Kisah Pembunuhan Kejam Dua Kanak-Kanak Perempuan di Yuen Long

      Kes pembunuhan bersiri kampung Pak Sha, Yuen Long, yang berlaku pada bulan Disember 2002 kekal sebagai salah satu kejadian jenayah paling kejam yang pernah berlaku di Hong Kong. Kejadian ngeri ini membongkar sisi gelap, obsesi melampau serta tindakan tidak berperikemanusiaan seorang lelaki bernama Tang Wing-keung yang telah membunuh dua orang kanak-kanak perempuan yang tidak berdosa. 

     Kejadian bermula pada waktu malam 4 Disember 2002 apabila mangsa pertama iaitu seorang kanak-kanak perempuan berusia 11 tahun bernama Chan Nok-man keluar dari kediamannya di Sau Fu Street, Yuen Long. Chan Nok-man memberitahu keluarganya bahawa dia ingin keluar sebentar untuk membeli kad flash (kad mainan popular ketika itu). Walau bagaimapun, Chan Nok-man gagal pulang ke rumah sekali gus mencetuskan misi pencarian yang buntu. Tidak lama kemudian iaitu pada 19 Disember 2002, satu lagi kes kehilangan membabitkan kanak-kanak mencemaskan penduduk setempat apabila mangsa kedua berusia 10 tahun, Yim Pui-shan dilaporkan hilang secara misteri selepas tamat sesi persekolahan di Fung Cheung Road. Kehilangan dua kanak-kanak dalam tempoh yang begitu singkat di daerah yang sama menimbulkan panik besar hingga mendorong pihak polis Hong Kong mengerahkan pasukan gerakan khas dan unit risikan elit untuk melancarkan siasatan besar-besaran secara terdesak. 


     Siasatan polis akhirnya membawa kepada serbuan di sebuah rumah perkampungan terpencil di Kampung Pak Sha, Yuen Long pada 20 Disember 2002. Ketika pihak berkuasa mula melakukan pemeriksaan rapi di kawasan tersebut, suspek, Tang Wing-keung bertindak panik dan hilang kawalan dengan mengurung serta mengancam tiga anak kandungnya sendiri di dalam rumah, sebelum bertindak nekad melepaskan gas petroleum cecair (LPG) untuk membunuh diri bersama anak-anaknya. Letupan dan kebakaran dasyat itu mengakibatkan suspek serta tiga anaknya mengalami kecederaan melecur yang parah. Pasukan polis dan bomba yang merempuh masuk ke dalam kediaman tersebut berjaya menyelamatkan mangsa yang terselamat. Pada masa sama, terbongkar rahsia pembunuhan yang mengerikan apabila mayat Yim Pui-shan ditemui tersorok di dalam sebuah almari pakaian yang kemudiannya disahkan menjadi mangsa kepada serangan seksual kejam. 


     Operasi penggeledahan di rumah tersebut tidak terhenti di situ sahaja. Pada keesokan harinya, 21 Disember 2002, pihak polis menemui sebuah salur air berhampiran kediaman itu yang baru sahaja ditutup rapat menggunakan simen basah. Mengesyaki sesuatu yang buruk berlaku, pihak berkuasa membawa masuk peralatan pengesan gentian optik untuk mengesahkan kewujudan objek mencurigakan di dalam ruang bawah tanah tersebut. Pada 22 Disember 2002, pasukan penyelamat terpaksa menggunakan tukul besar serta jentera pemecah konkrit untuk membuka penutup salur air berkenaan. Di dalam ruang bawah tanah yang sempit itu, mereka menemui sesukup mayat kanak-kanak perempuan dalam keadaan tanpa sebarang pakaian dan berkeadaan melingkar yang kemudiannya dikenal pasti sebagai mangsa pertama yang hilang, Chan Nok-man. 


     Hasil siasatan lanjut pihak berkuasa mendedahkan motif di disebalik pembunuhan kejam ini didorong oleh rasa dendam melampau serta kepercayaan tahyul. Suspek dilaporkan berasa berang selepas isterinya yang sudah tidak sefahaman dengannya, keluar meninggalkan rumah sebelum gagal dikesan. Dipengaruhi oleh amalan ilmu hitam atau sihir pembalasan dendam, suspek percaya bahawa dia perlu membunuh beberapa individu yang mempunyai ikatan darah dengannya berserta mangsa korban sebelum bertindak membunuh diri bagi memuaskan dendam terhadap isterinya. 

     Pihak pendakwaan mengemukakan bukti-bukti forensik yang kukuh di mahkamah, mendedahkan bahawa kedua-dua mangsa kanak-kanak itu telah diculik, dicabul,dan dibunuh secara kejam dalam siri jenayah yang terancang. Dalam perbicaraan di Mahkamah Tinggi Hong Kong pada Februari 2004, hakim menjatuhkan hukuman dua kali penjara seumur hidup berserta tempoh tambahan penjara lapan tahun ke atas Tang Wing-keung selepas dia disabitkan atas pertuduhan membunuh dan cuba membunuh.  


Catat Ulasan for "Kisah Pembunuhan Kejam Dua Kanak-Kanak Perempuan di Yuen Long"