KISAH MAYA MURMU : Dendam Seekor Gajah?

     Kes kematian Maya Murmu pada Jun 2022 di Odisha, India pernah menjadi tular kerana kejadiannya yang luar biasa. Serangan gajah liar yang meragut nyawa warga emas itu menjadi lebih menggemparkan apabila haiwan sama dilaporkan kembali ketika upacara pembakaran mayat wanita itu.

     Kejadian bermula pada pagi 9 Jun 2022 di Kampung Raipal, daerah Mayurbhan ketika Maya Murmu iaitu seorang wanita berusia sekitar 68 hingga 70 tahun, keluar dari rumah menuju ke kawasan perigi untuk mengambil air. Pada masa itu, kawasan sekitar kampung sedang dilalui sekumpulan gajah liar yang dipercayai datang dari Dalma Wildlife Sanctuary, sebuah tempat perlindungan hidupan liar yang sering menjadi laluan migrasi haiwan tersebut. Penduduk kampung sudah biasa melihat gajah sesekali melintas. Namun pada hari kejadian, sekurang-kurangnya seekor gajah bertindak agresif dan menyerang Maya secara mengejut. Haiwan itu menumbangkan Maya sebelum memijaknya berulang kali. Beberapa penduduk cuba menjerit untuk menghalau gajah tetapi tidak mampu berbuat apa-apa kerana jarak yang terlalu dekat dan risiko serangan terhadap diri mereka.

     Maya kemudian dibawa ke hospital terdekat oleh keluarganya dan penduduk kampung. Namun kecederaan yang dialaminya terlalu parah termasuk kecederaan dalaman yang tidak dapat diselamatkan. Doktor mengesahkan Maya meninggal dunia di hospital. Tidak lama selepas itu, keluarga Maya serta penduduk kampung berkumpul untuk menjalankan upacara pembakaran mengikut adat setempat. Mayatnya diletakkan di atas susunan kayu bagi persediaan pembakaran. Ketika keluarga sedang membaca doa dan bersiap untuk memulakan upacara, seekor gajah muncul sekali lagi di kawasan itu. Penduduk kampung panik dan melarikan diri kerana bimbang haiwan itu kembali bertindak agresif.

     Gajah tersebut kemudian menghampiri mayat Maya mengangkat wanita itu dengan belalai sebelum menghempaskannya ke tanah yakni sama seperti serangan yang dilakukan pada waktu pagi. Laporan menyatakan gajah tersebut turut memijak mayat itu beberapa kali sebelum meninggalkan kawasan tersebut. Peristiwa ini hanya berlangsung dalam masa beberapa minit tetapi ia cukup untuk memusnahkan keseluruhan upacara pembakaran serta meninggalkan trauma mendalam dalam kalangan keluarga dan penduduk kampung. Selepas gajah itu beredar, penduduk kampung kembali ke kawasan upacara dan terpaksa memulakan proses dari awal pada malam hari.

     Selain menyerang mayat mangsa, kumpulan gajah berkenaan dilaporkan turut memusnahkan beberapa rumah berdekatan termasuk kediaman keluarga Maya. Beberapa struktur rumah rosak termasuk dinding dan pintu yang pecah akibat rempuhan. Penduduk kampung mengalami kerugian harta benda dan hidup dalam ketakutan bahawa gajah itu mungkin akan kembali lagi. 

     Jabatan Perhutanan negeri Odisha segera turun padang selepas kejadian itu untuk menilai tahap keselamatan kdan memeriksa laluan migrasi gajah liar. Pegawai perhutanan mengesahkan bahawa kumpulan gajah tersebut berkemungkinan datang dari Dalma Wildlife Sanctuary yang terletak puluhan kilometer dari Kampung Raipal. Mereka percaya gajah-gajah ini menyimpang jauh dari laluan biasa akibat gangguan habitat, kekurangan sumber makanan atau tekanan ekologi. Kerajaan negeri menyatakan bahawa keluarga Maya layak menerima pampasan sebagai waris mangsa konflik hidupan liar serta bantuan untuk membaiki rumah yang rosak.

     Kejadian ini mencetuskan pelbagai spekulasi di media sosial dan laporan berita. Ada pihak yang mendakwa bahawa gajah tersebut mempunyai ingatan dan mungkin menyasarkan Maya secara khusus. Terdapat juga laporan yang mengaitkan tingkah laku itu dengan dendam berdasarkan reputasi gajah sebagai haiwan yang mempunyai ingatan jangka panjang. Walau bagaimanapun, pakar hidupan liar menolak dakwaan tersebut sebagai spekulasi tanpa bukti. Menurut mereka, tiada penjelasan saintifik yang membuktikan bahawa gajah mengenali atau menyasarkan individu tertentu secara peribadi. Perilaku gajah lebih tepat difahami berdasarkan tekanan habitat, gangguan migrasi dan tindak balas stres.

     Organisasi pemuliharaan seperti The Elephant Society menegaskan bahawa kejadian ini harus difahami sebagai tanda amaran tentang konflik manusia–gajah yang semakin meningkat di India. Pembukaan kawasan hutan untuk pertanian, pembinaan jalan dan pembangunan penempatan baharu menyebabkan habitat gajah semakin mengecil memaksa haiwan itu merentas kampung dan kawasan berpenduduk untuk mencari makanan. Dalam keadaan tertentu terutama ketika kumpulan gajah terpisah atau terancam, haiwan ini boleh bertindak agresif tanpa amaran.


Catat Ulasan for "KISAH MAYA MURMU : Dendam Seekor Gajah?"