KISAH LILY HO : Wanita Sebenar yang 'Menang' Lawan Skandal Suami

Lily Ho ialah seorang aktres terkenal era kegemilangan Shaw Brothers pada tahun 1960-an dan 1970-an. Kecantikan dan popularitinya ketika itu menjadikannya antara bintang paling bersinar di Hong Kong. Pada kemuncak kerjayanya, Lily mengambil keputusan meninggalkan dunia hiburan untuk berkahwin dengan George Chao Tse-Kwong iaitu pewaris keluarga jutawan perkapalan Hong Kong yang kaya, berpengaruh dan mempunyai empayar perniagaan merentas rantau Asia. Hasil perkahwinan itu, mereka dikurniakan empat orang anak.
Namun selepas beberapa tahun berkahwin, desas-desus mula timbul mengenai kehidupan peribadi George Chao yang semakin jauh dari Lily. Walaupun mereka dikenali sebagai pasangan ideal pada awalnya, laporan tidak rasmi kemudian mendedahkan bahawa George Chao telah mempunyai hubungan sulit dengan wanita lain yang berlanjutan selama lebih 40 tahun. Wanita pertama yang dikaitkan dengan George Chao ialah Tan Yu Mei, seorang bekas peserta pertandingan kecantikan Miss Asia. Hubungan mereka bukanlah skandal seketika tetapi sebaliknya berlarutan bertahun-tahun sehingga menjadi rahsia besar dalam kalangan sosialit Hong Kong.

Apabila Lily mengetahui tentang hubungan tersebut, George dikatakan pernah menawarkan sejumlah wang kepada Lily sebagai bayaran sekiranya dia mahu bercerai yakni sekitar USD 138 000, satu jumlah yang kecil berbanding kekayaan keluarga Chao. Walau bagaimanapun, Lily menolak di mana penolakan itu bukan kerana bergantung kepada suaminya tetapi kerana dia enggan memusnahkan kestabilan hidup anak-anak mereka. Lily memilih untuk kekal dalam perkahwinan itu meskipun mengetahui suaminya membahagikan kasih sayang dengan wanita lain.
Selepas Tan Yu Mei, muncul pula seorang lagi wanita bernama Cheng Xiu Li yang dilaporkan mempunyai hubungan rapat dengan George sehingga dikatakan melahirkan anak luar nikah untuknya. Kehadiran Cheng menambah tekanan dalam kehidupan Lily kerana isu ini turut melibatkan pertikaian hak warisan. Anak yang dilahirkan oleh wanita tersebut berpotensi menuntut harta dan kuasa dalam struktur korporat keluarga Chao sekali gus mengancam kedudukan anak-anak kandung Lily.

Walaupun melalui tekanan emosi yang besar, Lily tidak bertindak melulu. Dia mengambil pendekatan strategik dan bijaksana. Ketika George mula jatuh sakit dan semakin lemah, Lily bergerak secara sah dalam memastikan aset keluarga dipindahkan secara teratur kepada empat anak kandung mereka. Banyak syarikat pegangan, saham serta entiti perniagaan yang berada atas nama George disusun semula agar berpindah ke bawah pengurusan anak sulung mereka, Sabrina Chao dan seterusnya kepada adik-beradiknya. Usaha ini dilakukan supaya warisan keluarga tidak terjejas oleh tuntutan daripada anak luar nikah atau individu lain yang berkait dengan George.

Selepas George Chao meninggal dunia pada tahun 2016, muncul pula satu konflik baharu. Bekas setiausaha peribadinya yang dikenali sebagau Liu Yuan Yuan tampil mendakwa bahawa George pernah mewariskan kepadanya beberapa syarikat serta aset bernilai tinggi. Dakwaan ini mencetuskan pertikaian undang-undang selama beberapa tahun. Namun pada akhirnya, tuntutan tersebut digugurkan kerana pihak berkenaan didakwa tidak mampu menanggung kos guaman serta tidak dapat membuktikan dakwaannya secara kukuh. Keputusan ini sekaligus menguatkan kedudukan Lily dan anak-anaknya sebagai pewaris sah legasi keluarga Chao yang dianggarkan bernilai hampir USD 959 juta.
Catat Ulasan for "KISAH LILY HO : Wanita Sebenar yang 'Menang' Lawan Skandal Suami"