DALANG UTAMA PEMBUNUHAN VALERIA MARQUEZ AKHIRNYA DITANGKAP

     MEXICO - Seorang ketua kanan kartel dadah yang diburu pihak berkuasa Mexico akhirnya tumpas selepas dikaitkan dengan dua kes pembunuhan berprofil tinggi. Suspek iaitu Ramon Angel Alvarez Ayala atau dikenali sebagai R1 ditahan oleh pasukan khas di pusat bandar Atotonilco el Alto, Jalisco pada 30 Julai 2026 yang lalu. 

     Menurut pihak keselamatan Mexico, tangkapan ini merungkai dalang di sebalik pembunuhan kejam pempengaruh fesyen dan kecantikan, Valeria Marquez pada Mei 2025. Mangsa berusia 23 tahun itu maut ditembak di dada dan kepala oleh seorang penjenayah ketika sedang melakukan siaran langsung di salon kecantikan miliknya di Jalisco dengan disaksikan oleh puluhan ribu pengikutnya. Siasatan mendedahkan bahawa pembunuhan itu diarahkan oleh suspek selepas diminta oleh anaknya sendiri, Francisco Alvarez susulan perselisihan hubungan cinta antara mereka.

     Selain itu, Alvarez Ayala turut dituduh sebagai dalang utama di sebalik pembunuhan Datuk Bandar Uruapan, Carlos Manzo yang maut ditembak oleh remaja berusia 17 tahun semasa sambutan Hari Orang Mati pada November 2025. Manzo dibunuh hanya sebulan selepas beliau secara terbuka menuntut tindakan tegas terhadap sindiket pengedaran dadah di negara itu.

   Kini, suspek yang mengetuai sel penjenayah Los Rs di bawah Kartel Generasi Baharu Jalisco (CJNG) itu ditahan di penjara keselamatan maksimum Altiplano. Dia berdepan pertuduhan memiliki dadah jenis syabu untuk tujuan pengedaran serta memiliki senjata api harammanakala usaha memburu anaknya serta penembak upahan masih giat diteruskan pihak polis.




Catat Ulasan for "DALANG UTAMA PEMBUNUHAN VALERIA MARQUEZ AKHIRNYA DITANGKAP"