Kanak-Kanak Lelaki Tiga Tahun Maut Tercekik Boba

CHINA - Seorang kanak-kanak lelaki berusia tiga tahun meninggal dunia selepas tercekik bebola tapioka ketika minum teh susu boba sambil bermain di sebuah pusat beli-belah di wilayah Zhejiang, China pada 19 Oktober 2025.
Menurut laporan media tempatan, kejadian berlaku di kawasan permainan kanak-kanak di dalam pusat beli-belah yang terletak di bandar Taizhou. Kanak-kanak tersebut ketika itu sedang bermain di kawasan trampolin bersama ibu bapanya. Difahamkan keluarga berkenaan berhenti berehat seketika dan membeli minuman teh susu boba yang mengandungi bebola tapioka atau lebih dikenali sebagai boba.
Rakaman kamera litar tertutup (CCTV) menunjukkan kanak-kanak itu memegang cawan minuman boba sambil melantun di atas trampolin. Tidak lama kemudian, dia tiba-tiba berhenti bermain dan kelihatan lemah sebelum jatuh rebah. Orang ramai yang berada di kawasan tersebut segera menyedari keadaan itu dan cuba membantu sementara ibu bapanya menjerit meminta pertolongan.
Kanak-kanak itu kemudian dibawa segera oleh keluarganya ke hospital berdekatan menggunakan kenderaan sendiri. Namun sebaik tiba di unit kecemasan, pasukan perubatan mendapati kanak-kanak tersebut sudah tidak bernafas dan tidak memberi tindak balas. Doktor kemudian mengesahkan bahawa punca kematian adalah tercekik bebola tapioka yang menyumbat saluran pernafasan.

Menurut laporan perubatan yang didedahkan kepada media, saiz bebola tapioka dalam minuman tersebut dianggarkan sekitar satu sentimeter dan teksturnya yang kenyal menyebabkan ia sukar dikunyah oleh kanak-kanak sekecil itu. Pakar kesihatan kanak-kanak memberi amaran bahawa struktur boba yang licin dan elastik boleh dengan mudah menyebabkan risiko tersedak sekiranya ditelan tanpa dikunyah sempurna.
Pihak kedai minuman yang terlibat dalam kejadian itu menyatakan bahawa amaran tidak sesuai untuk kanak-kanak bawah tiga tahun telah dinyatakan dalam sistem pesanan dalam talian mereka. Walau bagaimanapun, ramai pengguna berpendapat bahawa amaran tersebut tidak mencukupi dan menyeru agar pengusaha minuman lebih jelas menonjolkan risiko kepada pengguna.
Pada masa sama, pakar keselamatan makanan dan pediatrik menegaskan bahawa ibu bapa perlu lebih berhati-hati terhadap jenis makanan atau minuman yang diberikan kepada anak kecil. Menurut mereka, kanak-kanak di bawah umur lima tahun masih belum mempunyai kawalan penuh terhadap otot menelan sekali gus menjadikan mereka lebih mudah tercekik.
Pihak berkuasa tempatan di Zhejiang dilaporkan sedang menjalankan siasatan bagi menilai sama ada terdapat unsur kecuaian daripada mana-mana pihak termasuk tahap pemantauan keselamatan di kawasan permainan tersebut.
Catat Ulasan for "Kanak-Kanak Lelaki Tiga Tahun Maut Tercekik Boba "