalam bidang tersebut. Maka dengan pengalaman luas yang dimiliki, pasangan itu berusaha mengajar teknik luncur, melatih murid dan membangunkan komuniti yang mampu menghidupkan sukan ini di tanah yang beriklim tropika. Kehadiran mereka disambut baik oleh penduduk tempatan kerana dianggap membawa satu bentuk seni dan sukan baharu.

Kehidupan Elena di Mexico bagaimanapun tidak seindah yang disangka. Pada sekitar tahun 2006, berlaku keretakan dalam rumah tangganya yang berakhir dengan perpisahan. Selepas peristiwa itu, hidupnya mulai berubah. Tanpa pasangan yang sebelum ini menjadi tonggak sokongan, Elena berhadapan dengan kesukaran emosi yang mendalam. Sumber media melaporkan bahawa dia mula mengalami kemurungan, sukar mengekalkan pekerjaan dan mula terpinggir daripada lingkaran sosialnya.
Keadaan Elena semakin membimbangkan apabila laporan menyebut bahawa dia didiagnosis menghidap skizofrenia paranoid. Penyakit mental ini membawa kesan serius, termasuk gangguan halusinasi, rasa curiga melampau serta kesukaran mempercayai orang lain. Dalam konteks Elena, hal ini menyebabkan dia menolak sebarang bantuan walaupun daripada pihak yang benar-benar berniat baik. Elena mula mengasingkan diri, sukar berinteraksi secara normal dan lambat laun keadaannya merosot sehingga menjadikannya tanpa tempat tinggal tetap.

Skizofrenia sering kali memerlukan rawatan jangka panjang, sokongan perubatan berterusannserta persekitaran yang stabil. Namun Elena tidak memiliki akses penuh kepada rawatan tersebut. Mexico yang juga seperti kebanyakan negara lain, menghadapi cabaran dalam menyediakan kemudahan kesihatan mental yang mencukupi apatah lagi kepada warga asing. Akibatnya, Elena semakin terpinggir.
Dalam lebih satu dekad terakhir, Elena dilaporkan hidup berpindah-randah di beberapa bandar di Mexico. Dia pernah kelihatan di Monterrey, Nuevo Leon dan juga di beberapa kawasan di Jalisco. Rakaman video serta gambar yang tersebar di media sosial menunjukkan Elena berjalan sendirian, sering membawa barang-barangnya dalam beg plastik atau troli kecil. Ada kalanya dia kelihatan ditemani haiwan peliharaan seolah-olah itu sahaja teman hidupnya.

Wajahnya jelas menampakkan perubahan drastik berbanding zaman muda Elena di atas gelanggang luncur. Rambutnya kusut, pakaiannya lusuh dan ekspresi wajahnya sering kali kelihatan kosong atau cemas. Namun dalam beberapa interaksi dengan orang awam, Elena tetap menunjukkan sisa-sisa maruah diri. Dia kadang-kadanv menyebut bahawa dirinya seorang empresaria atau usahawan, mendakwa bekerja di kedai pakaian seolah-olah mahu menafikan keadaan hidupnya di jalanan.
Penemuan Elena dalam keadaan sebegini menimbulkan simpati ramai khususnya rakyat Mexico yang mengikuti kisahnya melalui media tempatan. Ramai menggesa pihak berkuasa untuk memberikan sokongan perubatan dan kebajikan, bukan sekadar membiarkannya terus bergelandangan. Ada juga yang cuba menghubungi keluarganya di Rusia akan tetapi tidak banyak maklumat rasmi diketahui tentang sama ada keluarganya masih berhubung atau menyedari keadaannya.
Media tempatan melaporkan bahawa beberapa sukarelawan pernah cuba menawarkan makanan, pakaiannatau tempat tinggal. Walau bagaimanapun, Elena kerap menolak. Sikap ini dipercayai berpunca daripada penyakit skizofrenia yang dialaminya di mana pesakit sering berasa curiga, takut dimanipulasi atau enggan percaya kepada orang luar. Situasi ini menambah cabaran bagi mereka yang benar-benar mahu membantu.
Salah satu perkara yang sering menjadi bahan perbincangan ialah status Elena sebagai juara dunia luncur ais. Sebahagian media Mexico menonjolkan kisahnya dengan tajuk sensasi seperti bekas juara dunia kini hidup merempat di jalanan. Namun setakat ini tidak ada rekod rasmi yang menunjukkan Elena pernah memenangi kejohanan dunia peringkat tertinggi.
Catat Ulasan for "Kisah Elena Gouliakova: Dari Kilauan Luncur Ais ke Jalanan Mexico"