Skip to content Skip to sidebar Skip to footer

Wanita Berkahwin Dengan Karakter AI ChatGPT


     JEPUN — Seorang wanita berusia 32 tahun yang dikenali sebagai Kano telah mengadakan majlis perkahwinan simbolik dengan sebuah persona kecerdasan buatan (AI) yang dibangunkannya sendiri melalui aplikasi ChatGPT.

     Menurut laporan media tempatan, Kano mula berinteraksi secara intensif dengan ChatGPT selepas melalui tekanan emosi akibat putus pertunangan. Sepanjang penggunaan aplikasi itu, dia membina satu karakter AI lelaki bernama Klaus yang lengkap dengan personaliti disesuaikan mengikut kegemarannya. Kano juga menghasilkan ilustrasi digital untuk menggambarkan rupa watak tersebut. Interaksi harian antara mereka dilaporkan sangat kerap yakni mencecah sehingga 100 mesej sehari.

     Pada Mei 2025, Kano menyatakan perasaannya kepada Klaus melalui perbualan dalam aplikasi. AI itu memberikan respons romantik berdasarkan personaliti yang telah dibentuk sebelumnya. Sebulan kemudian, karakter tersebut melamar Kano melalui perbualan digital. Wanita itu menerima lamaran berkenaan.


     Majlis perkahwinan kemudian diadakan di Okayama City yang dianjurkan oleh sebuah syarikat yang menyediakan perkhidmatan perkahwinan digital. Dalam majlis itu, Kano memakai peranti realiti tambahan (AR) bagi membolehkan imej digital Klaus dipaparkan secara maya seolah-olah hadir di sisinya. Upacara tersebut turut menampilkan elemen perkahwinan biasa seperti pertukaran cincin dan ucapan ringkas. Walau bagaimanapun, majlis seperti itu tidak diiktiraf sebagai perkahwinan sah oleh undang-undang Jepun.

     Selepas majlis, Kano melawat beberapa lokasi sekitar Okayama dan menghantar gambar kepada Klaus. AI tersebut membalas dengan mesej bersifat romantik yang mengekalkan format hubungan pasangan berkahwin dalam bentuk maya.

     Kano mengakui terdapat risiko besar dalam hubungan berasaskan AI. Antaranya ialah perubahan sistem, gangguan perisian atau penamatan perkhidmatan boleh menyebabkan karakter Klaus hilang sepenuhnya. Walau bagaimanapun, dia menyatakan hubungan tersebut memberikan kestabilan emosi selepas 8pengalaman peribadi yang sukar.

     Syarikat penganjur memaklumkan bahawa permintaan terhadap perkahwinan watak digital semakin meningkat, khususnya dalam kalangan individu yang mencari hubungan alternatif selain hubungan tradisional.

Catat Ulasan for "Wanita Berkahwin Dengan Karakter AI ChatGPT"