Skip to content Skip to sidebar Skip to footer

KISAH PEMBUNUHAN KEJAM BABAK KHORRAMDIN


     Kes pembunuhan Babak Khorramdin menjadi salah satu kes keluarga paling mengejutkan yang pernah berlaku di negara Iran. Perkara ini adalah kerana kekejaman jenayah yang dilakukan di mana pelakunya merupakan individu yang paling dipercayai iaitu ibu dan bapanya sendiri. 

     Babak Khorramdin merupakan seorang pengarah filem, pensyarah dan tenaga pengajar dalam bidang perfileman. Pernah menuntut di London, dia pulang ke Iran demi menyumbang ilmu kepada generasi muda. Dalam kalangan pelajar dan rakan seindustri, Babak dikenali sebagai individu idealistik, berprinsip serta sangat mencintai seni. Walaupun tidak mencapai arus perdana, dia dihormati kerana kebijaksanaan dan dedikasinya. Namun kehidupan peribadinya lebih sunyi. Ketika usianya mencecah lewat 40-an, Babak masih belum berkahwin. Perkaea tersebut adalah sesuatu yang dianggap tidak biasa dalam masyarakat konservatif Iran. Keadaan ini menimbulkan tekanan dalam keluarganya terutama kepada ibu bapanya yang percaya bahawa kehidupan Babak semakin menjauhi nilai tradisi.

     Walaupun tinggal bersama ibu bapa, hubungan Babak dengan mereka sering tegang. Siasatan kemudian mendedahkan wujud perselisihan berpanjangan mengenai hal ehwal rumah, gaya hidup dan pilihan peribadinya. Konflik kecil bertahun-tahun ini lama-kelamaan berubah menjadi kemarahan terpendam yang tidak pernah diselesaikan. Ibu bapanya, Akbar Khorramdin dan Iran Mousavi Sani berasal daripada latar konservatif yang sangat menitikberatkan maruah keluarga. Bagi mereka, sebarang masalah dalam keluarga tidak boleh dibiarkan sehingga mencemarkan nama keturunan. Perbezaan pandangan antara generasi moden dan tradisional inilah yang menjadi salah satu punca kepada kejadian tersebut.

     Pada Mei 2021, Babak pulang ke rumah seperti hari-hari sebelumnya tanpa mengesyaki apa-apa. Namun ibu bapanya telah merancang pembunuhannya terlebih dahulu. Dalam pengakuan kepada polis, mereka memberi tahu bahawa Babak telah diberikan makanan dan minuman yang dicampur bahan pelali. Apabila kesedarannya mula hilang, ibunya memastikan Babak tidak melawan sebelum bapanya menikamnya hingga mati. Selepas kejadian, pasangan itu bekerjasama memotong tubuh Babak kepada beberapa bahagian. Bahagian-bahagian tersebut dimasukkan ke dalam beg plastik besar lalu dibuang sedikit demi sedikit di kawasan tong sampah di Ekbatan, Tehran.


     Beberapa hari kemudian, penduduk tempatan menemui bahagian tubuh manusia di dalam beg dan segera melaporkannya kepada pihak berkuasa. Polis menjalankan siasatan menyeluruh, meneliti kawasan kejiranan dan menghubungkan penemuan tersebut dengan laporan kes orang hilang. Tingkah laku mencurigakan keluarga Khorramdin akhirnya membawa polis ke rumah mereka. Dalam sesi soal siasat, Akbar Khorramdin mengaku membunuh anak lelakinya sendiri tanpa menunjukkan rasa bersalah.

     Motif pembunuhan Babak turut menjadi perhatian. Walaupun terdapat pelbagai spekulasi, pengakuan ibu bapanya kepada polis menunjukkan bahawa tindakan mereka didorong oleh gabungan ketidakpuasan terhadap gaya hidup Babak, tekanan budaya selain konflik keluarga yang berlarutan. Lebih mengejutkan yakni ketika disoal siasat, pasangan tersebut turut mengaku pernah membunuh anak perempuan mereka dan menantu lelaki pada beberapa tahun sebelumnya. Mereka didakwa menggunakan modus operandi sama iaitu bahan pelali, pembunuhan dan pelupusan mayat secara senyap.


     Siasatan mendapati mereka berdua sebenarnya waras dan memahami sepenuhnya tindakan yang dilakukan. Proses undang-undang bagaimanapun tidak sempat diselesaikan sepenuhnya apabila Akbar Khorramdin meninggal dunia akibat kanser sebelum dibicarakan. Isterinya, Iran Mousavi Sani dijatuhi hukuman penjara 45 bulan kerana peranannya diklasifikasikan sebagai membantu, bukan pelaku utama.

Catat Ulasan for "KISAH PEMBUNUHAN KEJAM BABAK KHORRAMDIN"