HOLLYWOOD MADAM : Kisah Heidi Fleiss

     Heidi Lynne Fleiss merupakan salah satu nama paling kontroversi dalam sejarah Hollywood moden. Dilahirkan pada 30 Disember 1965 di Los Angeles, California, Heidi membesar dalam keluarga yang berpendidikan dan stabil. Bapanya ialah seorang pakar pediatrik terkenal manakala ibunya pula seorang guru yang dihormati. Walaupun mempunyai asas hidup yang baik, laluan hidup Heidi berubah apabila dia terpesona dengan dunia glamor Los Angeles yang akhirnya membawa dirinya jauh daripada kehidupan biasa yang pernah dimiliki.

     Pada usia remaja, Heidi berdepan masalah untuk menyesuaikan diri dengan kehidupan sekolah. Dia berhenti sekolah pada usia 16 tahun dan mula bekerja sambilan selain bergaul dengan kelompok sosial yang lebih bebas. Kehidupannya mula berubah secara drastik apabila dia dipertemukan dengan Madam Alex iaitu seorang wanita yang terkenal sebagai pengendali rangkaian pelacuran kelas atasan di Hollywood. Melalui Madam Alex, Heidi melihat dunia yang penuh rahsia. Dunia yang mempertemukan selebriti, ahli perniagaan kaya, ahli politik dan individu berpengaruh yang mendapatkan layanan wanita muda secara eksklusif. Madam Alex mengajar Heidi cara memilih pekerja, menjaga kerahsiaan pelanggan, menjaga keselamatan rangkaian dan mengurus operasi yang rumit tetapi amat menguntungkan.


     Hubungan mereka pada awalnya sangat rapat. Walau bagaimanapun, ia mula retak apabila Heidi menyedari bahawa dia memiliki bakat dan jaringan untuk menjalankan rangkaian sendiri. Pada awal 1990-an, Heidi memulakan operasinya secara bebas dan pada masa yang singkat, perkhidmatannya menjadi lebih terkenal daripada guru asalnya itu. Menggunakan kebijakan, penampilan menarik dan kemampuan berkomunikasi, Heidi berjaya menarik ratusan pelanggan elit. Pada kemuncak operasinya, Heidi dikatakan mempunyai lebih daripada 500 pelanggan tetap dengan setiap sesi perkhidmatan boleh mencecah USD 1500 hingga USD 3000. Sebahagian besar wang itu menjadi pendapatan peribadinya. Media Amerika mula memanggilnya sebagai Hollywood Madam, satu gelaran yang menandakan pengaruhnya dalam dunia gelap Hollywood.

     Namun kejayaan ini juga membawa perhatian yang tidak diingini. Pada tahun 1993, pihak polis Los Angeles mula menjalankan penyiasatan secara besar-besaran terhadap rangkaian pelacuran berprofil tinggi dan nama Heidi menjadi tumpuan utama. Siasatan itu dipercayai bermula hasil aduan serta persaingan dengan Madam Alex selain tekanan daripada pihak tertentu yang tidak mahu kegiatan tersebut terus berleluasa. Pada tahun 1994, rumah Heidi diserbu dan polis menemui pelbagai bukti termasuk rekod transaksi serta apa yang digelar sebagai black book yakni sebuah buku kecil didakwa mengandungi nama-nama bintang terkenal Hollywood yang menggunakan khidmatnya. Walaupun kewujudan buku itu menarik minat ramai, nama di dalamnya tidak pernah didedahkan secara terbuka menyebabkan pelbagai spekulasi berterusan hingga kini.


     Heidi kemudian dikenakan pertuduhan terlibat dalam pelacuran, pengelakan cukai dan pengubahan wang haram. Walaupun menghadapi tekanan yang hebat, Heidi kekal tenang dan tidak pernah mendedahkan identiti pelanggan ternama yang dikaitkan dengannya. Pada tahun 1997, dia dijatuhi hukuman penjara selama 37 bulan di Federal Correctional Institution Dublin, California. Tempoh ini menjadi titik penting dalam hidupnya,di mana dia mula menyedari bahawa populariti yang dinikmati sebelum ini datang dengan harga yang sangat tinggi.

     Selepas dibebaskan pada 1999, Heidi cuba membina kehidupan baru tetapi mendapati imejnya sebagai Hollywood Madam amat sukar dipadamkan. Dia beberapa kali muncul dalam dokumentari dan wawancara untuk menceritakan kisah hidupnya namun hidupnya terus dibayangi skandal termasuk hubungan tidak stabil dengan pelakon Tom Sizemore serta masalah ketagihan dadah. Dia pernah cuba membuka beberapa perniagaan seperti kedai dobi, pusat penjagaan burung eksotik dan bahkan merancang membuka rumah pelacuran lelaki tetapi kebanyakan usahanya gagal akibat tekanan media dan masalah peribadi yang berlarutan.

     Pada tahun-tahun berikutnya, Heidi memilih untuk hidup lebih terpencil di Nevada. Dia menghabiskan banyak masa mengurus burung kakak tua peliharaannya dan jarang melibatkan diri dalam kehidupan sosial Hollywood seperti dahulu. Walaupun sudah lama meninggalkan dunia gelap itu, kisah hidup Heidi Fleiss masih dianggap antara skandal paling membongkar sisi gelap Hollywood. 

Catat Ulasan for "HOLLYWOOD MADAM : Kisah Heidi Fleiss"