Skip to content Skip to sidebar Skip to footer

Kes Penangkapan Autumn Bardisa: Jururawat Palsu yang Rawat Lebih Daripada 4000 Pesakit

     Pada 5 Ogos 2025, pihak berkuasa di Palm Coast, Florida menahan seorang wanita berusia 29 tahun bernama Autumn Bardisa di kediamannya. Penangkapan ini dilakukan selepas siasatan rapi mendedahkan bahawa dia telah menyamar sebagai jururawat berlesen dan secara aktif memberikan rawatan kepada ribuan pesakit walaupun tidak mempunyai kelayakan sah. 

     Selepas ditahan, Bardisa didakwa di mahkamah dengan 14 pertuduhan jenayah. Tujuh daripada pertuduhan itu berkaitan dengan mengamalkan profesion penjagaan kesihatan tanpa lesen manakala tujuh lagi melibatkan kesalahan menggunakan identiti palsu. Mahkamah menetapkan ikat jamin sebanyak US$70 000 (sekitar RM330,000) sementara menunggu perbicaraan penuh. .

     Rekod siasatan menunjukkan bahawa Bardisa mula bekerja di AdventHealth Palm Coast Parkway pada Julai 2023. Waktu itu, dia dilantik sebagai seorang advanced nurse technician yakni jawatan yang membenarkan tugasan sokongan asas di bawah pengawasan jururawat bertauliah. Namun tidak lama selepas memulakan kerja, Bardisa mendakwa bahawa dia telah menamatkan pengajian dalam bidang kejururawatan dan sedang menunggu peperiksaan lesen kebangsaan.

     Beberapa bulan kemudian, Bardisa memberitahu pihak hospital bahawa peperiksaan itu telah pun dilalui dengan jayanya dan kini layak berkhidmat sebagai jururawat berlesen. Maka dengan keyakinan yang ditunjukkan, ramai pihak di hospital percaya akan dakwaan tersebut. Bardisa pun mula diberi tanggungjawab seperti seorang jururawat sebenar.

     Bagi menguatkan penyamarannya, Bardisa dilaporkan menggunakan nombor lesen jururawat milik seorang bekas rakan sekelas yang kebetulan juga bernama Autumn. Perbezaan hanya terletak pada nama keluarga. Apabila ditanya mengenai percanggahan itu, Bardisa memberi alasan bahawa dia sudah berkahwin lalu menukar nama keluarga bagi menyesuaikan maklumat dengan lesen yang digunakannya. Namun apabila diminta mengemukakan sijil perkahwinan sebagai bukti, Bardisa gagal berbuat demikian. 

     Sepanjang tempoh Jun 2024 hingga Januari 2025, Bardisa berfungsi sepenuhnya sebagai jururawat di hospital berkenaan. Dia bukan sahaja membantu malah mengendalikan tugasan kritikal yang sepatutnya dilakukan oleh jururawat berlesen sahaja. Antara tugas tersebut termasuk memberi ubat kepada pesakit, memasang tiub intravena (IV), merekod data kesihatan serta mengurus prosedur rawatan harian. Audit dalaman hospital yang dijalankan kemudian mendapati bahawa Bardisa telah memberikan rawatan kepada lebih 4400 pesakit dalam tempoh berkenaan. Namun hingga setakat ini tiada laporan kecederaan serius atau kematian akibat rawatannya. 

     Segala-galanya mula terbongkar pada Januari 2025 yakni ketika Bardisa dicalonkan untuk kenaikan pangkat. Seperti biasa, proses audit menyeluruh dilakukan oleh pihak hospital sebelum pengesahan jawatan baharu. Dalam audit tersebut, pihak pengurusan mendapati terdapat percanggahan serius dalam maklumat kelayakan Bardisa.

     Semakan lanjut mendedahkan bahawa Bardisa sebenarnya hanya pernah memiliki lesen sebagai Certified Nursing Assistant (CNA) iaitu kelayakan juruteknik penjagaan asas dan lesen itu pula telah tamat tempoh. Lebih memburukkan keadaan, alasan tentang perkahwinan dan pertukaran nama yang diberikan sebelum ini tidak dapat disokong dengan sebarang dokumen rasmi.

     Akibat penemuan tersebut, pada 22 Januari 2025, Bardisa dipecat serta-merta daripada jawatannya. Pihak hospital kemudian melaporkan kes ini kepada pihak berkuasa dan siasatan rasmi dijalankan oleh Flagler County Sheriff’s Office. Selepas beberapa bulan pengumpulan bukti, barulah waran tangkap dikeluarkan dan Bardisa ditahan pada Ogos 2025. Selepas isu ini terbongkar, pihak hospital AdventHealth Palm Coast Parkway mengeluarkan kenyataan rasmi bahawa mereka amat kesal dengan kejadian tersebut. Pihak pengurusan menegaskan bahawa langkah segera telah diambil untuk memastikan semua pesakit yang pernah berurusan dengan Bardisa dikenal pasti dan disemak rekod rawatan mereka.

Catat Ulasan for "Kes Penangkapan Autumn Bardisa: Jururawat Palsu yang Rawat Lebih Daripada 4000 Pesakit "