KISAH PEMBUNUHAN KEJAM RUTH THALIA

Kisah pembunuhan Ruth Thalia Sayas Sanchez pada tahun 2012 menjadi antara kejadian yang pernah menggemparkan negara Peru. Gadis berusia 19 tahun itu pada awalnya hanyalah seorang peserta rancangan realiti televisyen popular El Valor de la Verdad (The Value of Truth), sebuah program yang terkenal kerana mendedahkan rahsia peribadi peserta melalui sesi soal jawab bersama mesin poligraf. Seperti kebanyakan peserta lain, Ruth menyertai rancangan tersebut untuk mencuba nasib dan memperoleh wang bagi membantu keluarganya. Walau bagaimanapun, penyertaan yang disangkakan peluang untuk mengubah hidupnya itu ternyata membawa padah.
Dalam episod yang disertainya, beberapa soalan sensitif telah membuatkan rahsia peribadi Ruth terdedah kepada awam. Antara yang paling mencetuskan kontroversi ialah pengakuannya bahawa dia pernah bekerja sebagai penari kelab malam, sesuatu yang tidak diketahui oleh teman lelakinya iaitu Bryan Romero Leiva. Pendedahan ini mengaibkan Bryan yang ketika itu dikenali sebagai seorang lelaki cemburu dan mengawal. Selepas episod tersebut disiarkan, hubungan mereka menjadi semakin tegang dan penuh pertengkaran. Bryan berasa dikhianati dan anggap dirinya dipermalukan di orang ramai.

Beberapa minggu selepas episod itu ditayangkan, Ruth dilaporkan hilang oleh keluarganya. Usaha mencari dijalankan namun tiada petunjuk kukuh. Polis kemudian memanggil Bryan untuk memberi keterangan tetapi penjelasannya berubah-ubah dan tidak konsisten. Saksi turut melaporkan bahawa mereka melihat Bryan dan Ruth bersama pada hari gadis itu hilang. Perkara ini menimbulkan kecurigaan terhadap Bryan sekali gus menyebabkan polis mempertingkatkan siasatan.
Tidak lama kemudian, pihak berkuasa menemui petunjuk penting yang membawa mereka ke kawasan terpencil berhampiran Huaral yakni sebuah lokasi sunyi yang sering dikunjungi oleh Bryan. Di kawasan semak tersebut, mereka menemui mayat seorang wanita yang sudah mula mereput. Hasil bedah siasat mengesahkan bahawa mayat itu ialah Ruth Thalia. Forensik menemui bukti asfiksia akibat dicekik, menunjukkan bahawa gadis itu mati akibat serangan fizikal dan bukan kemalangan atau kecederaan lain.

Hasil siasatan mendapati bahawa Bryan telah memujuk Ruth keluar dengan alasan ingin berbincang mengenai hubungan mereka. Setelah tiba di lokasi terpencil itu, berlaku pertengkaran hebat antara mereka. Dalam keadaan marah dan hilang kawalan, Bryan mencekik Ruth sehingga mangsa tidak lagi bernyawa. Selepas itu, dia menghubungi abangnya untuk meminta bantuan menyembunyikan mayat. Mereka kemudian menyorokkan mayat di kawasan semak bagi menghapuskan bukti.
Menerusi bukti yang semakin kukuh dan tekanan siasatan yang berterusan, Bryan akhirnya mengaku membunuh Ruth. Pengakuannya mengesahkan bahawa motif utama pembunuhan adalah cemburu melampau, maruah tercabar dan kemarahan akibat pendedahan dalam rancangan televisyen tersebut.

Pada bulan Februari 2014, mahkamah menjatuhkan hukuman seumur hidup terhadap Bryan Romero Leiva. Mahkamah turut memerintahkan Bryan dan ahli keluarganya yang terlibat membayar pampasan besar kepada keluarga Ruth. Hukuman berat itu dikenakan bagi balasan sifat kejam jenayah tersebut serta implikasi sosial yang ditimbulkannya. Namun beberapa tahun kemudian, terdapat laporan bahawa hukuman Bryan dikurangkan kepada tempoh penjara tertentu walaupun hukuman asalnya ialah penjara seumur hidup.
Catat Ulasan for "KISAH PEMBUNUHAN KEJAM RUTH THALIA"