Skip to content Skip to sidebar Skip to footer

PEMPENGARUH CANTIK KOREA SELATAN DIBUNUH DENGAN KEJAM

     Seorang pempengaruh muda terkenal iaitu Yoon Ji-ah telah ditemui mati di kawasan pergunungan terpencil di Muju, Wilayah Jeolla Utara selepas dilaporkan hilang sejak 11 September 2025. Yoon Ji-ah, wanita berusia 20-an merupakan personaliti media sosial yang sedang meningkat naik dan mempunyai lebih daripada 300 000 pengikut di pelbagai platform. Dia dikenali dengan penstriman langsung (livestream) yang ceria dan mesra bersama peminat. 

     Menurut siasatan polis, Yoon dilaporkan hilang pada 11 September 2025 sejurus selepas menamatkan penstriman langsung dari kawasan Yeongjong Island, Incheon sekitar jam 3.00 petang waktu tempatan. Siaran itu berakhir secara tiba-tiba tanpa sebarang penjelasan hingga menyebabkan peminat dan rakan sekerjanya mula berasa curiga.

     Beberapa jam kemudian, ahli keluarganya cuba menghubunginya tetapi gagal lalu membuat laporan polis. Pasukan penyiasat segera memeriksa rekod GPS, lokasi telefon bimbit serta rakaman kamera litar tertutup (CCTV) berhampiran tempat kejadian. Dalam rakaman itu, Yoon dilihat menaiki sebuah kereta bersama seorang lelaki dewasa sebelum kenderaan tersebut meninggalkan kawasan tersebut menuju ke arah selatan negara itu.

     Selepas operasi pencarian selama beberapa hari, pada 15 September 2025, pihak berkuasa menemui mayat seorang wanita di kawasan pergunungan berhampiran Muju, kira-kira 200 kilometer dari Seoul. Pemeriksaan DNA kemudian mengesahkan bahawa mayat tersebut ialah milik Yoon Ji-ah. Laporan awal bedah siasat oleh Institut Forensik Kebangsaan Korea menunjukkan bahawa punca kematian adalah asfiksia akibat tekanan kuat pada leher yang dipercayai hasil tindakan manual. Selain itu, terdapat kesan lebam dan luka kecil pada tangan serta muka mangsa yang menandakan Yoon sempat bergelut sebelum meninggal dunia. “Corak kecederaan pada tubuh menunjukkan mangsa telah diserang secara fizikal. Kami mengesahkan kes ini sebagai pembunuhan,” kata jurucakap polis daerah Muju dalam kenyataan media rasmi.

     Tidak lama kemudian, polis menahan seorang lelaki berusia 50-an yang dikenali dengan nama samaran Black Cat yang juga individu terakhir dilihat bersama Yoon sebelum dia hilang. Lelaki itu merupakan penaja utama Yoon dalam dunia penstriman di mana dia sering muncul dalam siaran itu sambil memberikan sumbangan besar dan hadiah mewah.

     Siasatan lanjut mendedahkan bahawa suspek merupakan seorang CEO dalam bidang IT namun kehidupan sebenarnya penuh dengan penipuan. Di sebalik imej kaya dan dermawan, dia dilaporkan menghadapi masalah kewangan serius termasuk hutang dan rumah yang pernah disita.

     Beberapa kenalan rapat Yoon mendakwa hubungan mereka semakin tegang sejak bulan Ogos apabila suspek mula mengawal pergerakan dan aktiviti Yoon secara keterlaluan. Yoon dilaporkan berhasrat untuk menamatkan hubungan penajaan tersebut selepas berasa tidak selesa dengan sikap cemburu dan ugutan lelaki itu.

     “Dia (Yoon) pernah cakap suspek marah setiap kali dia berinteraksi dengan penonton lelaki dalam siaran langsung. Suspek sering menghantar mesej mengawal dan menuntut perhatian berlebihan,” kata salah seorang rakannya kepada media tempatan.


     Rakaman CCTV yang diperoleh pihak berkuasa menjadi petunjuk penting dalam kes ini. Dalam rakaman bertarikh 11 September, jam 3:27 petang, Yoon dilihat cuba keluar dari sebuah kereta di kawasan parkir di Incheon. Walau bagaimanapun, lelaki berkenaan segera menariknya kembali ke dalam kenderaan sebelum menutup pintu dengan kasar. Beberapa minit kemudian, kereta tersebut dilihat bergerak menuju ke lebuh raya yang membawa ke arah Jeolla Utara. Berdasarkan analisis masa dan lokasi, polis percaya kejadian pembunuhan berlaku dalam tempoh 30 hingga 40 minit selepas insiden tersebut iaitu sebelum suspek memandu ke kawasan gunung Muju untuk membuang mayat mangsa.

     Pada awalnya, suspek menafikan pembabitannya dan mendakwa mereka berpisah secara baik selepas pertengkaran kecil. Namun selepas polis menampilkan bukti kukuh termasuk rakaman CCTV, kesan DNA dan barangan peribadi Yoon yang ditemui di dalam kenderaan, suspek akhirnya mengaku membunuh Yoon Ji-ah. Dia mendakwa hilang kawalan ketika pertengkaran dan menolak leher mangsa dengan kuat sehingga tidak sedarkan diri. Polis juga menemui bukti bahawa suspek cuba menghapuskan kesan jenayah dengan membersihkan kereta serta membuang telefon bimbit mangsa ke sungai berdekatan.

     Keluarga Yoon dalam kenyataan rasmi menggesa masyarakat agar tidak menyebarkan rakaman atau spekulasi tidak sahih. “Kami kehilangan seorang anak yang baik dan berbakat. Kami berharap keadilan ditegakkan dengan segera,” kata keluarga mangsa dalam kenyataan media.

     Suspek kini ditahan reman dan telah didakwa atas pertuduhan membunuh dengan niat di bawah Kanun Jenayah Korea Selatan. Perbicaraan dijangka bermula di Mahkamah Wilayah Jeonju pada masa terdekat.

Catat Ulasan for "PEMPENGARUH CANTIK KOREA SELATAN DIBUNUH DENGAN KEJAM"