Suami Dakwa Isteri Bertukar Menjadi Ular Setiap Malam

INDIA – Seorang penduduk lelaki di daerah Sitapur di negeri Uttar Pradesh mendakwa isterinya bertukar menjadi ular setiap malam dan cuba menggigitnya ketika dia sedang tidur.
Lelaki tersebut iaitu Meraj tampil membuat aduan rasmi kepada pegawai daerah semasa program Samadhan Diwas yakni hari yang diperuntukkan untuk penduduk mengemukakan masalah kepada pihak berkuasa tempatan. Dalam aduannya, Meraj mendakwa bahawa isterinya yang Naseemun sering bertukar menjadi seekor ular selepas tengah malam dan berkelakuan seperti makhluk tersebut termasuk mengeluarkan bunyi desisan sebelum menyerangnya.
Menurut Meraj, kejadian aneh itu bukan berlaku sekali tetapi sebaliknya berulang hampir setiap malam sejak beberapa minggu lalu. Dia mendakwa telah digigit oleh isterinya di tangan serta kaki hingga menyebabkan dia hidup dalam ketakutan dan tekanan emosi. “Setiap malam dia berubah menjadi ular dan mengejar saya. Pernah sekali dia menggigit saya dan sejak itu saya tidak berani tidur di sebelahnya,” kata Meraj dalam aduannya.
Pegawai Daerah Sitapur mengesahkan telah menerima laporan tersebut dan mengarahkan siasatan dijalankan untuk menentukan kesahihan dakwaan itu. Pihak polis turut mengambil keterangan daripada pasangan tersebut serta jiran-jiran bagi mendapatkan gambaran sebenar kejadian.

Situasi bagaimanapun bertambah tegang apabila Naseemun tampil menafikan segala tuduhan yang dilemparkan terhadapnya. Dalam kenyataannya kepada media tempatan, dia menegaskan bahawa dakwaan suaminya tidak benar sama sekali dan dibuat dengan niat tertentu. Menurut Naseemun, Meraj mereka-reka cerita kononnya dia bertukar menjadi ular semata-mata untuk menyingkirkannya kerana berhasrat mahu berkahwin dengan wanita lain. “Dia sengaja mencipta cerita supaya orang percaya saya bukan manusia biasa. Sebenarnya dia mahu berkahwin lagi satu,” katanya kepada wartawan.
Naseemun juga mendedahkan bahawa dia kini sedang hamil empat bulan tetapi suaminya itu gagal menyediakan nafkah dan keperluan asas sepanjang tempoh kehamilan. Lebih memburukkan keadaan, Neeaamun mendakwa Meraj sering menuntut dowri daripada keluarganya, amalan yang masih wujud di beberapa kawasan luar bandar India di mana pihak lelaki menuntut bayaran kewangan atau barang berharga selepas perkahwinan. “Dia kerap meminta wang daripada keluarga saya. Apabila keluarga saya enggan memenuhi permintaannya, dia mula menuduh saya berubah menjadi ular untuk menakutkan orang,” jelasnya lagi.
Pihak polis Sitapur memaklumkan bahawa siasatan masih dijalankan dan semua aspek akan diteliti termasuk kemungkinan wujud unsur penderaan rumah tangga serta tekanan emosi. Menurut seorang pegawai penyiasat, tiada bukti fizikal setakat ini yang menunjukkan wujudnya unsur luar biasa seperti yang didakwa oleh suami. “Kami menilai kes ini dari pelbagai sudut termasuk aspek kesihatan mental dan sosial pasangan berkenaan. Tiada sebarang bukti saintifik yang menyokong dakwaan bahawa wanita tersebut benar-benar bertukar menjadi ular,” kata pegawai tersebut.
Ramai yang menyamakan kisah ini dengan legenda lama tentang Naagin, makhluk dalam kepercayaan Hindu yang digambarkan sebagai ular betina yang mampu berubah menjadi manusia untuk membalas dendam atau mencapai tujuan tertentu. Walaupun legenda tersebut bertentangan dengan pengetahuan sains moden, kepercayaan terhadap unsur ghaib dan makhluk mistik masih kuat di sesetengah kawasan luar bandar di India.
Catat Ulasan for "Suami Dakwa Isteri Bertukar Menjadi Ular Setiap Malam"