Skip to content Skip to sidebar Skip to footer

Kisah Colin Scott: Lelaki yang Maut Selepas Terjatuh ke Dalam Kolam Air Panas

     Pada 7 Jun 2016, seorang lelaki muda berusia 23 tahun bernama Colin Nathaniel Scott dari Portland, Oregon telah mati dalam keadaan menyayat hati di Yellowstone National Park, Amerika Syarikat. Taman kawasan pelancongan ini adalah salah satu tapak geotermal paling aktif di dunia di mana tanahnya sentiasa berasap, air memancut keluar dari geiser dan kolam air panas semula jadi yang menakjubkan terbentuk akibat haba dari bawah kerak bumi. 

    Hari itu, Colin datang ke Yellowstone bersama adik perempuannya iaitu Sable Scott untuk bercuti dan menikmati keindahan alam. Mereka tiba di kawasan Norris Geyser Basin, salah satu zon paling aktif dan berbahaya di seluruh taman itu. Di kawasan ini, tanahnya dipenuhi wap sulfur yang tebal manakala suhu air di permukaan kolam boleh mencapai 93 hingga 100 darjah Celsius yakni cukup panas untuk mencairkan tisu manusia dalam sekelip mata.

    Walaupun pihak pengurusan taman telah memasang papan tanda amaran di setiap laluan, ramai pelawat masih mengambil risiko dengan keluar dari laluan pejalan kaki yang dibina khas untuk keselamatan. Colin dan adiknya juga dilaporkan menyimpang keluar dari laluan kayu utama untuk meneroka kawasan yang dilarang. Berdasarkan laporan siasatan, tujuan mereka adalah untuk mencari lokasi berendam dalam air panas. Ia merupakan aktiviti yang dilarang di Yellowstone.

    Menurut laporan rasmi yang dikeluarkan oleh Yellowstone National Park, Sable sempat merakam perjalanan mereka menggunakan telefon bimbit. Rakaman tersebut menunjukkan mereka berjalan di kawasan wap tebal sambil berbual tentang niat untuk berendam di air panas. Namun, hanya beberapa minit kemudian, kejadian pun berlaku.

    Colin dipercayai tergelincir di atas permukaan tanah nipis berhampiran sebuah kolam panas. Lapisan tanah di kawasan geotermal Yellowstone sebenarnya sangat rapuh. Walaupun ia kelihatan kukuh di luar tetapi di bawahnya hanya terdapat air mendidih dan lumpur panas. Ketika Colin terpijak kawasan itu, tanah terus retak dan runtuh sekali gus menyebabkan dia terjatuh terus ke dalam kolam air panas yang mendidih.

     Sable hanya mampu menjerit dan berusaha untuk menyelamatkan abangnya. Suhu dan wap panas di sekitar kawasan itu bagaimanapun terlalu ekstrem untuk didekati. Dalam masa beberapa saat sahaja, Colin lenyap ke dalam kolam dan adiknya terpaksa menyaksikan kejadian itu tanpa mampu berbuat apa-apa. Dia kemudian berlari ke arah ranger stesen berhampiran untuk meminta bantuan.

     Pasukan penyelamat dari Yellowstone segera ke lokasi kejadian. Walau bagaimanapun, keadaan cuaca pada petang itu tidak mengizinkan sebarang operasi menyelamat yang selamat. Laporan rasmi menyebut bahawa ribut petir sedang melanda kawasan tersebut, disertai hujan dan wap tebal yang menghalang penglihatan. Pasukan penyelamat hanya dapat melihat kolam yang masih bergolak, dengan wap mendidih keluar tanpa henti. Mereka terpaksa menangguhkan operasi sehingga keesokan harinya kerana risiko terlalu tinggi. Namun apabila mereka kembali ke lokasi pada 8 Jun 2016, tiada apa-apa yang tinggal. Air di kolam itu yang bersuhu hampir 100°C telah melarutkan sepenuhnya jasad Colin. Menurut laporan makmal Yellowstone, air di kawasan tersebut bukan sahaja sangat panas tetapi juga bersifat asidik dengan keasidan yang cukup tinggi untuk menghancurkan kulit, otot dan tulang manusia dalam tempoh yang singkat.

     Hanya beberapa barangan peribadi seperti dompet, jam tangan dan selipar ditemui berhampiran kawasan kejadian. Tiada cebisan jasad dapat dikutip untuk upacara pengebumian, sesuatu yang amat memeritkan bagi keluarganya. Dalam kenyataan rasmi, pihak taman menyebut bahawa Colin hilang sepenuhnya akibat proses semula jadi kolam geotermal.

     Ramai yang tidak menyedari bahawa Yellowstone bukanlah tempat berendam santai seperti kolam air panas biasa. Ia adalah kawasan hidrotermal paling berbahaya di dunia. Lapisan tanah yang nipis di sekitar kolam boleh pecah tanpa amaran. Di bawahnya terdapat air yang bersuhu mendidih serta mengandungi mineral berbahaya dan asid sulfurik. Beberapa tahun sebelum insiden Colin, sudah ada lebih 20 kematian dilaporkan akibat pelancong yang mengabaikan arahan keselamatan. Namun kes Colin Scott menjadi antara kes paling mengerikan dan dijadikan amaran rasmi oleh pihak taman. 

     Kejadian ini memberi kesan mendalam kepada keluarga Scott terutama adiknya yang menjadi saksi tunggal kejadian tersebut. Sable dilaporkan mengalami trauma yang teruk selepas kejadian itu. Dalam laporan media, dia menyatakan bahawa mereka sebenarnya tidak berniat untuk melakukan sesuatu yang berbahaya tetapi hanya ingin mencuba pengalaman berendam di air panas semula jadi tanpa mengetahui bahawa kolam itu boleh menjadi perangkap maut.

Catat Ulasan for "Kisah Colin Scott: Lelaki yang Maut Selepas Terjatuh ke Dalam Kolam Air Panas "