Skip to content Skip to sidebar Skip to footer

KISAH KEMATIAN TRAGIS RICHARD MAEDGE

     Pada 27 April 2022, seorang lelaki berusia 53 tahun bernama Richard J. Maedge dilaporkan hilang selepas memaklumkan kepada isterinya iaitu Jennifer bahawa dia akan pulang awal dari tempat kerja. Ketika Jennifer tiba di rumah, kereta suaminya itu masih berada di luar seperti biasa. Lebih menghairankan, dompet, kunci dan telefon bimbit Richard ditemui di dalam rumah seolah-olah dia baru sahaja masuk sebentar tetapi kemudian menghilang tanpa meninggalkan sebarang jejak.

    Bimbang akan keselamatan suaminya, Jennifer segera membuat laporan polis. Anggota rondaan hadir melakukan pemeriksaan awal di rumah namun mereka tidak menemui sebarang petanda yang mencurigakan. Walau bagaimanapun, Jennifer tetap berasa tidak sedap hati kerana Richard bukanlah seorang yang suka keluar tanpa memberitahu sesiapa. Tambahan pula, semua barang peribadinya masih berada di rumah.

    Beberapa hari dan minggu seterusnya, Jennifer mula melaporkan tentang bau aneh yang muncul dari beberapa bahagian rumah. Bau tersebut disangka berpunca daripada kumbahan atau saluran najis yang bermasalah. Mereka memanggil seorang tukang paip untuk melakukan pemeriksaan dan beberapa bahagian saluran di tingkat bawah tanah ditutup. Selepas itu, bau tersebut berkurangan buat sementara waktu.


     Masalah utama yang menghalang siasatan lebih teliti ialah keadaan rumah pasangan tersebut yang dipenuhi barangan lama, kotak dan barang tersimpan bertahun-tahun sehingga banyak ruang menjadi sempit dan sukar diakses. Keadaan ini menyebabkan pemeriksaan polis sangat terhad dan ruang simpanan tersembunyi serta almari jarang dibuka tidak diperiksa secara mendalam. Walaupun bau pelik dilaporkan, pihak berkuasa tidak mengaitkannya dengan kehilangan Richard.

    Hinggalah pada 11 Disember 2022 yakni hampir lapan bulan selepas Richard dilaporkan hilang, Jennifer membuka ruang almari di bawah tangga untuk mencari kotak perhiasan Krismas. Ketika mengalihkan beberapa kotak lama yang tersusun rapat di sudut almari, dia dikejutkan oleh satu penemuan yang tidak terjangka iaitu mayat suaminya sendiri berada dalam ruang simpanan sempit tersebut.

     Mayat Richard berada dalam keadaan mengering secara semula jadi disebabkan ruang yang tertutup rapat dengan aliran udara yang sangat terhad. Keadaan ini menyebabkan bau mayat yang biasanya kuat menjadi hampir tidak dapat dikesan sekali gus menjelaskan mengapa polis tidak menghidu apa-apa ketika pemeriksaan awal.

    BPenemuan itu mengejutkan keluarga dan juga pihak berkuasa. Hasil bedah siasat kemudian mengesahkan punca kematian ialah bunuh diri melalui kaedah gantung diri. Tiada tanda kecederaan atau unsur jenayah. Ujian toksikologi juga mendapati hanya ubat tahan sakit biasa, iaitu ibuprofen yang berada dalam sistem badannya.

     Keluarga Richard khususnya kakaknya, Marilyn Toliver melahirkan rasa tidak puas hati terhadap cara siasatan awal dijalankan. Mereka mempersoalkan bagaimana mayat Richard boleh berada dalam rumah sendiri selama hampir lapan bulan tanpa ditemui sedangkan pihak polis mendakwa telah melakukan pencarian menyeluruh. Keluarga turut terkilan kerana hanya anggota rondaan biasa yang memeriksa rumah pada hari pertama, bukan pasukan penyiasat yang lebih berpengalaman.

     Marilyn juga menegaskan bahawa laporan bau pelik yang dibuat berulang kali sepatutnya dianggap sebagai petunjuk penting untuk pemeriksaan lebih teliti. Ketidakpuasannya terhadap cara polis menjalankan pemeriksaan awal mendorong keluarga untuk menuntut penjelasan dan pembaikan prosedur siasatan. 

Catat Ulasan for "KISAH KEMATIAN TRAGIS RICHARD MAEDGE"