Skip to content Skip to sidebar Skip to footer

Wanita Poland Ditemui Meninggal Dunia di Bali Selepas Amalkan Diet Buah Secara Ekstrem


     INDONESIA — Seorang wanita warga Poland bernama Karolina Krzyzak, 27 tahun dilaporkan meninggal dunia di sebuah resort mewah di Bali selepas dikatakan mengikuti diet buah-buahan secara ekstrem selama beberapa bulan. 

     Menurut laporan media, Karolina ditemui tidak sedarkan diri di dalam bilik resortnya oleh staf pada penghujung September 2025. Ketika itu, keadaannya dilaporkan sangat lemah dan tubuhnya kelihatan susut luar biasa dengan berat badannya hanya sekitar 27 kilogram yakni jauh di bawah tahap normal untuk wanita dewasa. Pihak resort yang prihatin terhadap keadaannya telah berulang kali menasihati Karolina supaya mendapatkan rawatan perubatan. Dia bagaimanapun dikatakan menolak cadangan tersebut.

     Sumber yang rapat dengan si mati memberitahu bahawa Karolina telah lama mengamalkan diet berasaskan tumbuhan dan mula beralih kepada gaya hidup fruitarian sepenuhnya iaitu hanya memakan buah-buahan mentah tanpa sebarang makanan lain seperti sayur, bijirin atau protein. Difahamkan dia mempercayai bahawa buah-buahan sahaja mencukupi untuk keperluan tenaga dan rohani selain sering berkongsi gaya hidupnya di media sosial untuk menggalakkan orang lain mengikut jejak langkah sama.

     Namun laporan turut mendedahkan bahawa Karolina mempunyai sejarah gangguan pemakanan sejak usia remaja dipercayai anoreksia nervosa. Keadaan ini menjadikannya amat sensitif terhadap berat badan dan pengambilan makanan. Diet ekstrem yang diamalkan secara berterusan dipercayai memperburuk keadaan tubuhnya, menyebabkan kekurangan zat, kelemahan otot dan akhirnya kegagalan organ dalaman. Pihak berkuasa Indonesia kini sedang menunggu keputusan bedah siasat untuk menentukan punca sebenar kematiannya.


    VMenurut sumber di resort tersebut, Karolina menginap seorang diri dan kelihatan semakin lemah dari hari ke hari. Staf terpaksa membantunya berjalan dan menaiki tangga. Mereka juga pernah cuba memujuk Karolina untuk berjumpa doktor, namun ditolak dengan alasan mahu menyembuhkan diri secara semula jadi. Apabila keadaan semakin teruk, staf resort akhirnya menemui Karolina dalam keadaan tidak sedarkan diri dan segera memanggil bantuan perubatan tetapi dia disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.

      Buat masa ini, jenazah Karolina dilaporkan telah dibawa ke hospital di Denpasar untuk proses bedah siasat. Kedutaan Poland di Jakarta mengesahkan sedang bekerjasama dengan pihak berkuasa Indonesia bagi menguruskan urusan repatriasi jenazah ke negara asalnya. 

     Menurut pakar psikologi pemakanan, obsesi terhadap kesempurnaan tubuh dan makanan semula jadi boleh membawa kepada gangguan pemakanan baharu yang dikenali sebagai orthorexia nervosa iaitu ketakutan melampau terhadap makanan dianggap tidak sihat. Pakar pemakanan memberi amaran bahawa diet buah-buahan hanya sesuai diamalkan untuk tempoh singkat dan di bawah pengawasan doktor. Kekurangan unsur penting seperti protein, zat besi, vitamin B12 dan lemak baik boleh membawa kesan buruk terhadap fungsi tubuh manusia.

Catat Ulasan for "Wanita Poland Ditemui Meninggal Dunia di Bali Selepas Amalkan Diet Buah Secara Ekstrem"