Guru Wanita Ditahan Atas Tuduhan Serangan Seksual Terhadap Murid

AMERIKA SYARIKAT - Pada 10 November 2025, Pejabat Sheriff Daerah Douglas (Douglas County Sheriff’s Office, DCSO) menahan seorang guru wanita berumur 28 tahun yang bernama Teresa Whalin dari Ranch View Middle School di Highlands Ranch atas pertuduhan serius. Dia kini menghadapi tiga tuduhan utama iaitu serangan seksual ke atas kanak-kanak oleh seseorang dalam kedudukan kepercayaan, eksploitasi kanak-kanak melalui internet dan mengintai.
Menurut kenyataan rasmi DCSO, Whalin ditahan oleh unit Special Victims selepas siasatan awal mengumpul bukti dakwaan hubungan tidak wajarnya dengan seorang murid. Semasa penahanan, Whalin dibawa ke Kem Tahanan Douglas County dan diletakkan dengan bon bernilai USD 50 000. Pihak sekolah pula meletakkannya dalam cuti pentadbiran sementara siasatan dijalankan.
Whalin telah bekerja dengan Douglas County School District sejak Julai 2021. Di Ranch View Middle School dia dilaporkan memegang peranan sebagai Integrated Wellness Teacher, fungsi yang berkait rapat dengan kesejahteraan pelajar. Berdasarkan affidavit polis yang diperoleh, murid tersebut dilaporkan mula meluangkan masa bersama Whalin selepas waktu sekolah kerana mempunyai masalah kesihatan mental. Hubungan itu dilaporkan berkembang menjadi seksual sekitar April 2023 dan berlanjutan lebih dari setahun. Di antara butiran hubungan tersebut adalah pertukaran foto melalui Snapchat, pertemuan luar waktu sekolah dan juga pertemuan di dalam sekolah seperti bilik guru serta bilik persalinan sekolah. Menurut affidavit, Whalin dikatakan mengarahkan murid bdrkenaan supaya menyimpan rahsia hubungan mereka agar dia tidak dikenakan tindakan.
Murid itu dilaporkan memutuskan hubungan apabila dia menyatakan minat untuk menjalin hubungan dengan seorang rakan sekelas. Selepas perpisahan, Whalin dikatakan menunjukkan tingkah laku mengintai yakni memandu berhampiran rumah murid dan laluan murid itu ke sekolah beberapa kali. Wanita itu juga mengaku menggunakan nombor telefon palsu untuk menghantar mesej kepada murid itu agar kembali mencari sokongannya. Murid itu turut menerima mesej mencemaskan dari nombor tidak dikenali yang kemudian dibawa kepada kaunselor sekolah dan disiasat.
Pihak sekolah melalui pentadbiran Ranch View Middle School menyatakan mereka sedang mencari guru ganti jangka panjang untuk menggantikan Whalin semasa cuti pentadbiran. Dalam satu kenyataan, pentadbir sekolah menegaskan komitmen untuk menyokong pelajar dan memastikan proses pembelajaran tidak terganggu.
Sementara itu, Pejabat Sheriff Douglas County menggesa orang awam yang mempunyai maklumat berkaitan kes ini atau yang mungkin juga menjadi mangsa, untuk tampil ke hadapan. Hingga setakat ini, siasatan masih aktif dan berterusan menurut pejabat Sheriff. Whalin yang kini berada dalam tahanan masih dianggap tidak bersalah sehingga prosiding mahkamah membuktikan sebaliknya.
Catat Ulasan for "Guru Wanita Ditahan Atas Tuduhan Serangan Seksual Terhadap Murid"