Wanita Reka Cerita Kanak-Kanak Jatuh Longkang Demi Desak Pihak Berkuasa Bersihkan Parit Tersumbat

Pada bulan Februari 2026, seorang wanita di Meerut, Uttar Pradesh telah didakwa mereka-reka kecemasan palsu semata-mata untuk memaksa pihak berkuasa membersihkan longkang tersumbat telah menjadi isu tular di media sosial.
Menerusi klip video yang tular di platform media sosial, wanita terbabit membuat panggilan kepada pihak berkuasa dengan mendakwa kononnya seorang kanak-kanak telah terjatuh ke dalam longkang terbuka. Panggilan kecemasan itu segera mencetuskan tindakan pantas daripada pasukan polis dan perbandaran yang bergegas ke lokasi kejadian bagi melancarkan operasi mencari dan menyelamat.
Namun selepas hampir tiga jam kerja-kerja pembersihan sisa longkang dan pencarian menyeluruh dijalankan, pihak berkuasa mendapati tiada sebarang kejadian kanak-kanak terjatuh berlaku. Wanita berkenaan dilaporkan bertindak sedemikian bukan untuk menyelamatkan mangsa tetapi sebaliknya cuba memaksa pihak berkuasa tempatan mengambil tindakan terhadap masalah kebersihan yang telah lama berlarutan dan diabaikan.
Penduduk setempat mendedahkan bahawa longkang tersebut tidak pernah dibersihkan walaupun pelbagai aduan telah berulang kali dikemukakan. Meskipun ada penduduk tempatan yang memuji tindakan wanita itu sebagai langkah yang bijak, perbuatan tersebut turut menerima pelbagai kecaman hebat.

Reaksi warga maya ternyata bercampur-baur. Ada yang menyifatkannya sebagai satu jenaka sinis terhadap kelemahan sistem pentadbiran, manakala sebahagian yang lain memberi amaran bahawa taktik sedemikian boleh memakan diri dan membahayakan keselamatan awam pada masa hadapan. Insiden ini secara langsung mengetengahkan isu kelemahan tadbir urus, tanggungjawab sivik yang terabai serta krisis infrastruktur yang kronik di kawasan bandar.
Menurut laporan tahun 2022 oleh Institut Hal Ehwal Bandar Kebangsaan di India, antara 60 hingga 80 peratus longkang di beberapa bandar di India termasuk bandar sederhana seperti Meerut terus terabai dan tersumbat akibat kekurangan dana, pengawasan yang lemah serta penguatkuasaan yang tidak berkesan.
Catat Ulasan for "Wanita Reka Cerita Kanak-Kanak Jatuh Longkang Demi Desak Pihak Berkuasa Bersihkan Parit Tersumbat"