Kisah Jose Melena : Pekerja Dimasak Hidup-Hidup Dalam Kilang Pengetinan Tuna

Pada 11 Oktober 2012, satu kejadian mengerikan berlaku di kilang Bumble Bee Foods yang terletak di Santa Fe Springs, California, Amerika Syarikat. Seorang pekerja senior bernama Jose Melena, 62 tahun, maut selepas secara tidak sengaja dikunci dan dimasak hidup-hidup di dalam sebuah mesin industri gergasi yang digunakan untuk mensterilkan tin ikan tuna.
Melena merupakan pekerja berpengalaman yang telah berkhidmat di kilang itu selama lebih 6 tahun. Pada hari kejadian, dia hadir bekerja sekitar jam 4.00 pagi untuk syif awal. Tugas rutinnya ialah melakukan pemeriksaan ke atas mesin retort iaitu sejenis ketuhar tekanan industri yang mampu mencapai suhu lebih 130 darjah Celsius (266°F) dan digunakan untuk memasak serta mensterilkan tin tuna bagi memastikan produk tahan lama. Mesin ini besar di mana panjangnya ialau kira-kira 35 kaki (lebih 10 meter) dan boleh memuatkan enam gerabak logam berisi ratusan tin tuna pada satu masa.
Menurut laporan siasatan, sekitar jam 6.00 pagi, Melena dipercayai masuk ke dalam salah satu ruang mesin retort untuk melakukan pemeriksaan kebersihan. Namun pada masa yang sama, seorang rakan sekerja yang menyangka Melena sudah keluar memulakan proses pengisian gerabak tuna dan menutup pintu mesin. Tidak lama kemudian, mesin diaktifkan secara automatik untuk menjalani kitaran pemanasan selama dua jam. Dalam tempoh itu, suhu di dalam mesin meningkat mendadak, menghasilkan tekanan wap yang tinggi bagi mensterilkan semua tin tuna.

Apabila syif berakhir dan pemeriksaan akhir dijalankan, barulah rakan sekerja sedar Melena tidak kelihatan sejak beberapa jam sebelumnya. Mereka cuba mencari di sekitar kawasan kilang namun menemui satu pemandangan mengerikan apabila membuka pintu mesin selepas proses tamat. Di dalamnya, mereka menemui mayat Melena dalam keadaan rentung akibat kecederaan haba yang melampau. Pegawai koroner Los Angeles kemudian mengesahkan bahawa mangsa meninggal dunia akibat kecederaan haba yang teruk.
Siasatan oleh Cal/OSHA (California Division of Occupational Safety and Health) mendapati pelanggaran besar terhadap protokol keselamatan kilang. Tiada sistem keselamatan lockout/tagout digunakan yakni prosedur yang sepatutnya memastikan mesin tidak boleh dihidupkan ketika pekerja masih berada di dalamnya. Tambahan pula, tiada papan tanda, siren amaran atau sistem pengesahan kehadiran pekerja sebelum mesin diaktifkan. Siasatan menunjukkan syarikat dan pengurus gagal melaksanakan latihan keselamatan wajib yang diwajibkan undang-undang negeri.
Pada tahun 2015, tiga tahun selepas kejadian yang meragut nyawa Jose Melena, syarikat Bumble Bee Foods, LLC dan dua pegawainya, Angel Rodriguez serta Saul Flores didakwa di mahkamah Los Angeles atas kecuaian yang menyebabkan kematian pekerja. Hasil siasatan mendapati syarikat gagal mematuhi prosedur keselamatan industri, lalu bersetuju dengan penyelesaian bernilai USD 6 juta (kira-kira RM25 juta). Jumlah itu merangkumi denda jenayah, peningkatan sistem keselamatan di semua kilang, kos siasatan serta latihan pekerja dan pampasan kepada keluarga mangsa. Syarikat Bumble Bee turut diwajibkan membina sistem keselamatan automatik yang mengesan kehadiran manusia di dalam mesin serta memastikan semua kakitangan menerima latihan tahunan berkaitan prosedur lockout/tagout.
Catat Ulasan for "Kisah Jose Melena : Pekerja Dimasak Hidup-Hidup Dalam Kilang Pengetinan Tuna"