Ibu Didakwa Bunuh Anak Autistik Selepas Alami Tekanan Emosi Serius

Menurut laporan rasmi mahkamah, kejadian berlaku pada 15 Disember 2024 di kediaman mereka di South Ockendon, Essex. Pada hari kejadian, Claire telah menghubungi talian kecemasan NHS dan memberitahu bahawa dia sedang mengalami kemurungan teruk serta bercadang mengambil dos berlebihan ubat bagi menamatkan nyawanya.
Namun apa yang tidak disedari oleh pihak kecemasan ketika itu ialah anaknya iaitu Lincoln turut berada di dalam rumah yang sama. Sekitar tiga jam selepas panggilan dibuat, pasukan ambulans yang tiba di lokasi menemui mayat Lincoln di dalam bilik tidurnya. Hasil siasatan awal menunjukkan bahawa kanak-kanak itu telah meninggal dunia beberapa jam lebih awal sebelum ketibaan pasukan penyelamat.
Pihak polis menemui dua nota tulisan tangan di lokasi kejadian. Salah satu nota bertulis DNR atau Do Not Resuscitate yang membawa maksud “jangan selamatkan semula” manakala satu lagi nota menyentuh emosi mendalam si ibu, “He does not fit in the world, and where he doesn’t fit, I don’t either.” (“Dia tidak sesuai berada di dunia ini, dan di mana dia tidak sesuai, saya juga tidak sesuai.”)
Nota tersebut menunjukkan perasaan putus asa dan rasa bersalah mendalam yang dialami oleh Claire terhadap keadaan anaknya. Laporan psikologi turut mengesahkan bahawa wanita itu telah lama bergelut dengan kemurungan dan tekanan mental akibat beban menjaga anak autistik secara bersendirian.

Siasatan mendapati bahawa Lincoln merupakan kanak-kanak istimewa yang tidak mampu bertutur dan memerlukan pengawasan sepenuh masa. Claire yang tinggal bersama ibunya di kawasan sama dikatakan pernah mendapatkan bantuan sosial dan sokongan penjagaan bagi meringankan beban menjaga anaknya. Ibunya juga dilatih secara rasmi sebagai penjaga tambahan bagi membantu menjaga cucunya itu.
Namun menurut rekod kesihatan mental yang dibentangkan di mahkamah, Claire dilaporkan semakin tertekan apabila jadual persekolahan Lincoln terganggu oleh penutupan sekolah dan tempoh cuti panjang. Ia menyebabkan di kehilangan waktu rehat dan masa untuk mengurus dirinya sendiri. Pihak mahkamah diberitahu bahawa walaupun Claire menerima rawatan antidepresan, tekanan yang dialami semakin parah sejak beberapa bulan sebelum kejadian.
Bedah siasat ke atas mayat Lincoln menunjukkan tanda-tanda tindakan menutup saluran pernafasan menggunakan tangan atau objek lembut seperti bantal. Walau bagaimanapun, pakar forensik menyatakan bahawa masa sebenar kematian tidak dapat dipastikan sepenuhnya. Tiada tanda penderaan fizikal sebelum kejadian dan keadaan rumah berada dalam keadaan tersusun serta bersih ketika ditemui pihak berkuasa.

Selain itu, hasil pemeriksaan ke atas Claire menunjukkan bahawa dia juga telah mengambil sejumlah besar ubat antidepresan pada hari sama yang dipercayai sebagai cubaan membunuh diri. Claire bagaimanapun berjaya diselamatkan selepas menerima rawatan kecemasan di hospital tempatan sebelum ditahan pihak polis.
Dalam prosiding di Basildon Crown Court, Claire Button menafikan tuduhan pembunuhan dengan niat namun mengaku bersalah atas tuduhan pembunuhan tanpa niat disebabkan gangguan mental dan tekanan emosi yang melampau. Peguam bela berhujah bahawa anak guamnya tidak berniat membunuh tetapi bertindak dalam keadaan terdesak dan tidak stabil akibat tekanan yang memuncak.
Pendakwa raya pula berhujah bahawa tindakan Claire menunjukkan elemen kesedaran kerana dia menulis nota terlebih dahulu dan memanggil talian kecemasan membuktikan adanya unsur perancangan. Kes ini kini masih diteruskan dengan keterangan lanjut daripada saksi forensik, pakar kesihatan mental serta ahli keluarga terdekat.
Catat Ulasan for "Ibu Didakwa Bunuh Anak Autistik Selepas Alami Tekanan Emosi Serius"