BUDAK ENAM TAHUN MAUT AKIBAT DITAMPAR CIKGU

     VISAKHAPATNAM, INDIA: Seorang murid lelaki berusia enam tahun maut di mana dia rebah di dalam bilik darjah selepas ditampar oleh gurunya kerana tidak menyiapkan kerja sekolah di sebuah sekolah swasta di bandar raya ini pada Khamis. Kejadian yang menimpa mangsa iaitu Pranay Teja itu berlaku di kawasan One Town dan turut dirakam oleh kamera litar tertutup (CCTV) di dalam kelas berkenaan.

     Berdasarkan rakaman video yang tular, mangsa kelihatan memegang batu tulis sambil berdiri dalam barisan di hadapan gurunya dalam keadaan sedih dan ketakutan. Kanak-kanak itu dilihat merayu supaya tidak dipukul sebelum guru terbabit menariknya dengan kasar dan melayangkan tamparan di bahagian pipi yang menyebabkan mangsa rebah tidak sedarkan diri hanya dalam masa beberapa saat (video di hujung artikel)

     Pihak pentadbiran sekolah segera bergegas memberikan bantuan kecemasan termasuk melakukan bantuan pernafasan (CPR) sebelum membawa mangsa ke hospital berhampiran. Walau bagaimanapun, pihak doktor mengesahkan kanak-kanak malang itu telah meninggal dunia sebaik sahaja tiba di hospital.

     Pegawai Khas Bahagian Hasil Visakhapatnam, Sadhu Dileep Chakravarthy menyatakan bahawa mangsa mungkin mengalami serangan jantung akibat panik melampau. Pihak berkuasa bagaimanapun telah mengarahkan siasatan menyeluruh dijalankan. Sementara itu, Superintendan Hospital King George (KGH), Dr I Vani menegaskan bahawa punca sebenar kematian hanya dapat dikenal pasti selepas laporan bedah siasat selesai.

     Keluarga mangsa memaklumkan bahawa Pranay berada dalam keadaan sihat ceria serta bersemangat ke sekolah pada pagi Khamis tanpa sebarang tanda masalah kesihatan. Susulan kejadian menyayat hati ini, pihak polis telah membuka kertas siasatan manakala pihak berkuasa tempatan turut memulakan siasatan rasmi bagi meneliti kecuaian pihak sekolah di samping menunggu keputusan bedah siasat penuh. 

Catat Ulasan for "BUDAK ENAM TAHUN MAUT AKIBAT DITAMPAR CIKGU"