LELAKI KERAT WANITA KEPADA TIGA BAHAGIAN AKIBAT MASALAH HUTANG JUDI


     INDONESIA — Seorang lelaki tempatan berusia 29 tahun, Yahya Himawan telah ditahan pihak polis selepas disyaki terlibat dalam pembunuhan kejam seorang wanita yang merupakan isteri kepada seorang pegawai cukai. Mayat mangsa ditemui dalam keadaan dikerat kepada tiga bahagian dan ditanam di dalam sebuah tangki septik di sebuah rumah kosong.

     Menurut siasatan awal pihak polis, mangsa yang dikenali dengan inisial AGT, 38 tahun dilaporkan hilang oleh suaminya selepas gagal dihubungi. Ketika kejadian, suaminya dilaporkan berada di luar kawasan atas urusan kerja. Polis memulakan pencarian segera dan menemui petunjuk bahawa mangsa kali terakhir dilihat di rumahnya di kawasan Reremi Puncak.

     Hasil siasatan membawa kepada identiti Yahya Himawan, seorang buruh binaan yang pernah bekerja di rumah pasangan tersebut. Pengetahuan mengenai susun atur rumah serta keadaan mangsa yang berseorangan dipercayai memberi peluang kepada suspek untuk melaksanakan tindakan jenayah tersebut. Polis mengesahkan bahawa Yahya memasuki rumah mangsa dengan niat merompak selepas mendakwa dirinya terdesak akibat masalah hutang judi dalam talian.

     Siasatan mendapati mangsa dipercayai dibunuh di kediamannya sebelum suspek membawa mayat ke sebuah rumah kosong. Di lokasi kedua itulah suspek dikatakan melakukan perbuatan kejam, memotong tubuh mangsa kepada tiga bahagian sebelum menanamnya di dalam tangki septik bagi mengelakkan penemuan bukti. Tindakan ini disahkan melalui pemeriksaan forensik hospital yang mendapati bahagian tubuh dipisahkan dari pangkal paha ke bawah.

     Dalam perkembangan lain, pihak polis turut mendedahkan bahawa selepas pembunuhan dilakukan, suspek sempat menghantar mesej kepada suami mangsa menggunakan telefon mangsa. Dalam mesej tersebut, Yahya menuntut tebusan sebanyak Rp 10 juta (sekitar RM2500) dengan mendakwa mangsa diculik. Suami mangsa yang berasa curiga enggan berurusan dengan suspek lalu terus membuat laporan polis. Tindakan pantas itu membantu polis mengesan lokasi suspek dalam tempoh kurang 24 jam.

     Yahya ditahan di kawasan Inggramui, Manokwari. Ketika dibawa ke balai polis, wajah suspek kelihatan lebam dan tangan bergari yang dipercayai akibat pergelutan ketika penahanan. Difahamkan siasatan kini tertumpu kepada motif sebenar dan suspek disiasat di bawah kes pembunuhan terancang serta cubaan pemerasan. Polis turut meneliti sama ada terdapat individu lain yang mungkin terlibat. Namun hingga setakat ini, Yahya dianggap suspek tunggal.

     Pihak polis menyatakan siasatan akan diteruskan dengan lebih terperinci termasuk mendapatkan laporan lengkap bedah siasat dan mengumpul maklumat tambahan daripada saksi. Keluarga mangsa kini menerima bantuan psikologi dan sokongan daripada pihak berkuasa.

Catat Ulasan for "LELAKI KERAT WANITA KEPADA TIGA BAHAGIAN AKIBAT MASALAH HUTANG JUDI"