Sean Diddy Combs Dijatuhi Hukuman Penjara Lebih 4 Tahun

AMERIKA SYARIKAT — Penyanyi rap dan penerbit terkenal, Sean Diddy Combs dijatuhi hukuman penjara selama 50 bulan (sekitar empat tahun dua bulan) oleh Mahkamah Persekutuan New York selepas didapati bersalah atas dua pertuduhan pengangkutan individu merentasi negeri untuk tujuan pelacuran. Hukuman tersebut menandakan kemuncak kepada siri panjang siasatan dan perbicaraan yang menarik perhatian media sejak tahun 2024.
Menurut laporan media, keputusan itu dibacakan oleh Hakim Arun Subramanian selepas beberapa minggu perbicaraan intensif. Selain hukuman penjara, Combs turut diperintahkan membayar denda sebanyak USD500 000 (sekitar RM2.3 juta) dan menjalani tempoh pengawasan selama lima tahun sebaik sahaja dibebaskan. Mahkamah turut mengambil kira masa tahanan yang telah dilalui Combs sejak dia ditahan pada September 2024 menjadikan kira-kira satu tahun daripada tempoh hukuman itu sudah diambil kira.
Pertuduhan terhadap Combs berpunca daripada aktiviti yang digelar freak-offs yakni acara tertutup yang diadakan di beberapa lokasi termasuk di Miami, Los Angeles dan New York. Dalam acara tersebut, Combs dilaporkan mengupah lelaki pengiring dan pekerja seks untuk diangkut dari satu negeri ke negeri lain bagi memenuhi kehendak seksualnya atau bagi tujuan hiburan bersama teman wanitanya ketika itu. Mahkamah mendapati bukti kukuh bahawa aktiviti tersebut melibatkan penggunaan dadah, rakaman video tanpa kebenaran serta elemen eksploitasi seksual walaupun pertuduhan berat seperti penyeludupan seks dan konspirasi pemerasan digugurkan oleh juri.
Dalam hujahnya sebelum menjatuhkan hukuman, Hakim Subramanian menegaskan bahawa walaupun Combs banyak menyumbang kepada industri muzik serta aktiviti kebajikan, tindakan jenayah yang melibatkan penyalahgunaan kuasa dan eksploitasi terhadap wanita tidak boleh dimaafkan. “Tiada sumbangan atau kejayaan peribadi yang boleh menghapuskan kesan penderaan yang dilakukan terhadap mangsa,” katanya dalam kenyataan yang dipetik oleh People Magazine.
Sepanjang perbicaraan, mahkamah turut mendengar testimoni menyayat hati daripada dua individu utama iaitu Cassie Ventura, bekas teman wanita Combs dan seorang lagi saksi wanita dikenali sebagai Jane. Mereka menggambarkan pengalaman didera secara fizikal dan psikologi oleh Combs dalam tempoh hubungan mereka. Cassie dalam keterangannya menyatakan bahawa dia hidup dalam ketakutan dan dikawal sepenuhnya oleh Combsnmanakala Jane mendedahkan dirinya dijadikan alat hiburan dalam majlis tertutup tersebut.

Pasukan pembelaan Combs bagaimanapun menolak tuduhan itu dan menyifatkan hukuman yang dijatuhkan sebagai berat sebelah. Peguam bela utama, Benjamin Brafman memaklumkan bahawa mereka akan memfailkan rayuan terhadap keputusan mahkamah dengan alasan bahawa hakim bertindak seolah-olah sebagai juri tambahan yang tidak menghormati keputusan juri sebenar yang membebaskan Combs daripada tuduhan lebih berat.
Sementara itu, Combs yang tampil dalam pakaian seragam penjara berwarna kelabu ketika prosiding dijalankan dilaporkan kelihatan tenang tetapi sugul. Dalam kenyataan ringkas di mahkamah, dia menyatakan kekesalannya dan berjanji untuk menebus kesilapan masa lalu. “Saya bukan manusia sempurna. Saya telah menyakiti orang yang saya cintai dan untuk itu saya mohon maaf,” katanya sebelum dibawa keluar dari dewan mahkamah.

Di sebalik kes jenayah yang dihadapinya, Combs dikatakan tetap berusaha mengekalkan imej positif dalam kalangan banduan. Ketika menjalani tahanan di penjara Brooklyn, dia mengendalikan sebuah kelas motivasi yang dinamakan Free Game with Diddy di mana dia berkongsi ilmu keusahawanan dan pengurusan perniagaan kepada tahanan lain.
Sejak tahun 1990-an, Combs telah berdepan beberapa saman sivil daripada wanita yang mendakwa menjadi mangsa gangguan dan penderaan seksualnya. Beberapa kes telah diselesaikan di luar mahkamah namun masih ada tuntutan yang belum diselesaikan. Maka dengan hukuman terbaru yang dijatuhkan ini, Combs kini bakal menjalani hukuman sehingga tahun 2028 sekiranya tidak diberi pembebasan awal.
Catat Ulasan for "Sean Diddy Combs Dijatuhi Hukuman Penjara Lebih 4 Tahun "