KISAH GELAP ADAM BRITTON : Pakar Buaya yang Jadi Pemangsa Haiwan

Adam Robert Corden Britton ialah seorang ahli zoologi kelahiran United Kingdom yang berpindah ke Australia dan selama bertahun-tahun dia dikenali sebagai pakar buaya. Memiliki latar belakang akademik yang kukuh iaitu Ijazah Zoologi dari University of Leeds dan PhD dari University of Bristol, Britton berjaya membina nama sebagai seorang saintis yang dihormati. Dia pernah bekerjasama dengan Charles Darwin University serta muncul dalam dokumentari berkaitan haiwan liar yang menjadikan reputasinya semakin kukuh dalam dunia akademik dan konservasi. Kepakaran Britton dalam bidang zoologi khususnya mengenai buaya menjadikannya figura awam yang dikenali ramai. Namun, di sebalik imej saintis yang terhormat itu, tersembunyi sisi gelap yang akhirnya membawa kepada salah satu skandal jenayah paling mengejutkan di Australia.
Antara tahun 2014 hingga 2022, Britton menjalani kehidupan berganda. Secara terbuka, dia digelar sebagai pencinta haiwan dan penyelidik. Namun di sebalik itu, Britton melakukan siri jenayah yang sangat kejam terhadap anjing peliharaan. Melalui platform iklan dalam talian seperti Gumtree, dia memperdaya ramai pemilik haiwan dengan berpura-pura sebagai individu yang mahu menjaga anjing mereka. Ramai yang mempercayakan anjing kesayangan mereka kepadanya dengan harapan haiwan itu akan diberi rumah baru yang penuh kasih sayang. Malangnya apa yang berlaku adalah sebaliknya. Setiap ekor anjing yang diserahkan kepada Britton menjadi mangsa penyeksaannya. Britton bukan sahaja mendera dan merogol anjing-anjing tersebut malah turut membunuh sebahagiannya. Lebih mengerikan, dia merakam sebahagian besar perbuatan itu untuk tatapan sendiri dan ada yang turut dihantar kepada individu lain melalui internet.

Menurut butiran siasatan, sekurang-kurangnya 42 ekor anjing diserahkan kepada Britton sepanjang tempoh tersebut. Daripada jumlah itu, 39 ekor mati akibat penderaan yang dilakukan. Tindakan sadistik ini dilakukan berulang kali dalam tempoh lapan tahun tanpa dapat dikesan oleh orang awam termasuk oleh pemilik asal yang benar-benar percaya bahawa anjing mereka dijaga dengan baik. Perbuatan itu akhirnya terbongkar bukan kerana laporan daripada mangsa atau pemilik haiwan tetapi secara tidak langsung melalui siasatan polis terhadap kes berbeza.
Pada awal tahun 2022, polis Australia Utara sedang menyiasat kes pengedaran bahan lucah kanak-kanak. Semasa dalam proses meneliti fail digital dan rangkaian internet, pihak berkuasa menemui rakaman video mengejutkan yang bukan sahaja melibatkan penderaan seksual kanak-kanak tetapi juga penderaan haiwan yang melampau. Analisis alamat IP membawa mereka kepada kediaman Britton di Darwin. Pada September 2022, polis melakukan serbuan ke atas rumah Britton dan menemui bukti kukuh termasuk komputer riba, cakera keras serta peranti lain yang dipenuhi ratusan rakaman dan gambar menunjukkan dia sendiri menyeksa, merogol, dan membunuh anjing. Bukti itu terlalu jelas untuk dinafikan sekali gus mengakhiri kehidupan bergandanya

Britton segera ditahan dan pada tahun 2023. Dia didakwa dengan lebih daripada 60 pertuduhan yang merangkumi penderaan haiwan, perbuatan seks dengan haiwan, pembunuhan haiwan dengan kejam serta memiliki dan mengedarkan bahan penderaan seksual kanak-kanak. Sepanjang perbicaraan, pihak pendakwa raya mendedahkan rakaman-rakaman video yang dirakam Britton sendiri yang menunjukkan dengan jelas penderaan terhadap anjing-anjing berkenaan. Britton akhirnya mengaku bersalah atas semua pertuduhan yang dikenakan. Hakim dalam penghakimannya menyifatkan perbuatan itu sebagai sadistik, ekstrem dan menjijikkan selain menekankan bahawa jenayah ini adalah antara yang paling mengerikan pernah didengar di Mahkamah Agung Wilayah Utara.
Di sebalik semua itu, kehidupan rumah tangga Britton turut menjadi perhatian. Dia berkahwin dengan seorang wanita bernama Erin yang juga terlibat dalam bidang berkaitan haiwan dan pernah menjadi rakan usahanya dalam projek konservasi buaya. Mereka tinggal bersama di sebuah kediaman luas di McMinns Lagoon, Darwin yang turut menempatkan buaya peliharaan serta menjadi lokasi dokumentari haiwan liar. Dalam perbicaraan, jelas bahawa isterinya tidak pernah mengetahui langsung tentang perbuatan gelap Britton. Segala jenayah dilakukan secara rahsia, tersembunyi daripada pengetahuan keluarga. Erin tidak pernah terlibat. Malah dia sendiri dilaporkan sangat terkejut dan trauma apabila kebenaran terbongkar.

Status perkahwinan mereka menjadi persoalan selepas pendedahan itu. Walaupun Erin tidak didakwa atau disabitkan dengan sebarang pertuduhan, media melaporkan bahawa hubungan mereka berakhir secara rasmi. Dia dipercayai memfailkan penceraian tidak lama selepas penahanan Britton pada tahun 2022. Erin mengambil langkah menjauhkan diri sepenuhnya bukan sahaja demi keselamatan dirinya tetapi juga kerana kesan reputasi besar yang dibawa skandal itu. Dalam kenyataan tidak rasmi, sumber terdekat menyatakan bahawa Erin ingin melupakan sepenuhnya kaitannya dengan nama Britton sambil cuba membina semula hidupnya jauh daripada perhatian awam.
Pada 8 Ogos 2024, hukuman dijatuhkan. Britton dikenakan hukuman penjara selama 10 tahun 5 bulan dengan tempoh minimum enam tahun sebelum layak memohon parol. Selain itu, dia turut dilarang seumur hidup daripada memiliki atau membeli sebarang haiwan.
Catat Ulasan for "KISAH GELAP ADAM BRITTON : Pakar Buaya yang Jadi Pemangsa Haiwan"