Christa Pike Bakal Jadi Wanita Pertama Dihukum Mati di Tennessee Dalam Lebih 200 Tahun

AMERIKA SYARIKAT - Mahkamah Agung negeri Tennessee pada awal Oktober 2025 telah menetapkan tarikh pelaksanaan hukuman mati terhadap Christa Gail Pike, satu-satunya wanita yang berada di barisan hukuman mati di negeri itu. Hukuman tersebut dijadualkan pada 30 September 2026 sekali gus menjadikan Pike berpotensi menjadi wanita pertama dalam lebih dua abad yang menjalani hukuman mati di Tennessee.
Christa Pike yang kini berusia 49 tahun dijatuhi hukuman mati pada tahun 1996 selepas disabitkan kesalahan membunuh kejam seorang rakan pelatih iaitu Colleen Slemmer ketika kedua-duanya mengikuti program latihan pertanian di University of Tennessee Agricultural Campus, Knoxville. Kejadian pembunuhan itu berlaku pada tahun 1995 ketika Pike berusia 18 tahun. Mangsa, Slemmer dilaporkan diseksa selama lebih daripada 30 minit sebelum dibunuh dengan cara yang amat kejam termasuk perbuatan mengukir simbol pentagram pada dadanya menggunakan pisau.
Menurut dokumen mahkamah, Pike dikatakan melakukan jenayah tersebut bersama dua individu lain, Shadolla Peterson dan Tadaryl Shipp. Motif pembunuhan dikaitkan dengan rasa cemburu dan dendam terhadap mangsa yang didakwa cuba mendekati teman lelakinya. Walaupun Shipp ketika itu masih di bawah umur dan dijatuhi hukuman penjara seumur hidup, Pike tidak mendapat kelonggaran serupa kerana dia telah berusia 18 tahun yakni usia yang dianggap dewasa di sisi undang-undang.

Sejak penahanannya, Pike menjadi satu-satunya wanita di barisan kematian Tennesse menjadikannya tahanan yang unik dari segi status dan keadaan hidup. Selama hampir 28 tahun, dia ditempatkan dalam keadaan separa isolasi di Tennessee Prison for Women di Nashville. Situasi itu menimbulkan kritikan daripada kumpulan hak asasi manusia yang menyifatkan penahanan dalam jangka masa panjang secara berasingan memberi kesan besar terhadap kesihatan mental seseorang. Namun pada tahun 2024, Pike dilaporkan telah mendapat kelonggaran selepas pihak penjara dan peguamnya mencapai satu perjanjian yang membolehkannya keluar dari keadaan isolasi. Dia kini diberi peluang untuk melakukan kerja ringan, makan bersama tahanan wanita lain dan menikmati waktu luar bilik sel dengan lebih panjang.
Dalam perkembangan perundangan, pasukan peguam bela Pike telah memfailkan beberapa rayuan baharu untuk membatalkan hukuman mati tersebut. Mereka berhujah bahawa hukuman mati ke atas seseorang yang melakukan jenayah ketika baru berusia 18 tahun adalah tidak adil memandangkan perkembangan kognitif pada usia tersebut masih belum matang sepenuhnya. Peguamnya turut merujuk kepada keputusan penting dalam kes State v. Booker di mana Mahkamah Agung Tennessee menolak hukuman mati terhadap pesalah bawah umur kerana dianggap bertentangan dengan prinsip kemanusiaan.
Walau bagaimanapun, rayuan tersebut ditolak oleh mahkamah negeri. Hakim berpendapat bahawa keputusan dalam kes Booker tidak boleh diguna pakai terhadap Pike kerana dia telah dianggap dewasa sewaktu melakukan jenayah tersebut. Tambahan pula, semua proses rayuan terdahulu telah selesai dan disahkan sah oleh mahkamah persekutuan. Disebabkan itu, tarikh hukuman mati Pike kekal ditetapkan pada 30 September 2026. Artikel terdahulu tentang kisah Christa Pike ini boleh dibaca di sini : KISAH CHRISTA PIKE : Pembunuhan Syaitan
Catat Ulasan for "Christa Pike Bakal Jadi Wanita Pertama Dihukum Mati di Tennessee Dalam Lebih 200 Tahun"