Skip to content Skip to sidebar Skip to footer

Dua Beradik Hilang Selama 36 Tahun di California Akhirnya Ditemui Selamat

     AMERIKA SYARIKAT - Selepas lebih tiga dekad menjadi misteri, dua beradik perempuan yang hilang sejak tahun 1989 akhirnya ditemui dalam keadaan selamat. Penemuan Jasmin dan Elizabeth Ramos yang kini sudah dewasa menamatkan tanda tanya yang menghantui pihak berkuasa serta keluarga mangsa sejak kes pembunuhan kejam melibatkan ibu mereka lebih 36 tahun lalu.

      Kes ini bermula pada 12 Disember 1989 apabila pihak berkuasa di Mohave County, Arizona menemui mayat seorang wanita di kawasan padang pasir. Mangsa yang pada waktu itu tidak dapat dikenal pasti telah ditikam berulang kali sehingga membawa maut. Tanpa sebarang dokumen pengenalan diri, mangsa dikebumikan sebagai Jane Doe dan identitinya kekal menjadi misteri selama bertahun-tahun.

     Hanya dua hari selepas penemuan mayat tersebut yakni pada 14 Disember 1989, dua bayi perempuan ditemui ditinggalkan di dalam tandas awam sebuah taman di Oxnard, California. Seorang berusia kira-kira dua bulan manakala seorang lagi berusia sekitar 14 bulan. Mereka ditinggalkan tanpa pengasuh dan berisiko besar terdedah kepada bahaya. Bayi-bayi itu kemudian diselamatkan oleh pihak berkuasa tempatan sebelum diserahkan kepada agensi perlindungan kanak-kanak.

     Kedua-dua kanak-kanak berkenaan kemudiannya ditempatkan dalam jagaan keluarga angkat di Ventura County dan dibesarkan tanpa mengetahui kisah sebenar asal usul mereka. Identiti ibu kandung mereka, Marina Ramos yang juga dikenali dengan alias Maria Ortiz hanya berjaya disahkan beberapa dekad kemudian. Pada tahun 2022, pihak forensik menggunakan teknologi cap jari dan berjaya menghubungkan identiti mangsa bunuh tersebut dengan rekod Marina Ramos.

     Selepas pengesahan identiti dilakukan, pasukan penyiasat mula meneliti semula kes kehilangan kedua-dua anak Marina. Menggunakan teknologi genealogi forensik dan pangkalan data DNA moden, pihak berkuasa akhirnya berjaya menemui salah seorang daripada anak Marina pada 27 Ogos 2025. Hasil siasatan dan ujian DNA rasmi mengesahkan bahawa wanita tersebut ialah Jasmin Ramos. Lebih mengejutkan, dia juga mendedahkan bahawa adiknya iaitu Elizabeth turut masih hidup dan mereka berdua sememangnya kanak-kanak yang ditinggalkan di Oxnard pada tahun 1989.

     Penemuan ini dianggap sebagai kejayaan besar pihak berkuasa kerana ia bukan sahaja menyelesaikan kes kehilangan kanak-kanak selama 36 tahun malah membongkar kembali kaitan dengan kes pembunuhan Marina Ramos. Walaupun identiti dua beradik ini akhirnya terjawab, pihak berkuasa menegaskan bahawa penyiasatan masih dijalankan untuk mengenal pasti dalang sebenar di sebalik pembunuhan kejam Marina.


Catat Ulasan for "Dua Beradik Hilang Selama 36 Tahun di California Akhirnya Ditemui Selamat"