Skip to content Skip to sidebar Skip to footer

BULAN MADU MAUT: ISTERI MAUT, SUAMI KRITIKAL KETIKA PERKHEMAHAN MEWAH


     INDONESIA — Perjalanan bulan madu sepasang pengantin baru berakhir dengan tragedi apabila seorang wanita ditemukan meninggal dunia manakala suaminya dalam keadaan kritikal di sebuah kawasan percutian perkhemahan mewah di Nagari Alahan Panjang, Kecamatan Lembah Gumanti, Kabupaten Solok, Sumatera Barat pada Khamis, 9 Oktober. 

     Mangsa dikenal pasti sebagai Cindy Desta Nanda, 28 tahun yang baru sahaja melangsungkan perkahwinan dengan Gilang Kurniawan, 28 tahun. Pasangan tersebut dikatakan sedang menikmati bulan madu di sebuah penginapan khemah mewah yang terletak di kawasan perbukitan Alahan Panjang yakni lokasi percutian yang terkenal dengan udara sejuk dan pemandangan alam semula jadi yang indah. Namun kebahagiaan pasangan itu berubah menjadi mimpi ngeri apabila kedua-duanya ditemui tidak sedarkan diri di dalam khemah penginapan pada pagi hari kejadian.

     Menurut laporan pihak berkuasa, pekerja penginapan yang curiga kerana pasangan itu tidak keluar dari bilik setelah beberapa jam memutuskan untuk memeriksa keadaan mereka. Sebaik pintu dibuka, kedua-dua mangsa ditemui dalam keadaan tidak bergerak. Cindy didapati sudah tidak bernyawa manakala Gilang masih bernafas tetapi dalam keadaan lemah dan segera dikejarkan ke klinik berdekatan sebelum dirujuk ke hospital bagi rawatan lanjut.

     Pihak polis yang menjalankan siasatan awal mengesahkan bahawa tiada sebarang tanda-tanda kekerasan ditemui pada tubuh mangsa wanita berdasarkan hasil pemeriksaan luar. Walau bagaimanapun, punca sebenar kematian masih belum dapat dipastikan secara saintifik kerana autopsi tidak dijalankan. Menurut keterangan pihak berkuasa, keluarga mangsa pada mulanya bersetuju untuk melakukan autopsi bagi mengetahui punca kematian tetapi kemudian membatalkan keputusan tersebut dan memilih untuk segera mengebumikan jenazah.

     Siasatan awal turut menjurus kepada kemungkinan keracunan gas sebagai faktor utama kejadian itu. Terdapat andaian bahawa pasangan berkenaan mungkin terhidu gas beracun yang berasal daripada pemanas air di bilik mandi. Teori tersebut bagaimanapun masih belum disahkan secara rasmi. Ketua Polis Resor Solok, AKBP Muari menjelaskan bahawa pihaknya masih menunggu hasil pemeriksaan lanjut daripada unit forensik serta laporan lengkap daripada hospital. “Setakat ini tiada unsur kekerasan ditemui. Punca kematian masih dalam siasatan dan kami sedang meneliti kemungkinan faktor lain seperti kebocoran gas atau kejadian tidak disengajakan yang lain,” katanya kepada wartawan.

     Dalam pada itu, keadaan Gilang Kurniawan yang masih dirawat di hospital turut menjadi perhatian pihak penyiasat kerana keterangan daripadanya amat penting untuk merungkai kejadian sebenar yang berlaku pada malam sebelum insiden. Doktor dilaporkan masih memantau keadaannya yang belum stabil dan memerlukan masa untuk pulih sepenuhnya sebelum dapat memberi keterangan rasmi kepada pihak polis.

     Penduduk setempat yang mengetahui kejadian tersebut turut melahirkan rasa terkejut apatah lagi kawasan glamping itu sebelum ini dikenali sebagai destinasi pelancongan yang selamat dan popular dalam kalangan pasangan muda. Hingga kini, pihak polis belum menolak sebarang kemungkinan termasuk sama ada kejadian berpunca daripada kecuaian teknikal, kebocoran peralatan pemanas atau faktor kesihatan mangsa sendiri. Siasatan lanjut masih dijalankan bagi memastikan punca sebenar kematian dan keadaan sebenar di tempat kejadian.

Catat Ulasan for "BULAN MADU MAUT: ISTERI MAUT, SUAMI KRITIKAL KETIKA PERKHEMAHAN MEWAH "