Lelaki Maut Selepas Didakwa Diabaikan Kakitangan Restoran

AMERIKA SYARIKAT – Satu kejadian tragis berlaku pada awal Ogos 2025 di Houston, Amerika Syarikat, apabila seorang lelaki berusia 34 tahun iaitu Jessie Mobley Jr. ditemui mati tidak lama selepas dilaporkan rebah di sebuah restoran.
Menurut laporan polis Houston, kejadian bermula pada 7 Ogos 2025 di restoran KFFO Afro Steakhouse yang terletak di bahagian barat bandar tersebut. Jessie Mobley dilaporkan sedang menikmati hidangan sebelum tiba-tiba rebah di meja makan. Saksi mengatakan lelaki itu kelihatan tidak sedarkan diri. Namun tindakan susulan kakitangan restoran menimbulkan kontroversi. Mereka didakwa tidak memanggil talian kecemasan 911 tetapi sebaliknya mengangkat Mobley keluar dari premis dan meletakkannya di kawasan berhampiran sebuah kolej kecantikan. Kakitangan restoran dikatakan menganggap mangsa hanyalah seorang gelandangan yang mabuk atau tidak stabil.
Keesokan paginya, seorang pelajar kolej kecantikan menemui tubuh tidak bernyawa Mobley di lokasi tersebut lalu membuat laporan kepada pihak berkuasa. Polis dan paramedik yang tiba di tempat kejadian mengesahkan lelaki itu telah meninggal dunia. Mayatnya kemudian dibawa ke bilik forensik untuk proses bedah siasat bagi menentukan punca sebenar kematian.
Jurucakap Jabatan Polis Houston memaklumkan bahawa siasatan masih berjalan dan pihak mereka sedang menunggu keputusan autopsi. Hasil siasatan forensik akan menjadi faktor penentu sama ada kes ini diklasifikasikan sebagai kematian akibat sebab semula jadi ataupun memerlukan siasatan lanjut berkaitan kecuaian pihak tertentu. Polis juga menyatakan sekiranya punca kematian didapati semula jadi, kemungkinan besar siasatan akan ditutup.

Sementara itu, keluarga Jessie Mobley tampil memberikan kenyataan penuh emosi. Mereka melahirkan rasa tidak puas hati dan kecewa dengan tindakan kakitangan restoran yang dianggap tidak berperikemanusiaan. Menurut ahli keluarga, Jessie mungkin dapat diselamatkan sekiranya tindakan segera diambil termasuk memanggil perkhidmatan kecemasan ketika dia rebah. Mereka menegaskan bahawa nyawa mangsa seolah-olah diabaikan hanya kerana tanggapan stereotaip bahawa dia seorang gelandangan.
Hingga setakat ini, pihak restoran KFFO Afro Steakhouse belum mengeluarkan kenyataan rasmi. Polis Houston menegaskan siasatan masih diteruskan dan keputusan autopsi dijangka akan menjadi kunci utama dalam menentukan hala tuju kes ini. Bagi keluarga mangsa, mereka hanya mahukan keadilan ditegakkan dan memastikan kejadian serupa tidak lagi menimpa orang lain pada masa akan datang.
Catat Ulasan for "Lelaki Maut Selepas Didakwa Diabaikan Kakitangan Restoran"