Empat Sekeluarga Maut di Istanbul Akibat Disyaki Terhidu Bahan Kimia di Hotel

TURKI — Empat sekeluarga warga Jerman keturunan Turki disahkan meninggal dunia selepas mengalami simptom keracunan secara serentak di sebuah hotel di daerah Fatih, Istanbul pada 12 November lalu. Kematian melibatkan Servet Bocek, isterinya Cigdem Boceknserta dua anak mereka Kadir Muhammet dan Masal.
Menurut maklumat polis, keluarga tersebut mendaftar masuk ke hotel berkenaan sejak beberapa hari sebelum kejadian dan dilaporkan berada dalam keadaan sihat. Mereka keluar membeli makanan di sekitar kawasan Sultanahmet dan Eminonu sebelum pulang ke bilik penginapan.
Sumber hospital memaklumkan bahawa pada pagi 12 November, kesemua ahli keluarga mengalami loya, muntah dan kelemahan, dipercayai bermula hampir pada waktu yang sama. Petugas hotel dimaklumkan apabila salah seorang mangsa tidak memberi respons. Apabila pihak hotel memasuki bilik, mereka mendapati keempat-empat mangsa dalam keadaan tidak sedarkan diri. Kesemua mereka dikejarkan ke hospital dengan ambulans berasingan. Walau bagaimanapun, dua anak kecil, Kadir Muhammet dan Masal disahkan meninggal dunia sebaik tiba. Isteri mangsa, Cigdem Bocek, meninggal dunia tidak lama kemudian. Servet Bocek yang dirawat di unit rawatan rapi meninggal dunia beberapa hari selepas menerima rawatan intensif.


Pada fasa pertama siasatan, polis mencatatkan bahawa keluarga tersebut telah membeli pelbagai jenis makanan jalanan termasuk makanan laut, lokum dan makanan goreng. Beberapa penjual makanan dipanggil untuk siasatan rutin. Namun hasil pemeriksaan hospital menunjukkan bahawa simptom mangsa tidak seiring dengan keracunan makanan biasa selain tiada tanda jangkitan bakteria atau keradangan gastrointestinal yang lazim untuk kes keracunan makanan.
Perkara ini menyebabkan siasatan mula beralih kepada kemungkinan pendedahan bahan toksik. Menurut kenyataan Institut Forensik Turki, pemeriksaan awal ke atas bilik hotel menemui beberapa petunjuk yang konsisten dengan kehadiran bahan kimia khususnya bahan yang lazim digunakan dalam kerja pembasmian perosak.
Hotel berkenaan baru menjalani proses fumigasi sebelum keluarga itu mendaftar masuk. Proses tersebut dipercayai menggunakan racun jenis aluminium phosphide, sejenis bahan yang akan menghasilkan gas fosfin iaitu gas beracun yang mampu menyebabkan kerosakan organ dalam tempoh singkat apabila disedut pada paras tertentu. Sebagai langkah awal, polis dan unit persekitaran menutup bilik hotel tersebut serta mengambil sampel udara, habuk, cadar, bantal, permaidani dan barangan lain untuk dianalisis.

Berikutan perkembangan siasatan, pihak polis menahan 11 individu termasuk pemilik hotel, pengurus hotel, dua pekerja pembersihan, pekerja syarikat pembasmian perosak, kontraktor yang menguruskan bahan kimia dan beberapa peniaga makanan yang berurusan dengan keluarga mangsa. Mereka ditahan untuk membantu siasatan berhubung kemungkinan kecuaian, pelanggaran prosedur keselamatan atau penggunaan bahan beracun secara tidak terkawal. Pihak berkuasa tempatan turut mengarahkan hotel tersebut disita dan ditutup sehingga laporan forensik lengkap dapat disediakan.
Walaupun laporan awal mengarah kepada kemungkinan kuat pendedahan bahan kimia daripada fumigasi, pihak berkuasa menegaskan bahawa punca rasmi kematian hanya dapat disahkan selepas keputusan penuh toksikologi dikeluarkan. Hingga setakat ini, polis masih mengekalkan siasatan terbuka dengan beberapa hipotesis teknikal namun pendedahan bahan kimia kekal sebagai fokus paling kuat berdasarkan bukti awal.
Ahli keluarga Bocek di Jerman memaklumkan rasa tidak puas hati terhadap pengendalian awal kes dan meminta kerajaan Turki memberikan penerangan lengkap. Mereka turut menegaskan bahawa keluarga mangsa berada dalam keadaan sihat sepenuhnya sebelum bercuti dan tidak mempunyai sejarah masalah kesihatan yang boleh menyebabkan kematian serentak sebegini. Sementara itu, pihak berkuasa Turki memberi jaminan bahawa semua prosedur penyiasatan dijalankan secara telus dan laporan penuh akan diumumkan sebaik siasatan selesai.
Catat Ulasan for "Empat Sekeluarga Maut di Istanbul Akibat Disyaki Terhidu Bahan Kimia di Hotel"